Larangan ketika berdoa

Markah ELPPT aku kurang dari 80%.  Aku dah masukkan semua yang diminta.  Tapi, aku sedih sebab walaupun tahun ni paling banyak penglibatan aku dalam penilaian, perundingan dan yang lain, tapi markah aku paling rendah untuk jangka masa 3 tahun ni.  Aku dapat 4/10 untuk sahsiah.  Aku tak pernah datang kelas lewat.  Aku tak pernah tak berbincang dengan pelajar tentang tugasan dan juga beri mereka komen dan panduan untuk mereka perbaiki mutu kerja”  Ini keluhan seorang sahabat saya.

Saya akui yang saya juga kadang kala mengeluh sepertinya.   Saya terfikir bagaimana untuk menjadi lebih redha di atas ketentuan Allah berikan disebalik ketidakadilan.  Bukan mudah untuk tidak berasa tertekan di atas penindasan orang terhadap kita, tapi bagaimanakah menjadi seorang yang tidak putus harap kepada Allah?

Ada kalanya sebagai insan yang sifatnya lemah, mungkin pernah terdetik dalam benak fikiran kenapa apa yang kita hajati dan doakan tidak membuahkan hasil yang diharapkan.  Apabila ini berlaku, kadang kala terdetik dalam hati “Allah mungkin tidak perkenan doa aku ini“.  Sesungguhnya kita tidak mempunyai keupayaan untuk mengetahui apa yang terbaik untuk kita meskipun kita mempunyai akal fikiran yang waras kerana akal fikiran kita ini adalah kurniaan Allah dan kesempurnaan akal fikiran tertakluk kepada kurniaanNya.

Oleh yang demikian, sebagai insan yang sifatnya lemah, kita tidak boleh meragui kurniaan Allah kepada kita dan kita perlu sentiasa berdoa tanpa putus harap kepada Allah.  Antara larangan berdoa yang perlu kita jaga ialah tentang ketidak yakinan kita kepada Allah.  Ini adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang diriwayakan oleh Abu Hurairah RA.

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ، اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ، لِيَعْزِمِ المَسْأَلَةَ، فَإِنَّهُ لاَ مُكْرِهَ لَهُ

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu berkata: Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah aku sekiranya Engkau mahu, Ya Allah Ya Tuhan kami, kasihanilah aku sekiranya Engkau mahu. Akan tetapi hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta kerana sesungguhnya Allah sama sekali tidak ada yang memaksa.” [Riwayat al-Bukhari (6339) dan Muslim (2679)]

Dalam hadith tersebut, perkataan sekiranya merujuk seolah-olah kita tidak percaya akan rahmat Allah kepada kita.  DIA yang mempu untuk memberi kurniaan tanpa sebarang halangan atau alasan.  Oleh itu, jangan putus harap sekiranya apa yang dijangkakan tidak diperolehi setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh.  Allah tidak pernah silap dalam memberi apa yang terbaik untuk kita.

Nota: Untuk rujukan, layari laman web mufti Wilayah Persekutuan tentang larangan ketika berdoa.  

 

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.