Kelas penyelidikan seksyen yang saya dan rakan ajar memang agak terkenal dalam kalangan pelajar. Jangan tanya kenapa pelajar sanggup tukar seksyen pada minggu kedua atau ketiga apabila menyedari bahawa seksyen yang didaftarnya bukan seksyen yang kami ajar.
Pada minggu pertama, saya mendapati bahawa terdapat 21 orang pelajar dan kesemua mereka adalah pelajar tempatan. Dalam hati terdetik “Alhamdulillah! Lega!” Tetapi kegembiraan saya tidak lama. Ada beberapa pelajar antarabangsa menghantar email di akhir minggu pertama “merayu” untuk dibenarkan mendaftar ke seksyen saya. Saya hanya menjawab, urusan pertukaran seksyen boleh dilakukan sekiranya perlu.
Pada minggu kedua dan ketiga, saya perasan bahawa terdapat beberapa pelajar antarabangsa. Masalah bahasa adalah salah satu yang saya perlu tangani. Apa pun, pada hari pertama kelas (minggu pertama), ada beberapa pelajar tempatan yang menyatakan hasrat untuk dibenarkan bertanya dan menyiapkan tugasan dalam bahasa Malaysia kerana tesis yang mereka tulis menggunakan bahasa Malaysia. Saya tiada masalah kerana saya memahami BM dan BI. Ini adalah akad antara saya dan juga pelajar tempatan yang tidak diketahui oleh pelajar yang mendaftar lewat.
Semalam, ada seorang pelajar (Pelajar A) yang bertanya saya untuk menyemak tugasannya. Dia berkongsi paparan di skrin. Dia menulis tesisnya dalam BM jadi apa yang terpapar adalah dalam BM. Pada mulanya, dia cuba bertanya dalam BI tetapi dia merasa sukar untuk bertanya. Dia meminta izin untuk bertanya dalam BM. Rata-rata pelajar tidak mempunya masalah dan menunjukkan “thumbs up” di skrin. Beberapa pelajar antarabangsa tidak memberikan apa-apa respons apabila ditanya. Dalam hati berkata “Mereka ni faham ke tak yang rakannya sedang meminta izin?” Tanpa berlengah, pelajar tersebut bertanya soalan. Saya cuba menjawab dalam BI tetapi ada beberapa istilah yang saya kenalpasti tidak sesuai digunakan jadi saya menerangkan perkara tersebut dalam BM. Ada pelajar tempatan yang cuba menterjemah perbincangan di ruangan “chat” akan tetapi salah seorang pelajar antarabangsa tersebut berasa tidak puas hati dan dia menulis sesuatu di ruangan “chat” dalam bahasa yang saya tidak faham. Mungkin kata makian tetapi “ada aku kisah?“
Menyedari tulisannya di ruangan “chat” yang saya tidak faham, saya menjelaskan bahawa pelajar yang bertanya itu menunjukkan draf tugasannya dalam BM. Saya menjelaskan bahawa di hari pertama kelas, saya dan pelajar tempatan telah bersetuju untuk menggunakan BI dan BM. Penggunaan BM adalah bagi keadaan tertentu. Pelajar antarabangsa itu tidak maklum tentang ini kerana dia tidak mendaftar lagi ketika itu. Dalam hati terdetik “Ada aku suruh atau paksa masuk dalam seksyen aku? Dah masuk lewat tu, ikut je la apa yang telah dipersetujui”
Dia masih tidak berpuas hati. Saya menjelaskan kembali apa yang dibincangkan dengan pelajar A berkaitan dengan tajuk yang dibincangkan. Untuk mengurangkan ketegangan, saya memberitahunya bahawa terdapat seksyen lain yang diajar dengan menggunakan BI sepenuhnya kerana salah seorang yang mengajar bukan warga tempatan. Ini adalah seksyen asal yang pelajar ini mendaftar sebelum bertukar ke seksyen saya. Well, I rest my case!
Saya memberikan mereka aktiviti untuk melakar kerangka konsep mereka di Jamboard. Ramai pelajar tempatan yang telah menyiapkan tugasan aktiviti ini semalam (sebelum tidur saya sempat melihat hasil beberapa pelajar). Alhamdulillah pelajar memahami konsep asas bagaimana merakar kerangka konsep berdasarkan pemboleh ubah/konstruk yang dikaji. Pelajar antarabangsa? Frame Jamboard mereka masih kosong, bersih, dan polos. Saya memberikan mereka masa seminggu untuk menyiapkan tugasan ini. Hasil tugasan ini sebenarnya akan digunakan untuk tugasan akhir (Proposal). Untuk menyemak proses pelajar menyiapkan proposal, aktiviti yang dilaksanakan dalam kelas bersifat “hands-on” dan uncit-uncit. Hasil tugasan tersebut sebenarnya berguna untuk menyiapkan tugasan yang agak berat (dengan markah yang agak banyak = 40%).
Adakah pelajar antarabangsa itu sedar akan keadaan ini? Let’s wait and see.
Saya memberikan sedikit tips bagaimana menyemak kembali kerangka konsep dengan persoalan kajian yang dikaji. Cuma saya berpesan bahawa untuk aktiviti ini, lakaran boleh diselitkan dengan maklumat seperti persoalan kajian dan sebagainya untuk tujuan semakan. Tetapi untuk penulisan bab 1, lakaran kerangka konsep perlu “bersih” daripada maklumat tidak perlu.