Walaupun hari ini masih dalam mood cuti Tahun Baru Cina dan agak sibuk dengan tugas menyiapkan markah pelajar, saya tidak melepaskan peluang untuk mendaftar dan menyertai Webminar Kaunseling: Bengkel Asas Kaunseling anjuran Persatuan Kaunseling Syarie (PAKSI). Hasrat untuk belajar kaunseling secara formal memang dah lama ada, kalau boleh nak ambik masters dalam bidang kaunseling. Cuma belum kesampaian. Almaklum sebagai ustazah, menerima panggilan meminta khidmat nasihat, jadi tempat mengadu masalah adalah perkara biasa. Dengan skil kaunseling, setidak-tidaknya ada panduan sistematik yang boleh diikut.
Tambahan pula apabila ada Ketua Research Group memasukkan nama sebagai salah seorang fasilitator KSK Care Zon Selatan. Kemahiran kaunseling secara formal saya nil. Cuma masa sekolah menengah dulu terlibat dalam Kelab Bimbingan Kaunseling dan pada peringkat masters berpeluang berguru ilmu psikologi Islam dengan almarhum Prof. Malik Badri. Yang lain-lain tu pengetahuan hasil pembacaan bahan-bahan berkaitan psikologi dan kaunseling yang menjadi antara minat saya.
Dalam siri pertama tadi, alhamdulillah saya dan peserta lain didedahkan dengan pengenalan prinsip asas Kaunseling Islam, Konsep Islam dan Manusia, Proses Kaunseling Model al-Ghazali, Kemahiran Asas Kaunseling Islam dan Kemahiran Menyoal dalam Kaunseling Islam. Antara penceramah ialah Dr Md Nor dari UPSI dan Ustaz Syukri.
Mudah-mudahan saya berpeluang untuk mengikuti siri pertengahan dan lanjutan serta seterusnya ke peringkat Sijil Profesional Kaunseling Syarie. Walaupun tidak memiliki lesen sebagai kaunselor, setidak-tidaknya ada sedikit ilmu untuk menjadi pembimbing.
Speak Your Mind