Jejak Turki Uthmani di Nusantara dan Hubungan dengan Kesultanan Melayu

Ini antara impian dan angan-angan saya. Ingin membuat penyelidikan berkaitan hubungan Khilafah Utmaniyyah dengan dunia Melayu. Dari waktu belajar, bermacam-macam persoalan bermain di fikiran. Antaranya sewaktu Portugis menyerang Melaka, tidak adakah sebarang bantuan dihantar oleh Khilafah Uthmaniyyah? Konsep khilafah dalam Islam bukan seperti jajahan takluk. Tanggung jawab seorang khalifah untuk melindungi rakyat dalam wilayah yang dinaunginya. Rupanya betul memang ada, tetapi armada Portugis sampai dulu. Kesultanan Melaka berjaya diruntuhkan. Berbeza dengan Aceh, bantuan sempat dihantar. Kajian saya tentang Raja Ali Haji, turut menemukan sosok ulama bernama Raja Ali Kelana Bin Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi (1860-1927 ) yang juga Shaykh al-Islam bagi negeri Johor yang pernah ke Turki untuk urusan diplomatik. Belum lagi dikisahkan tentang Shaykh Daud dan Shaykh Ahmad al-Fatani.

Justeru apabila Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, ATMA UKM menganjurkan Siri 5/2021 Diskusi Manuskrip Melayu pada 15 September 2021 bertajuk Jejak Turki Uthmani di Nusantara dan Hubungan dengan Kesultanan Melayu. Ia dibentangkan oleh Encik Sadiq Ozata, Ketua Hayrat Malaysia.

Berikut adalah antara nota yang sempat saya catat:

1. Seperti yang saya katakan di awal tadi, Islam tersebar bukan dengan mata pedang seperti dakwaan sesetengah orientalis. Ini bertepatan dengan penjelasan En Ozata yang menyatakan al-Fath atau pembukaan wilayah oleh Daulah Islamiyyah berbeza dengan penjajahan yang dilakukan oleh kolonial Eropah. Wilayah yang bernaung di bawah Khilafah Uthmaniyyah mendapat hak untuk diperintah secara adil dan mendapat pembelaan. Pemerintah sebagai khadimu’l-ummah, bukan penakluk.

2. Pada 1240 Hijriyyah, dalam surat yang dihantar oleh Sultan Jawa kepada Sultan Mahmud II ada menyebut tentang Kerajaan Uthmaniyyah pernah menghantar bantuan askar dan kepakaran ketenteraan bagi membantu perintah Jawa membuka wilayah-wilayah baru dan menyebarkan dakwah Islamiyyah.

3. Antara sekatan yang dikenakan oleh penjajah Belanda di Indonesia ialah mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat Muslim bagi menghalang mereka dari menunaikan haji. Halangan bertujuan untuk menyekat umat Islam Nusantara daripada bertemu dengan umat Islam lain dan mengadakan hubungan dengan Daulah Uthmaniyyah.

4. Pada era Sultan Abdul Majid, ada umat Islam Nusantara yang berhijrah untuk melarikan diri dari kekejaman Belanda dan mendapatkan bantuan daripada Uthmaniyyah. Sultan memerintahkan supaya diberi naungan dan perlindungan kepada umat Islam Nusantara


Bersambung…