Biar Mati Anak

Biar mati anak jangan mati adat,
Adat bersendikan syarak,
Syarak bersendikan Kitabullah,
Syarak mengata, adat memakai,
Cermin yang tidak kabur,
Pelita yang tidak padam.

Seringkali pepatah biar mati anak jangan mati adat dikritik hebat. Kenapa orang Melayu sampai menganggap adat lebih penting dipertahankan jika terpaksa memilih antara anak dan adat? Saya dulu pun antara yang tidak puas hati dengan pepatah ini dan bersikap menyalahkan orang tua Melayu yang semacam terlalu menyanjung dan menjunjung adat. Adat ciptaan manusia yang berkemungkinan ada salah silapnya, dan kadang kala tidak sesuai dengan zaman sekarang. That was my thought on this, pada masa dulu-dulu.

Rupa-rupanya, selama ini kita hanya diberi baris pertama daripada banyak baris lagi yang menjelaskan tentang maksud biar mati anak jangan mati adat. Adat bukan sebarang adat, tetapi adat yang berasaskan syarak yang bersumberkan al-Quran. Patutlah disebut biar mati anak, jangan mati adat.

Ibrahnya, jangan mudah melatah. Pandangan semesta Melayu selepas proses Islamisasi adalah berasaskan pandangan semesta Islam. Proses Islamisasi yang berlaku sejak sekian lama telah merubah jiwa dan rupa bangsa Melayu. Pemikiran, perlakuan memanifestasikan ajaran Islam. Sebab itu Melayu sinonim dengan Islam, malah itulah konsep Melayu yang didefiniskan dalam Perlembagaan Malaysia. Mengaku Melayu, mestilah Muslim. Jangan dirosakkan konsepsi ini.