Syair Kelebihan Ilmu

Ilmu itulah gemala sakti,

Sinarnya cerah cahaya sejati;

Asal puncanya lamun didapati,

Sukar bercerai sehingga mati.

 

Harganya tidak dapat ternilaikan,

Sebuah dunia belinya bukan;

Kuasanya besar sukat digunakan,

Di laut di darat di rimba di pekan.

 

Masa seorang ialah taulan,

Teman berbeka, suluh berjalan;

Masa berhimpun ia pengenalan.

Hias penyata polan si polan.

 

Bagi yang duka ia penghibur,

Ia penerang bagi yang kabur;

Ialah kandil di dalam kubur,

Lamun dengannya beramal subur.

 

Ia penerang jalan ke syurga,

Ia pemuas tekak yang dahaga;

Ialah sungai ia telaga,

Laut yang luas ialah juga.

 

Ialah alat sangat berguna,

Idaman orang yang bijaksana;

Hamparnya luas amat saujana,

Tepinya ajal sempadannya fana.

 

~Pengasuh 13 Januari 1922 ~

Speak Your Mind

*