PROGRAM SIMULASI IBADAH HAJI UNTUK KANAK-KANAK TADIKA NEGERI JOHOR

Program Simulasi Ibadah Haji Untuk Pelajar-Pelajar Tadika Islam Negeri Johor bertemakan ‘Di Sini Bermulanya SI Cilik Celik Haji’ telah diadakan pada 15 September 2015 di perkarangan Masjid Kota Iskandar, Nusajaya, Johor. Program ini melibatkan seramai 37 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia yang mengambil kursus UICI 1022: TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA dari seksyen 50 (Fakulti Pendidikan), seksyen 11     ( Fakulti Sains) dan dua orang pelajar pasca ijazah Fakulti Tamadun Islam. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Tadika Islam Malaysia dan Persatuan Tadika Islam Negeri Johor dengan kerjasama Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia dan Masjid Kota Iskandar, Nusajaya. Seramai 1150 orang kanak-kanak , 250 orang guru dari 40 buah tadika seluruh negeri Johor terlibat dalam program ini.

Penglibatan pelajar-pelajar UTM adalah sebagai sukarelawan bagi menjalankan tugas-tugas sebagai fasilitator dan mutawwif yang membimbing kanak-kanak tadika yang menyertai program tersebut. Tugas utama mereka adalah sebagai mutawwif yang membimbing kanak-kanak tadika untuk menyempurnakan rukun dan wajib hajji serta melaksanakan sebahagian amalan sunat haji seperti bertalbiah dan sebagainya. Selain daripada itu, mereka juga terlibat dalam membantu penganjur dalam melancarkan urusan pendaftaran, menjaga setiap check point dan lain-lain tugas yang diperlukan bagi memastikan kelancaran program.

Program ini merupakan satu cabaran  besar bagi pelajar-pelajar UTM yang bukan dari aliran pengajian Islam, yang rata-ratanya belum berpeluang untuk menjalani ibadah umrah mahupun haji. Namun dengan  asas pengetahuan  sedia ada mengenai  ibadah haji di samping mendapat bimbingan khusus daripada Ustazah Akmaliza Abdullah selaku penasihat program dan Ustazah Kasmah Ayob selaku penyelia pendidikan pra sekolah, Jabatan Agama Islam Johor, pelajar-pelajar UTM  telah melaksanakan tugas sebagai mutawwif dengan jayanya.

Program libatsama komuniti ini memberi impak kepada komuniti sasaran dan pelajar yang terlibat terutamanya dalam memperkukuhkan hubungan sosial rentas usia yang terbina sepanjang program berlangsung. Pelajar-pelajar TITAS juga turut didedahkan kepada satu strategi pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan aktiviti khidmat komuniti bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran melalui penglibatan secara langsung menerusi sumbangan ilmu dan kemahiran kepada masyarakat di luar kampus. Di samping itu, pelajar-pelajar juga dapat mempertingkatkan kemahiran insaniah terutamanya aspek kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan kemahiran penyelesaian masalah.

Program Helping Hands UTM (TITAS Sek 37) – Rumah Warga Emas Nur Ehsan, Kempas

 

Seiring dengan sambutan Hari Warga Emas dan Hari Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Sayang Kamu’ yang diadakan pada  3 Oktober 2015  di PERSADA Johor Bahru, Johor, Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan telah dipilih sebagai sasaran program khidmat komuniti yang melibatkan seramai 24 orang pelajar yang mengambil kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Program ini  diadakan pada 21 November 2015 (Sabtu), bermula pada jam 7.30 pagi sehingga 1.00 petang.

Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas Baru, Johor Bahru, Johor merupakan sebuah rumah kebajikan yang memberikan perlindungan kepada  warga emas yang sepenuhnya beragama Islam. Program bersama warga emas bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran insaniah,  sifat ihsan, sabar dan penyayang di samping memupuk kesedaran dalam diri mahasiswa/i tentang tanggungjawab memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka serta mengeratkan hubungan inter generasi antara golongan muda dan warga emas.