Puasa: Jagalah Lisan, Jagalah Jari

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”.

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Puasa bukan sekadar ibadat yang menuntut kita menahan lapar dan dahaga semata-mata. Malah ia adalah suatu proses latihan ta’dib al-nafs yang mendorong kita untuk sentiasa berbuat baik dan mengelakkan kita daripada melakukan hal-hal yang tidak baik.


Biarpun syarat sah puasa ialah meninggalkan segala perkara yang membatalkan puasa, hadis ini menunjukkan puasa adalah melampaui tindakan menahan diri daripada makan dan minum. Puasa juga merupakan ibadah yang melatih diri hanya bercakap yang baik-baik dan bermanfaat. Bukan cakap lepas, mencarut, memaki atau bukan cakap sekadar cakap tanpa ada sebarang tujuan atau cakap kosong. Ini selari dengan hadis Rasulullah S.A.W. yang lain, antara keelokan Islam seseorang ialah apabila dia meninggalkan apa yang tidak berkaitan dengannya. Setiap detik masa yang berlalu bermaksud semakin singkat jangka hayat kita, bukan semakin bertambah. Bahkan semakin berkurang.

Dalam kehidupan hari ini, masa banyak dihabiskan di dunia virtual. Komunikasi dan interaksi banyak berlaku di dunia bukan realiti, yang tiada batas. Dunia tanpa sempadan yang sekiranya tiada sifat taqwa, seseorang itu boleh berbuat apa sahaja. Lebih-lebih lagi jika menggunakan fake account atau meninggalkan komen di ruang-ruang yang orang tidak mengenali kita. Tanpa sifat taqwa, atau kesungguhan untuk benar-benar menjaga diri supaya sentiasa taat kepada Allah, dan menghindari segala larangan-Nya, seseorang tidak ada rasa canggung atau bersalah walau menaip tanpa sebarang tapisan, menggunakan kata kesat atau kotor, body shaming, bergaduh, mengutuk dan segala tutur kata tiada adab. Perkataan meluncur dari mulut atau dari jari jemari tanpa ada rasa segan silu.

Gunakanlah kesempatan Ramadan ini, untuk sama-sama melatih gerak hati, fikiran dan lisan kita untuk terlintas, terfikir dan mengucapkan yang baik-baik sahaja. Ingatlah hidup kita di dunia tidak lama. Islam ni bukan sekadar menjaga hubungan dengan Allah, tetapi juga menjaga hubungan dengan manusia. Alangkan batu pun tidak boleh dimaki, sementelah manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Hidup biar disayangi, bukan dibenci.

Moga Allah terima amal kita semua dan menjadikan kita hamba-Nya yang bertaqwa.