Hadis Rasullullah SAW tentang gila kuasa

Aku pernah ternampak satu hadis tentang tanda-tanda akhir zaman dan tentang zaman di mana ramai orang gila akan kuasa, pangkat dan status. Di era sekarang, agak senang mencari maklumat tetapi untuk mencari maklumat yang sahih perlu sedikit usaha untuk membuat analisa.

Alhamdulillah setelah beberapa hari, akhirnya dapat jumpa satu buku yang diterbitkan oleh seorang ahli akademik dari USIM bertajuk 40 hadis tentang politik dan kepimpinan.

Hadis pertama mengenai sifat manusia yang sememangnya suka akan pangkat, kuasa dan status. Boleh rujuk dari Sahih al-Bukhari, no: 7148.

Akan tetapi, Nabi Muhammad SAW ada berpesan supaya mengelakkan diri dari meminta untuk diberikan jawatan. Boleh rujuk dari Sahih al-Bukhari, no: 7146.

Dalam konteks sekarang, adakah menghantar permohonan untuk tujuan kenaikan pangkat atau mengisi borang untuk jawatan pentadbir dikira termasuk dalam larangan Nabi Muhammad SAW? Ini membuat aku berfikir panjang dan banyak kali untuk proses kenaikan pangkat. Ada yang mungkin berfikir, “Ala, apa yang nak disusahkan sangat? Tekan butang je dalam sistem. Apa yang diperlukan adalah berdasarkan penilaian tahunan dan bukti yang dimasukkan setiap tahun yang terkumpul seperti bilangan menjadi penyelidik utama, bilangan penerbitan dan sebagainya

Pangkat berbeza dari jawatan? Dari satu sudut, ianya adalah berbeza tetapi dari satu sudut lain, ianya merujuk kepada tanggungjawab dan kebergantungjawapan seseorang berdasarkan pangkat, jawatan, status (boleh melabel apa jua istilah). Mungkinkah ini yang akan menjadi penyesalan di akhirat nanti seperti yang dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW?

Mungkin ada yang berpendapat bahawa terdapat nabi yang meminta diberikan jawatan, seperti Nabi Yusuf AS. Persoalannya ialah, layakkah kita hendak membandingkan diri dengan seseorang yang Allah telah menaikkan taraf dirinya sebagai Nabi? Bahasa orang yang biasa didengari: “Kena sedar diri la kan, kita ni siapa“. Akan tetapi ada kelonggaran untuk memastikan kepentingan masyarakat terjaga dengan “mencalonkan” diri untuk jawatan tertentu dengan syarat tertentu yang perlu dipenuhi.

Dalam apa jua keadaan, sekiranya kita diberikan jawatan, perlu dilaksanakan tanggungjawab dengan baik, dan tidak menzalimi orang lain dengan tindakan dan juga keputusan yang diambil. Dalam bentuk tulisan dan percakapan, ianya sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan tetapi dalam bentuk perbuatan, ianya bukan mudah. Semoga Allah permudahkan urusan orang yang diberi jawatan untuk melaksanakan tugasan dengan adil dan saksama.

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.