Menulis Ulasan Buku

Antara tugasan yang biasa diberikan oleh pensyarah ialah menulis Ulasan Buku atau Book Review. Termasuk saya, untuk tugasan bagi kursus UICW6230/UHIS6130 Falsafah Sains dan Ketamadunan. Ulasan buku ni – nampak macam senang, baca sebuah buku dan buat ulasan. Namun perlu diingat, ulasan buku bukan ringkasan atau sinopsis buku semata-mata. Tapi pastinya ia lebih mudah berbanding untuk menulis sebuah artikel. Malah ianya boleh dihantar untuk diterbitkan di jurnal-jurnal yang menerima penerbitan ulasan buku. Ada pelajar saya yang menghantar mesej sebaik semester berakhir: “Assalamualaikum Dr Akma, saya nak maklumkan bhw [bahawa] ulasan buku tempohari diterima dlm [dalam] jurnal hadhari. Terima kasih atas bimbingan dan tunjuk ajar Dr Akma”. Moga perkongsian ini dapat memberikan suntikan motivasi untuk anda juga.

Untuk Apa Menulis Ulasan Buku?
•Memberi gambaran dan pandangan terhadap buku yang baru diterbitkan
•Langkah pemula untuk memberi gambaran awal tentang bidang kajian
•Peluang menambah senarai penerbitan anda

Apakah Ulasan Buku?
Ulasan buku bukannya ringkasan/sinopsis buku dan bukan juga sebuah laporan.
Ulasan buku ialah:
– Penilaian secara kritikal terhadap sesebuah buku
– Fokus kepada analisis dan pandangan terhadap buku tersebut
– Menjadi panduan kepada pembaca lain sama ada buku tersebut wajar dibaca atau tidak
– Ringkas dan padat (concise and precise)

Fasa Pra Penulisan

-Cari jurnal dalam bidang berkaitan yang menerima penerbitan Ulasan Buku (Contoh: Jurnal UMRAN https://jurnalumran.utm.my/index.php/umran)

-Pilih satu buku – buku baru/ buku yang kembali mendapat perhatian

-Email editor beritahu tentang buku yang anda ulas, kenapa anda rasa ianya menarik untuk dikongsi kepada pembaca jurnal tersebut. Tanya tentang peluang penerbitan ulasan buku anda.

-Baca buku tersebut dan buat ulasan.

-Buat catatan. Ulasan seharusnya melampaui perkara yang ditemui dalam kandungan

-Penekanan juga perlu dberikan kepada kekuatan dan kelemahan buku yang diulas

-Catat petikan yang ingin dimasukkan dalam ulasan beserta muka surat.
-Untuk jumlah perkataan dan format sila rujuk jurnal yang ingin dihantar

Fasa Penulisan

-Senaraikan informasi asas berkaitan buku. Sebelum membaca, perhatikan tajuk buku dan apa yang cuba disampaikan. Cari sedikit maklumat mengenai biografi penulis, tujuan penulis  menulis buku tersebut. Maklumat ini boleh didapati dalam prakata.

-Baca buku dengan teliti. Sambil menulis, buat catatan tentang pandangan anda terhadap kandungan, gaya, struktur, penyusunan dan lain-lain.

-Setelah selesai membaca, beri sedikit masa untuk fikir tentang  perspektif anda mengenai buku tersebut. -Hasilkan satu pandangan menyeluruh terhadap buku tersebut  sebagai thesis statement anda. Biasanya ia meliputi objektif penulis, sejauh mana ianya dicapai.

-Lihat catatan anda dan lihat apa yang bersesuaian dengan thesis statement ini. Buang yang tidak berkaitan.

-Anda boleh merangka outline dan seterusnya menulis draf pertama ulasan buku.



Apa perlu ada dalam sesebuah ulasan buku?

Tulislah, mudah-mudahan ulasan yang bagus berjaya diterbitkan di jurnal-jurnal yang menerima ulasan buku.

Draf Pertama

-PENDAHULUAN/PENGENALAN : nama pengarang, tajuk, jenis genre, sedikit informasi berkaitan pengarang, tema utama, objektif penulis.

-ISI : Kembangkan thesis statement anda. Terangkan kekuatan dan kelemahan buku tersebut. Analisis kandungan, gaya, struktur dan sebagainya. Satu perenggan untuk satu idea bagi menyokong thesis statement anda. Jangan cerita keseluruhan kandungan. No spoiler please!

-PENUTUP: Ulasan perlu diakhiri dengan kesimpulan yang menyatakan tanggapan keseluruhan anda terhadap buku tersebut,  apakah kebaikan dan kelemahannya. Jangan cadangkan idea baru di bahagian kesimpulan!

Draf Akhir

-Pastikan isi penting jelas dan menyokong thesis statement anda.

-Elak pengulangan walaupun untuk tujuan penekanan. Nyatakan idea dan jelaskan kenapa ia penting.

-Murnikan ayat yang tidak jelas dan tampak pelik. Jika terlalu panjang, pecahkan kepada ayat lebih pendek.

-Pastikan koheren antara ayat dan perenggan.

-Semak ejaan dan tatabahasa

Sedia untuk Dihantar ke Jurnal
– Daftar dalam talian sebagai author dan reader untuk jurnal yang anda berhasrat menerbitkan ulasan anda. Jika berminat untuk menjadi reviewer artikel-artikel yang dihantar ke jurnal tersebut, anda juga boleh pilih untuk jadi reviewer.
– Hantar ulasan buku anda.
– Tunggu dan doa. Sekiranya menerima maklumbalas daripada editor menyatakan ulasan buku anda diterima untuk diterbitkan, alhamdulillah. Jika ditolak, bersabarlah. Jangan putus harap. Tambah baik dan cuba lagi untuk hantra ke jurnal yang sama atau jurnal lain.

All the best!