Kritikan terhadap Pasca Modernisme

Pasca modenisme sebagai sebuah aliran pemikiran yang muncul pada pertengahan abad ke-20, sering kali dipandang sebagai reaksi terhadap modernisme dan naratif besar (grand narratives) yang mencirikan era tersebut. Walau tidak dibincang menerusi sorotan agama sekalipun, pasca modenisme yang dikatakan membawa pandangan yang lebih fleksibel dan plural terhadap realiti, telah mendapat banyak kritikan daripada pelbagai aspek. Berikut adalah beberapa kritikan utama terhadap ideologi pasca modenisme:

1. Relativisme Moral dan Epistemologi

Pasca modenisme sering dikritik kerana kecenderungannya terhadap relativisme, baik dari segi moral mahupun epistemologi. Relativisme moral menegaskan bahawa tidak ada kebenaran mutlak mengenai perkara yang benar atau salah, mahupun baik atau buruk. Malah setiap kepercayaan moral dianggap sahih bergantung kepada konteks budaya atau individu. Secara epistemologi pula, pasca modenisme menolak idea adanya kebenaran objektif atau universal yang boleh dicapai.

Faham seumpama ini boleh memberi beberapa implikasi, antaranya:

a. Kehilangan Pedoman Moral

Pemikiran yang menganggap tiada kebenaran mutlak mengenai benar atau salah, baik atau buruk boleh mengakibatkan manusia tiada panduan yang jelas mengenai isu-isu etika yang menyebabkan kesukaran dalam menentukan keputusan moral yang konsisten. Kelakuan yang dianggap buruk pada zaman Victoria (tempoh 64 tahun pemerintahan Victoria I 1837-1901), berubah menjadi nilai baik pada zaman kemudiannya.

b. Ketidakpastian Ilmu Pengetahuan

Dari segi epistemologi pula, relativisme menyatakan semua bentuk ilmu pengetahuan mempunyai nilai yang sama. Hal ini menghalang usaha untuk mencapai atau mempertahankan kebenaran objektif. Malah kebenaran sesuatu ilmu juga diragui. Failsasuf Jürgen Habermas berpandangan, tanpa konsep kebenaran atau rasionaliti yang universal, dialog dan perdebatan tentang isu-isu moral atau politik menjadi sukar untuk mencapai resolusi atau sepakat. Baik bagi satu pihak belum tentu baik bagi pihak yang lain. Idea ketidak percayaan terhadap naratif besar seperti yang didokong oleh Jean-François Lyotard, salah seorang tokoh utama pasca modenisme, dianggap oleh pengkritik sebagai kelemahan dalam menghadapi tuntutan kebenaran atau prinsip moral yang kukuh.

2. Dekonstruksi yang Berlebihan
Pasca modernisme menggunakan pendekatan dekonstruksi untuk membongkar dan menganalisis naratif besar dan struktur kuasa yang terselindung di sebalik bahasa dan budaya. Walaypun dekonstruksi ini dapat membuka pellbagai lapisan makna, pengkritik berpendapat ia boleh menjadi terlalu ekstrim dan destruktif.

Antara implikasi dekonstruksi relativisme ialah:

a. Pemusnahan tanpa menawarkan alternatif yang konstruktif. Dekonstruksi berlebihan boleh membawa kepada pemusnahan dan penolakan idea atau struktur yang telah stabil tanpa mengemukakan alternatif yang konstruktif. Ini menyebabkan kekosongan makna atau kehilangan arah dalam sesuatu budaya dan masyarakat.

b. Fokus berlebihan kepada dekonstruksi menyebabkan letidak mampuan untuk membangunkan naratif baru yang mampu menghubungkan masyarakat atau memberi makna kolektif. Antara pengkritik faham ini ialah Richard Rorty, seorang ahli falsafah pragmatis. Beliau berpendapat dekonstruksi yang berlebihan mengabaikan keperluan untuk “membangun” selepas “membongkar,” dan ini boleh membawa kepada sikap nihilistik. Terry Eagleton, dalam karyanya The Illusions of Postmodernism, menegaskan bahawa pasca modenisme sering memusatkan perhatian pada ketidakmungkinan naratif besar tanpa mempertimbangkan perlunya naratif yang memandu tindakan kolektif.

