Saya mula mengenali nama Ustaz Abdullah Nakula sewaktu menemui salah satu karya beliau iaitu Bentuk Alam yang Mengagumkan yang diterbitkan oleh Pustaka Aman Press pada 1975. Memandangkan buku original sudah tidak lagi dicetak, s aya membuat salinan fotokopi untuk dijadikan koleksi peribadi. Saya turut memiliki buku beliau bertajuk Falsafah dan Pemikiran Orang-orang Melayu: Hubungannya dengan Islam dan Kesenian.
Oleh itu apabila Persatuan Pencinta Sejarah Melayu Kelantan menganjurkan Seminar Ketokohan Ustaz Abdullah Mohamed (Nakula) pada 2 Februari 2019 di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan, saya tidak melepaskan peluang untuk mendaftar sebagai peserta. Niat saya untuk lebih mengenali sosok inteletual Kelantan yang prolifik menghasilkan pelbagai karya. Tokoh yang disifatkan oleh Dato’ A. Aziz Deraman sebagai ‘tokoh ilmu jarang biji mata’, kerana tidak ramai orang yang seperti beliau.
Antara yang mengkagumkan saya tentang Allahyarham Ustaz Abdullah Nakula ialah keupayaan beliau menghasilkan banyak penulisan. Sedari usia 13 tahun beliau sangat minat membaca ratusan buku dari koleksi peribadi tiga maktabah keluarga iaitu milik datuk sebelah bapa dan ibunya serta perpustakaan milik pakcik (ayah sepupu) beliau. Beliau bukan sahaja gemar membaca, malah turut mempunyai hobi menyalin dan mencatat sehingga ada yang mengaitkan gelaran nakula tu daripada kalimah Arab ‘naqala’ yang bermaksud menyalin; meski pun ada pendapat yang mengatakan ia adalah satu watak wayang kulit yang diminati beliau.
Selain daripada dua buah buku yang disebut sebelum ini, beliau turut menghasilkan karya seperti: Bentuk-bentuk Bangunan Masjid: Kunci memahami kebudayaan Melayu, Senibina Islam: Aplikasi di Malaysia, Sejarah Islam, Sejarah HIudp Nabi Muhammad SAW, Falsafah Politik Moden, Meninjau ke Langit, Konsep Ketuhanan dalam konteks hubungannya dengan alam, manusia, masyarakat dan perubahan sejarah.