Cara penulisan Pengembangan Konsep

Penulisan pengembangan konsep dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH) adalah fasa kritikal di mana guru membina pemahaman murid daripada asas kepada tahap yang lebih mendalam. Pengembangan konsep berlaku selepas set induksi dalam tempoh 8-10 minit bagi sesi PdPC berjangka masa 30 minit.

Berikut adalah elemen-elemen utama yang perlu dititikberatkan untuk memastikan konsep tersebut disampaikan dengan berkesan:


1. Pemeringkatan Idea (Scaffolding)

Konsep tidak boleh diberikan sekaligus. Ia perlu disusun mengikut hirarki kognitif:

  • Konkrit ke Abstrak: Mulakan dengan bahan bantu mengajar (BBM) yang boleh disentuh sebelum beralih kepada teori.
  • Mudah ke Kompleks: Pastikan murid menguasai sub-topik A sebelum diperkenalkan kepada sub-topik B.
  • Pengetahuan Sedia Ada: Kaitkan konsep baharu dengan apa yang telah mereka pelajari sebelum ini.

2. Kepelbagaian Strategi & Kaedah

Jangan hanya bergantung pada syarahan (chalk and talk). Pertimbangkan:

  • Inkuiri Penemuan: Biar murid mencari jawapan melalui eksperimen atau simulasi.
  • Pembelajaran Kooperatif: Gunakan struktur Think-Pair-Share atau Gallery Walk untuk mengembangkan idea melalui perbincangan rakan sebaya.
  • Penyelesaian Masalah: Berikan senario dunia sebenar yang memerlukan aplikasi konsep tersebut.

3. Penggunaan Analogi dan Contoh

Konsep yang sukar akan lebih mudah difahami jika dipadankan dengan situasi harian dengan penggunaan analogi atau contoh/bukan contoh.

  • Analogi: Contohnya, menerangkan pengaliran arus elektrik seperti pengaliran air dalam paip.
  • Contoh & Bukan Contoh: Tunjukkan apa itu “Jahitan” (contoh maujud kain dengan jahitan berbeza ) dan apa yang “Sulaman” (contoh maujud sulaman) untuk memperincikan sempadan konsep.

4. Integrasi KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi)

Sediakan soalan-soalan yang mencabar pemikiran murid semasa konsep dikembangkan:

  • Gunakan kata kerja seperti Menganalisis, Menilai, dan Mencipta.
  • Sediakan soalan “Bagaimana jika…” atau “Mengapa…” untuk menggalakkan penaakulan logik.

5. Penggunaan Bahan Bantu Belajar (BBB) yang Relevan

Pastikan bahan yang digunakan membantu visualisasi konsep:

  • Peta Pemikiran (i-Think): Gunakan Peta Buih atau Peta Pokok untuk menstrukturkan maklumat.
  • Teknologi: Integrasi simulasi digital, video pendek, atau aplikasi interaktif (seperti Quizziz atau Padlet) untuk mengukuhkan kefahaman.

6. Pentaksiran Formatif (Check for Understanding)

Guru perlu menyemak kefahaman murid semasa proses pengembangan konsep sedang berlaku walaupun ada fasa khas untuk penilaian (pentaksiran formatif) selepas fasa peneguhan konsep. Guru boleh menggunakan teknik penyoalan bagi mendapatkan maklum balas dengan segera ketika fasa pengembangan konsep.

  • Teknik Penyoalan: Gunakan teknik no-hands-up atau papan putih mini untuk melihat maklum balas serta-merta.
  • Maklum Balas Segera: Betulkan miskonsepsi (salah faham) dengan serta-merta sebelum beralih ke langkah seterusnya.

Contoh penulisan pengembangan konsep berdurasi 10 minit:

Nota: Perhatikan pembahagian penerangan berdasarkan aturan tertentu: penerangan berstruktur -> visualisasi proses -> demonstrasi & interaksi

Penerangan Berstruktur (Visual & Perbandingan):

  • Guru memaparkan slaid interaktif yang membandingkan ciri-ciri kayu, keluli, konkrit, dan bata dari segi kekuatan dan kegunaan dalam industri pembinaan (3 minit).
  • Murid mencatatkan perbezaan utama dalam Peta Pokok (i-Think) ringkas berdasarkan penerangan guru.

Visualisasi Proses (Tayangan Video):

  • Guru menayangkan video berdurasi 2 minit mengenai Ujian Penurunan Konkrit (Slump Test) untuk memberi gambaran sebenar tentang kebolehkerjaan (workability) konkrit di tapak bina.
  • Sambil menonton, guru memberikan ulasan (voice-over) tentang kepentingan nisbah air dan simen bagi mengelakkan kegagalan struktur.

Demonstrasi & Interaksi (Pemerhatian Dekat):

  • Guru menunjukkan bahan maujud (sampel bata dan potongan keluli) untuk dirasai tekstur dan beratnya oleh murid (pembelajaran kinestetik). Durasi: 5 minit
  • Guru melakukan demonstrasi ringkas ujian penurunan menggunakan set model mini untuk menunjukkan perbezaan antara konkrit yang terlalu cair, terlalu pekat, dan ideal. Guru menyoal murid ketika demonstrasi dilaksanakan bagi memastikan tiada salah konsep berlaku (salah konsep = misconception).

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.

UTM Open Day