Dynamic stabilism adalah satu kata konsep yang dibahaskan oleh Prof Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang mengandungi dua elemen iaitu dinamik dan kestabilan. Ia merujuk kepada corak perjuangan ulama muktabar dalam tamadun Islam yang bersikap dinamik, kreatif, inovatif dan terbuka kepada perubahan namun dalam masa yang sama berpegang teguh kepada aspek-aspek fundamental dalam Islam seperti akidah, tidak merosakkan identiti Islam. Contoh dalam tamadun Melayu misalnya, menerusi proses Islamisasi, tulisan jawi yang menggunakan huruf Arab diperkenalkan dengan penambahan beberapa huruf yang unik untuk bahasa Melayu seperti huruf ‘nya’ dan ‘ca’. Begitu juga dengan penerimaan kata serapan daripada bahasa Arab yang menayangkan kata kunci atau istilah seperti fikir, sabar, ilmu dan sebagainya. Dalam masa yang sama kata serapan dari bahasa Sanskrit seperti sembahyang, syurga, neraka, dosa, pahala dan lain-lain tetap dikekalkan penggunaannya. Tidak terus mengharamkannya secara total namun ianya disesuaikan, diselaraskan dan diberi makna baru selari dengan konsep yang terkandung dalam ajaran Islam.
Keadaan ini berbeza dengan golongan konservatif yang sangat menjaga aspek fundamental namun menolak sebarang bentuk perubahan atas alasan ianya merupakan sesuatu yang bersifat bid’ah dan menyesatkan.
Manakala golongan sekular atau liberal pula bersifat dinamik dan melakukan banyak perubahan sehingga menolak aspek-aspek fundamental yang dilihat mengongkong dan menyebabkan kemunduran.
Dynamic Stabilism
Posted on September 24, 2021 ·