Untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, serta komunikasi umum antara pensyarah dengan pelajar, pelajar dengan pelajar, kita akan gunakan aplikasi TELEGRAM. Saya harap wakil kelas dapat bantu saya untuk membuat kumpulan bagi seksyen ni.
Reaksi kurang senang terpancar di wajah sebahagian pelajar. Sebahagian lagi mengangguk, tiada masalah bagi mereka.
“Saya tak install telegram.” “Handphone saya dah penuh.” “Boleh tak kita guna WhatsApp?”
Itulah antara respon awal yang saya terima. Saya dapat memahami kerana itulah juga respon yang terdetik di hati saya apabila ada kumpulan WhatsApp sedia ada mengesyorkan supaya beralih daripada Whatsapp kepada Telegram. Antara justifikasi yang diberi pada masa itu kerana WhatsApp menyokong Yahudi. Secara peribadi, saya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak tahu asal punca dan tiada asas. Faktor paling utama yang menjadi penyebab saya kurang senang bertukar kepada Telegram kerana matlamatnya adalah sama – untuk interaksi sosial menerusi telefon mobil. Kenapa nak kena tukar dan muat turun banyak aplikasi untuk kegunaan yang sama? Belum lagi masuk WeChat dan aplikasi-aplikasi sosial lain. Memang masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Namun jika ahli kumpulan tidak melebihi 50 orang, saya rasa kekal sahajalah dengan aplikasi sedia ada.
Namun untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran di kelas, saya memilih Telegram dan bukannya WhatsApp. Kenapa? Ini sebab-sebabnya;
- Sesiapa sahaja yang menjadi ahli kumpulan boleh masukkan rakan-rakan yang lain. Tidak terhad kepada admin sahaja sepertimana WhatsApp. Jadi memudahkan kerja wakil kelas yang tidak bergaji.
- Bahan-bahan, mesej-mesej yang dimasukkan sebelum ahli baru menyertai kumpulan telegram, masih boleh dibaca oleh mereka, tidak seperti WhatsApp yang hanya menampakkan mesej-mesej setelah kita menyertai kumpulan tersebut.
- Tidak begitu membebankan memori telefon, storage yang lebih baik tidak seperti WhatsApp.
- Senang untuk attach file pelbagai format termasuk power point, jpg. excel, movie, pdf.
- Saiz pemindahan fail (file transfer) juga besar.
- Boleh menggunakan pelbagai platform sama ada telefon pintar (Android, IPhone, IPad, Firefox OS); desktop (Windows, Mac, Linux, MacOS); Web (web-version, Chrome app). Senang cerita, kalau telefon hilang kepintarannya kerana habis bateri, boleh ber’telegram’ menggunakan komputer.
- Bilangan ahli kumpulan sampai mencecah 1000 orang. Namun yang ini tidak berkaitan untuk kelas saya yang saiznya tidak besar.
- Sekuriti lebih baik dengan adanya encryption, boleh juga secret chat. Yang ini setakat ini tidak berkaitan sebab perbincangan PdP di Telegram tidak sampai ke tahap sulit.
Untuk bagaimana saya menggunakan Telegram bagi tujuan PdP, akan disambung nanti in sha’Allah.
Speak Your Mind