Fasa Penilaian (Pentaksiran Formatif) adalah fasa selepas fasa Peneguhan Konsep. Untuk menjadikan penulisan Penilaian (Pentaksiran Formatif) dalam RPH lebih profesional, sebaiknya menyentuh aspek berikut:
a. Aktiviti: Apa yang murid buat?
b. Tujuan: Apa yang ingin dinilai? (Objektif pembelajaran)
c. Tindakan Susulan: Apa yang guru buat selepas mendapat jawapan murid? (Inilah intipati pentaksiran formatif).
Penulisan Penilaian (Pentaksiran Formatif) yang umum seperti ” Kuiz bertulis (5 soalan)” adalah tidak memadai bagi menerangkan fasa Penilaian (Pentaksiran Formatif). Contoh lain: “Murid menjawab soalan kuiz Quizziz melalui platform padlet. Guru menilai tahap penguasaan murid.” mempunyai maklumat tambahan tentang apa yang guru lakukan tetapi masih boleh diperbaiki. Ianya tidak mempunyai penjelasan tindakan guru selepas mempunyai penilaian tahap penguasaan murid.
Contoh penulisan Penilaian (Pentaksiran Formatif)
Murid menjawab 5 soalan kuiz bertulis (Lampiran 1) dalam tempoh 5 minit (Apa yang murid buat). Guru menyemak jawapan murid secara rawak untuk mengenal pasti tahap penguasaan objektif pembelajaran (Tujuan). Murid yang salah diberikan bimbingan (remedi), manakala yang betul diberikan latihan pengayaan (Tindakan).