Tatacara solat duduk_Bahagian 2: Syarat bagi orang yang solat duduk

2.0 Syarat Bagi Orang Yang Solat Duduk:

Ketika seseorang sakit dan menghadapi kepayahan untuk berdiri, maka kelayakan seseorang mengerjakan Solat sambil duduk adalah seperti berikut:

(1) Hendaklah sedaya upaya cuba untuk berdiri walaupun sebentar untuk melakukan Takbiratul Ihram. Sebahagian Ulama menegaskan : Jika dia mampu berdiri dengan berpegang kepada tali atau menampung dengan tongkat atau lain-lainnya, maka hendaklah dia usahakan untuk berdiri — jika dia TIDAK menanggung kesakitan. Sebaliknya jika dia menghadapi kesulitan yang berat sehingga menanggung kesakitan, atau ditakuti penyakitnya bertambah teruk, maka TIDAKlah disyaratkan demikian.

Selepas melakukan Takbiratul Ihram, dia boleh duduk jika dia tak kuasa berdiri lagi.
*Dan duduk nya itu hendaklah di atas lantai (tempat berdiri untuk solat) dan BUKAN duduk atas kerusi seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang pada zaman ini. Ini kesalahan yang batalkan solat.*

*Perhatikan baik-baik:*
Menurut syarat asal, sujud mesti dilaksanakan dengan meletakkan 7 anggota badan pada lantai. Orang yang duduk atas kerusi takkan dapat sempurnakan semua syarat tersebut. Maka batallah solat nya jika dia mampu duduk di lantai tetapi sengaja duduk atas kerusi.

Demikian lagi rukun lain seperti duduk antara dua sujud, tahiyyat akhir, bacaan tahiyyat akhir, solawat dan salam yang mana semua ini wajib dikerjakan dengan duduk atas lantai tetapi takkan dapat disempurnakan jika dia duduk atas kerusi.

Jika dia tak kuasa langsung duduk di atas lantai disebabkan suatu kecederaan pada kakinya, atau kecederaan pada punggungnya atau sebab-sebab lain sehingga dia terhalang dari duduk di atas lantai, maka ketika itu barulah dia dibenarkan duduk atas kerusi atau katil atau pangkin atau lain-lain sepertinya. — rujuk penerangan lagi seterusnya.

(2) Jika dia mampu melakukan Takbiratul Ihram dan mampu lagi menyambung bacaan surah Al Fatihah, maka dia WAJIB terus berdiri untuk membaca nya sehingga dia tak kuasa lagi berdiri, maka ketika itu diharuskan duduk. Umpamanya dia hanya dapat membaca tiga ayat dari Surah Al-Fatihah, kemudian dia mendapati tak kuasa berdiri lagi, maka ketika itu harus duduk.

(3) Jika dia benar-benar tak kuasa untuk berdiri walaupun sebentar untuk melakukan Takbiratul Ihram, maka ketika itu diharuskan duduk untuk mulakan solat dengan Takbiratul Ihram. Maksudnya jangan dipaksa lagi jika dia tak kuasa berdiri.

*Hendaklah diingat baik-baik:*
Jika seseorang mampu berdiri untuk mengangkat Takbiratul Ihram, tetapi dia terus duduk dan melakukan Takbiratul Ihram, maka BATAL solat nya.

(4) Pilihan pertama bagi orang yang tidak berkuasa berdiri adalah *duduk di atas lantai (tempat orang berdiri untuk solat)* dan BUKAN duduk atas kerusi sebagaimana yang umum dilakukan orang pada zaman ini. Selagi mampu duduk di atas lantai hendaklah dia sempurnakan Solat dengan duduk di atas lantai.

Bagaimana cara duduk di atas lantai ?
Orang yang duduk atas lantai di benarkan duduk iftirasy atau tawwaruk.

Jika tak kuasa demikian, maka boleh duduk bersila. Jika tak kuasa juga duduk bersila, maka boleh melunjur kakinya ke arah Qiblat (sebaik-baik ada penghadang seperti dinding di hadapan). Jika tak kuat tulang belakang duduk lama, harus sandar ke dinding atau tiang atau sebagainya. Di sini kita lihat betapa luas kemurahan Allah Ta’ala Kurniakan keringanan bagi orang yang uzur solat sambil duduk.

Jika seseorang mendapati dia tak dapat langsung duduk di atas lantai walau apa cara pun, disebabkan kesakitan yang ditanggungnya dan dia hanya mampu duduk atas kerusi, maka ketika itu barulah dia harus duduk atas kerusi, pangkin, katil atau sebagainya.

Jika dia mampu duduk di atas lantai untuk mengerjakan satu rakaat, maka ketika itu dia wajib sempurnakan satu rakaat itu didalam keadaan duduk atas lantai. Kemudian dia harus duduk di atas kerusi dan tunaikan baki rakaat.

Nota: Sambungan huraian bahagian 1, bahagian 3, bahagian 4, bahagian 5, bahagian 6, bahagian 7 dan bahagian 8.  

Jawapan:
Shaikh Sayyid Abu Tohir
Mursyid, Silsilah Naqsyabandiah
Al Kholidiyah
*MAJLIS TAZKIRAH JILANI*
???????

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.