Bahasa Jiwa Bangsa

Slogan Bahasa Jiwa Bangsa sering terpapar di media-media suatu ketika dulu. Jiwa sebagai lambang hidup.

Bahasa bukan sesuatu yang kekal. Ia boleh melalui zaman kelam atau terus pupus. Teo Kok Seong (2009) menyebut tiga keadaan yang boleh menyebabkan sesuatu bahasa tidak lagi digunakan, iaitu::

  1. Kematian Bahasa ( Language Death) – Bahasa sesuatu bangsa boleh mati dengan kematian penutur terakhirnya.
  2. Kehilangan Bahasa – Merupakan fenomena hilangnya kemahiran berbahasa yang baik dan berkesan sama ada secara lisan mahupun tulisan. Tandanya ialah apabila sesuatu bangsa  sudah tidak fasih menggunakan bahasa ibunda mereka.
  3. Peralihan Bahasa (Language Shift) – Keadaaan yang berlaku apabila  sesuatu bangsa mula menukarkan penggunaan bahasa ibunda kepada bahasa yang dianggap lebih baik.

Yang nombor 1, berlaku kepada tamadun-tamadun purba yang telah hilang lenyap. Yang nombor 2, pernah saya dengar keluhan seorang ibu kaum Cina yang menceritakan kepada saya, dalam keluarganya generasi anak dan cucu sudah tidak pandai berbahasa Cina. Kemahiran berbahasa terhenti hanya kepada generasi ibubapa dan datuk nenek sahaja. Kalau dalam konteks masyarakat Melayu, berlaku juga. Tapi bukan kepada Bahasa Melayu, sebaliknya kepada loghat ataupun bahasa sub etnik seperti Jawa, Banjar, Bugis, Boyan ataupun loghat negeri terutamanya apabila berlaku perkahwinan rentas negeri atau rentas sub etnik. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa bekerja di luar negeri kelahiran. Anak-anak jarang dapat bertutur fasih dalam loghat negeri kelahiran ibu bapa masing-masing. Yang nombor 3, sedang berlaku apabila masyarakat merasakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa yang tidak ada nilai ilmu atau nilai kegunaan semasa. Menguasai bahasa asing tidak salah, malah digalakkan dalam Islam namun jangan sampai meminggir atau meremehkan bahasa sendiri kerana ianya adalah jiwa bangsa kita.

Speak Your Mind

*