3. Individualisme yang Berlebihan dan Fragmentasi Sosial

Pasca modenisme menekankan kepelbagaian dan individualisme, yang mengakui keunikan dan hakikat subjektif setiap individu atau kelompok. Namun, pengkritik berpendapat penekanan ini boleh mendorong perpecahan dalam masyarakat dan melemahkan kohesi sosial.

Antara implikasi daripada keadaan ini ialah kesatuan sosial berkurangan. Fokus kepada kepelbagaian dan fragmentasi boleh menghalang penciptaan identiti kolektif atau solidariti yang diperlukan untuk tindakan sosial yang berkesan. Di samping itu penekanan kepada individualisme boleh menyebabkan masyarakat lebih berpecah dan kurang mampu menangani masalah bersama secara kolektif.

Christopher Lasch, dalam bukunya The Culture of Narcissism, mengkritik budaya pasca moden yang, pada pandangan beliau, mendorong kepada individualisme yang melampau dan melemahkan solidariti sosial. Fredric Jameson, seorang ahli teori budaya, melihat pasca modenisme sebagai penyebab perpecahan dalam struktur sosial, yang mencerminkan ketidakpastian dan ketidakstabilan dalam ekonomi dan budaya.

4. Skeptisisme terhadap Sejarah dan Ilmu Pengetahuan

Skeptisisme adalah antara ciri yang jelas dalam pemikiran pasca modenisme. Golongan pasca modenis sering bersikap skeptik terhadap ilmu dan sejarah. Mereka melihat keduanya sebagai naratif yang dibentuk oleh kuasa dan ideologi, justeru mereka menolak objektiviti dan kebolehpercayaan fakta sejarah dan pengetahuan saintifik. Implikasinya ilmu pengetahuan tidak dilihat sebagai suatu yang objektif, Hal ini boleh merendahkan nilai ilmu dan sumbangannya kepada perkembangan dan kemajuan hidup manusia. Di samping itu, ketidakpercayaan terhadap naratif sejarah boleh menyebabkan fakta sejarah ditolak dan diputar belit untuk tujuan mempertahankan ideologi atau pegangan politik.

Alan Sokal dan Jean Bricmont, dalam buku mereka Fashionable Nonsense, mengkritik pasca modenisme kerana menyalahgunakan konsep saintifik dan merendahkan kebenaran saintifik. Manakala Francis Fukuyama, menekankan pentingnya naratif sejarah yang dapat menyatukan dan memberikan panduan bagi tindakan politik dan sosial.

5. Anti-Realiti dan Pengaruhnya Terhadap Seni dan Budaya

Pasca modenisme sering dikaitkan sebagai anti-realiti, menolak idea bahawa seni atau budaya perlu mencerminkan realiti yang objektif sifatnya. Hal ini boleh menyebabkan seni dan budaya pasca moden hilang keaslian dan kedalaman, menjadi terlalu mementingkan ironi dan hal-hal di permukaan sahaja. Pendekatan pasca moden yang kompleks dan tidak linear boleh menjadikan seni dan budaya sesuatu yang asing bagi orang awam justeru kurang mendapat akses dan tidak relevan untuuk mereka. Hillary Putman mendakwa pasca modenisme sebagai mengasingkan manusia dari realiti dan menggantikan kebenaran dengan konstruksi sosial yang tidak stabil.Seni dan karya sastra pasca moden sering dikritik kerana menjadi terlalu fokus pada dekonstruksi dan permainan estetik sehingga mengabaikan mesej atau makna yang lebih mendalam.

Kesimpulan

Walaupun pasca modenisme seolah-olah membawa pemahaman yang lebih fleksibel dan kompleks terhadap dunia, ia juga menghadapi kritikan hebat. Kritikan-kritikan ini menyoroti cabaran dalam mengimbangi antara kebebasan individual dan keperluan untuk naratif kolektif, serta antara penerimaan pluraliti dan pencarian kebenaran atau nilai yang lebih stabil. Dalam memahami pasca modenisme, penting untuk menilai secara kritis dampaknya terhadap ilmu, budaya dan masyarakat.