COVID-19: Kualiti Kehidupan Dengan Bismillahirrahmanirrahim

SIRI MOTIVASI FSSH 6.jpeg

Meningkatkan kehidupan berkualiti memerlukan tiga aspek ini

  1. kecerdasan dan keseimbangan

Kecerdasan empat elemen iaitu fizikal, emosi, sosial dan rohani (spiritual) memerlukan keseimbangan. Kurangnya keseimbangan dari salah satu jenis kecerdasan akan menyebabkan kurangkan kualiti kehidupan. Kita perlu memenuhi keperluan kecerdasan empat elemen tersebut. Bukan mudah untuk memenuhi keperluan kecerdasan dan keseimbangan. Memerlukan pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan masa untuk berubah. Proses perubahan memakan masa. Kita perlu memberi masa untuk kita memenuhi keperluan kecerdasan dan juga mencapai keseimbangan.

2. memenuhi tanggungjawab

Memenuhi tanggungjawab memerlukan seseorang itu mengetahui dan memahami tanggungjawab yang dipikul. Selain itu, kita juga perlu mengetahui cara memenuhi tanggungjawab. Paling utama, kita perlu mengetahui dan memenuhi tanggungjawab kita sebagai hamba Allah dan sebagai seorang Muslim. Itu adalah tanggungjawab yang paling utama.

3. keupayaan kepimpinan

Kepimpinan bukan setakat kuasa tetapi bagaimana kita mempengaruhi orang lain sebagai suri teladan. Sekiranya kita menjadi suri teladan tentang kebaikan, kita berjaya mempimpin orang lain.

Lima ramuan kehidupan dengan Bismillah

  1. Permulaan setiap kebaikan: Bagi setiap satu perkara tidak dimulai dengan Bismillah akan terputus kebaikan oleh rahmat Allah. Akan hilang makna sesuatu perkara yang kita lakukan tanpa dimulai dengan Bismillah. Menurut Syed Naquib Al Attas, sesuatu ilmu adalah ketibaan sesuatu makna dengan kebenaran. Oleh yang demikian, sekiranya kita melakukan sesuatu tanpa sebarang makna, kehidupan kita akan kurang bermakna. Jangan remehkan perkara kecil dengan tidak memulakan perkara tersebut dengan membaca Bismillah. Ustazah berkongsi pengalaman berjumpa dengan seseorang yang membuka kepala paip dengan lafaz Bismillah untuk berwudhu. Selalunya perkara sekecil ini sering terlepas pandang untuk diamalkan.
  2. Syiar Islam
  3. Zikir makhluk langit bumi dengan bahasa sendiri: Meskipun sebagai manusia kita tidak menguasai bahasa makhluk lain seperti haiwan, akan tetapi haiwan tumbuhan dan makhluk lain semua berzikir dengan bahasa mereka sendiri.
  4. Sesuatu kekuatan yang sangat besar: Jaminan kekuatan Allah SWT kurniakan kepada hambaNya dalam menjalani kehidupan seharian. Oleh yang demikian, jangan terlepas pandang tentang bekalan yang kita akan bawa di akhirat nanti. Kita memerlukan kekuatan dalam menghadapi cabaran kehidupan kita.
  5. Keberkatan yang tidak pernah habis: Barakah tidak pernah putus yang datang dari hambaNya yang bertakwa. Barakah ini datang dari amalan yang dimulai dengan Bismillah. Berkat didikan guru, ibu bapa dan individu yang hadir dalam hidup kita menjadikan kita hebat dengan izin Allah SWT.

Lafaz Bismillah adalah sandaran kita kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, sekiranya kita tidak memulakan apa jua urusan perkara yang kita lakukan dengan lafaz Bismillah, kita tidak bersandarkan usaha kita melaksanakan urusan atau perkara yang dilakukan kepada Allah SWT. Ini yang menyebabkan kurangnya keberkatan dalam kehidupan kita yang menjejaskan kualiti kehidupan kita secara langsung dan tidak langsung. Apa jua yang kita lakukan adalah bergantung kepada pertolongan dari Allah SWT. Oleh yang demikian, kita perlu berusaha untuk sentiasa bergantung dan mengharapkan Allah SWT bersama kita dalam melaksanakan apa jua urusan. Hanya dengan lafaz Bismillah sahaja usaha kita untuk mengharapkan bantuan Allah SWT. Ianya begitu mudah tetapi sering kali kita terlepas pandang.

Cubaan kehidupan silih berganti akan tetapi kita perlu bergantung kepada Allah SWT meskipun dalam sekecil-kecil perbuatan, perkara dan urusan yang kita lakukan. Sebagai contoh apabila kita menanam pokok, kita tidak berkuasa untuk menghidupkan benih pokok tersebut. Dengan kuasa Allah pokok yang kita tanam, benih yang kita semai akan hidup. Lafaz Bismillah ketika kita menyemai benih pokok meletak kebergantungan kita kepada Allah SWT. Ini menyebabkan proses kita menanam pokok itu lebih bermakna.

Dalam menilai kehidupan kita, jangan memandang apa yang Allah SWT kurniakan kepada orang lain. Kita patut beriltizam untuk menjadi lebih baik dari diri kita yang sebelum ini. Perbandingan diri kita adalah dengan diri kita sendiri. Jadilah diri kita lebih baik dari diri kita yang semalam. Perubahan perlu istiqamah. Jangan harapkan perubahan yang drastik, terburu-buru dan tanpa istiqamah. Meskipun sedikit tetapi istiqamah adalah perubahan yang lebih bermakna. Apa jua perubahan yang kita ingin lakukan, lakukan dengan lafaz Bismillah supaya Allah kurniakan keberkatan dalam usaha kita berubah kepada lebih baik.

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.