Penyelidikan: Pembangunan Kemahiran Insaniah Pelajar Universiti Teknologi Malaysia menerusi Penerapan Khidmat Komuniti dalam Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS)

Dana Pembangunan Pengajaran (DPP), Pembangunan Kemahiran Insaniah Pelajar Universiti Teknologi Malaysia menerusi Penerapan Khidmat Komuniti dalam Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) (Project Leader, 01/07/2014-30/06/2016)

 

Ringkasan Eksekutif

Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) merupakan kursus wajib universiti yang bermatlamatkan untuk  memperkukuhkan perpaduan nasional dan membina negara yang terus stabil dan lebih progresif serta kompetitif dengan masyarakat yang mempunyai perspektif global, sistem nilai yang boleh dicontohi dan budaya mengutamakan prestasi tinggi serta menghargai tradisi dan warisan. Pada 22 Ogos 2006, Kementerian Pengajian Tinggi melancarkan pula modul Kemahiran Insaniah yang dianggap signifikan dalam menghasilkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik malah mempunyai ciri-ciri kualiti, ketrampilan dan berdaya saing (Mohamad Salleh Abu, et.al, 2008). Modul Kemahiran Insaniah telah menggariskan 7 atribut yang perlu dikuasai oleh mahasiswa iaitu Kemahiran Berkomunikasi, Pemikiran Kritis dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah, Kemahiran Kerja Berpasukan, Pembelajaran Berterusan dan Pengurusan Maklumat, Kemahiran Keusahawanan, Etika dan Moral  Profesional serta Kemahiran Kepemimpinan. Justeru kemahiran insaniah berpandukan kepada model embedded boleh diterapkan dalam kursus TITAS melalui khidmat komuniti (service learning). Khidmat komuniti  merupakan satu strategi P & P  yang menggabungkan aktiviti khidmat komuniti dengan pengajaran dan refleksi bagi pemperkayakan pengalaman pembelajaran, menanamkan perasaan bertanggungjawab kepada masyarakat dan memperkukuhkan hubungan sosial. Ia merupakan suatu proses yang memerlukan pelajar terlibat secara langsung dengan aktiviti kemasyarakatan dan mendorong kepada pembangunan diri dan pengalaman secara langsung.Objektif penyelidikan adalah untuk mengenalpasti kesediaan pelajar terhadap penerapan khidmat komuniti dalam P & P TITAS; kesan penerapan khidmat komuniti terhadap pembangunan kemahiran insaniah pelajar; masalah-masalah yang dihadapi, di samping membina kaedah penilaian dan pentaksiran kemahiran insaniah dalam P & P TITAS.Reka bentuk kajian  yang digunakan ialah kajian tindakan menggunakan instrumen-instrumen pemerhatian, temubual, soal selidik dan analisis dokumen. Sampel kajian ialah pelajar-pelajar Tahun 1 yang  mengambil kursus TITAS pada semester 1 sesi 2014/15 yang merupakan pelajar-pelajar  dari seksyen-seksyen yang diajar sendiri oleh ahli-ahli penyelidik. Temu bual  bersemuka turut dijalankan kepada beberapa orang individu yang dipilih daripada komuniti.

Speak Your Mind

*