COVID-19: Projek komuniti UTM KTP-RIG

Perancangan untuk melaksanakan projek ini sejak dari tahun lepas. Tetapi dengan kadar kes COVID-19 yang tidak menentu, projek ini tertunda beberapa kali. Dalam kesibukan dan pelaksanaan PKP (termasuk PKPD, PKPB), projek ini tertangguh lagi tetapi Alhamdulillah dengan keadaan yang makin elok, dapat juga projek ini dilaksanakan pada bulan Disember. Walaupun agak kelam kabut tetapi Alhamdulillsh sesi pertama berlangsung pada 3 Disember yang lalu. Sesi kedua pada 11 Disember 2021. In sha Allah sesi seterusnya pada minggu ketiga bulan Disember.

Dari sesi yang telah dilaksanakan, aku belajar tentang ketabahan, rasa bersyukur, keterbukaan untuk belajar sesuatu yang baru, dan sifat tidak mudah mengalah dari para peserta sesi. Mereka diduga dengan ujian kehidupan alam rumah tangga dan ada antara mereka mempunyai masalah kesihatan. Hari ini, Allah memberi aku peluang untuk menghantar pulang salah seorang peserta ke rumahnya di Kempas. Aku namakan dia Kak Z. Dia bekas pesakit strok dan kehilangan suami awal tahun ini. Selain mempunyai 3 orang anak (2 orang telah berkahwin), dia menjaga dua orang anak yatim berusia 17 dan 8 tahun. Dia membawa budak yang berumur 8 tahun ini ke sesi hari ini. Budak ini amat sopan dan pandai membawa diri. Allahu Akbar.

Ketika dia nampak hidangan yang disediakan, dia tidak seperi kanak-kanak seusia yang selalunya akan bergegas ke meja hidangan dan cuba mengambil apa yang terhidang secepat mungkin selepas dipelawa untuk mengambil makanan yang terhidang. Dia menanti dengan penuh sabar dan beratur menunggu giliran. Dia mengambil makanan untuk emaknya terlebih dahulu sebelum mengambil untuk dirinya. Ketika ingin pulang, dia mengambil lebihan kuih yang terhidang. Tetapi dia menyorokkannya di dalam beg. Emaknya memberitahu bahawa ada kanak-kanak lain yang ada di rumah. Lantas aku bertanya berapa orang yang tinggal bersama di rumah. Ada 10 orang yang tinggal di flat 2 bilik. 5 orang dewasa dan 5 orang remaja/kanak-kanak.

Aku terkedu dan aku boleh membayangkan keadaan mereka tinggal di flat berkenaan. Apa yang aku rasa kagum dengan Kak Z ialah dia menitip pesanan buat aku: Susah macam mana pun, ada orang lagi susah dari kita. Hidup kita mempunyai banyak peluang untuk menolong orang lain meskipun kita sendiri susah. Kita kena menggunakan peluang untuk menolong orang lain.

Allah memberi peluang kepada aku berjumpa dengan orang sepertinya dan peluang untuk terlibat dengan projek seperti ini. Walaupun ada yang bertanya kenapa aku melibatkan diri dengan projek seperti ini (KPI tidak banyak mana pun), aku tidak mempunyai jawapan yang khusus. Apa pun, aku belajar banyak perkara baru dari mereka.

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.