Cerdik pandai Melayu yang mengutamakan kepentingan ilmu pengetahuan dalam memartabatkan bangsa banyak membicarakan soal kebodohan yang menjadi halangan besar untuk menggapai kejayaan. Proses memandaikan anak bangsa menjadi agenda mereka.
Raja Ali Haji contohnya, mengumpamakan jahil dan bodoh seperti mati (Syair Siti Siyanah). Tatkala membicarakan tentang konsep akal, beliau turut menulis berkaitan dengan konsep bodoh dalam masyarakat Melayu yang digambarkan menerusi beberapa istilah antaranya bebal, benak dan bingai. Setiap satunya mempunyai makna tersendiri yang menunjukkan tentang tahap kebodohan seseorang yang memiliki sifat ini.