Selain daripada tajuk, pernyataan masalah juga penting dalam sesuatu penulisan atau kajian. Ia akan membantu untuk mengenal pasti tujuan dan skop penulisan atau kajian yang dilakukan.
Apakah maksud pernyataan masalah?
Pernyataan masalah merupakan pernyataan yang jelas dan padat yang menerangkan masalah atau isu khusus yang ingin diselidiki atau diselesaikan melalui penyelidikan yang dilakukan. Ia membantu untuk merangkum latar belakang kajian secara lebih spesifik, menyorot kelompongan (gap) dalam penyelidikan-penyelidikan sebelum ini dan menetapkan tujuan penyelidikan.
Garapan penulisan pernyataan masalah perlu memperlihatkan penyelidikan yang ingin dijalankan itu penting dan perlu dijalankan. Jika ianya tidak penting, dan tidak perlu maka ianya boleh dianggap sebagai bukan suatu masalah. Jadi tidak ada kepentingan dan keperluan untuk menghabiskan masa untuk menjalankan kajian.
Soalan-soalan Penting dalam Pernyataan Masalah
Tips: Gunakan 7 WH Questions ( Who, What, When, Where, Why, Which, Whose, How) untuk membantu mengembangkan penulisan pernyataan masalah.
Antara soalan-soalan yang boleh ditanya:
Apakah masalahnya?
Berapa kerap masalah berlaku?
Di mana masalah berlaku?
Bila masalah berlaku?
Siapa yang mendapat impak daripada masalah?
Apa penyebab masalah?
Bagaimanakah gambaran keadaan/situasi jika masalah tidak wujud?
Kenapa ianya menjadi satu masalah, dan kenapa ia perlu diberi perhatian?
Apakah kesan/impak akibat daripada masalah tersebut?
Apakah jangkaan penyelesaian kepada masalah yang anda akan cadangkan?
Apakah jangkaan manfaat ataupun hasil daripada penyelesaian yang dicadangkan?
5 Elemen dalam Pernyataan Masalah.
1. Kenal pasti isu atau masalah
2.Mulakan pernyataan dengan situasi ideal sekiranya tiada masalah tersebut
3. Kenal pasti apakan masalah tersebut, apa punca masalah, dan kenapa ianya menjadi suatu isu yang perlu dikaji dan ditangani.
4.Nyatakan apakah kesan isu tersebut
5.Cadangkan penyelesaian.
Pernyataan Masalah yang Baik
Penulisan pernyataan masalah tidak perlu terlalu panjang. Memadai satu atau satu setengah halaman sahaja.
- Ringkas: Anda mampu untuk memberi gambaran secara ringkas dan padat tentang masalah, bagaimana dan kenapa ianya menjadi masalah. Baca berulangkali tulisan anda dan perbaiki supaya nampak jelas apa yang hendak dicapai menerusi kajian.
- Spesifik: Tulis tentang satu isu sahaja dalam pernyataan masalah, walaupun impak kepada isu tersebut banyak. Fokuskan kepada penyelesaian terhadap satu masalah tersebut, supaya tidak mengelirukan.
- Boleh Diukur: Jelas tentang bagaimana mengukur masalah dan objektif yang dinyatakan.