Doa ini adalah pengakuan seorang hamba yang banyak menzalimi diri sendiri. Doa memohon keampunan dengan penuh kerendahan hati, mohon rahmat kasihan belas Allah taala dengan penuh kesedaran bahawa tiada yang dapat mengampunkan dosa kecuali-Nya. Berbuat dosa, dan mengaku berdosa. Bahkan mengaku banyak melakukan dosa.
Melakukan dosa disamakan dengan menzalimi diri. Dalam penggunaan biasa bahasa Melayu selalunya dikaitkan dengan makna berlaku kejam atau tidak berperikemanusiaan. Dalam konteks doa ini, zalim merupakan lawan kepada adil. Zalim bermaksud meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. Zalim dan tidak berlaku adil kepada diri. Fitrah diri manusia adalah suci, cenderung kepada kebaikan. Fitrah yang mengenal Tuhan. Berlaku zalim bererti melakukan sesuatu perkara yang tidak bertepatan dengan fitrah sebagai manusia yang berstatus hamba Tuhan. Saat manusia berdosa dan melakukan kezaliman kepada diri sendiri, itulah saat dia membenarkan al-nafs al-hayyawaniyyah (animal soul) menguasai al-nafs al-ruhaniyyah (rational soul). Saat manusia lupa hakikat diri-Nya sebagai hamba, hanyut tenggelam dalam kegelapan lautan noda dosa. Saat dia tersedar kealpaan diri, dia segera kembali kepada Allah, bertaubat, merayu memohon keampunan dengan penuh kerendahan diri. Tahu diri dan insaf dia tidak boleh berpatah balik. Dosa dan salah telah dilakukan. Yang tinggal hanyalah harapan untuk mendapat limpahan rahmat Allah yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Akur bahawa tiada yang dapat mengampuninya melainkan Allah al-Ghafur al-Rahim.
Allah, Aku Zalim
Posted on July 4, 2021 ·