Agak gerun mendengar maklumat dari CP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay. Kalau dokumen palsu, ianya merupakan jenayah kolar putih dan tindakan akan diambil oleh PDRM. Kalau melibatkan “tender”, ianya menjadi kes SPRM. Selama ini aku tidak tahu apa perbezaannya.
Ada soalan yang ditanya oleh peserta sesi ini yang agak kontroversi tetapi Dato’ Ayob menjawabnya dengan cekap dan berinformasi. Bukan berdasarkan pandangan peribadi. Dari jawapannya dan cara dia menjawab soalan-soalan yang diutarakan, beliau seorang yang berwibawa dan tegas.
Apa pun, beliau ada menekankan faktor menggunakan maklumat yang tepat, mempunyai iltizam untuk membetulkan apa yang salah dan berani dalam menangani rasuah dan salah laku yang melibatkan jenayah (dalam konteks penjawat awam = jenayah kolar putih).
Selain daripada itu, Dato Ayob juga menitip pesanan dan nasihat terutama kepada penjawat awam beragama Islam (Muslim) supaya sentiasa mengingatkan diri tentang haram/halal, dosa/pahala dan balasan yang akan diterima selepas diadili oleh Allah SWT di hari akhirat nanti. Meskipun kita mungkin terlepas dari mendapat hukuman di dunia ini, akan tetapi kita perlu sentiasa ingat akan hakikat bahawa hukuman Allah SWT adalah sesuatu yang pasti dan kita tidak dapat terlepas daripada hukuman Allah SWT.
Nasihatnya amat kerap kita dengar akan tetapi inilah cabarannya bagi setiap kita untuk menghayati dan mengamalkan ajaran Islam ketika kita melaksanakan amanah tidak kira kerjaya yang kita lakukan.