Larangan mempersendakan agama

PROGRAM KEROHANIAN FSSH 2022, SIRI 118: Larangan mempersendakan agama ~ Surah Al anám, Ayat 68-70.

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). Dan tidak ada tanggungjawab sedikit pun atas orang yang bertakwa terhadap dosa mereka akan tetapi (kewajipan mereka ialah) mengingatkan agar mereka bertakwa. Dan jauhkanlah diri daripada orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan ingatkanlah (mereka) dengan Al-Qur’an itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang dia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika dia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

Intisari sesi hari ini:

  1. Jangan mempersendakan agama
  2. Jauhi orang yang mempersendakan agama (buat agama sebagai permainan). Jangan berkawan, jangan sokong, jangan “layan” pemikiran yang salah dalam mempersendakan agama. Jangan bergaul rapat dengan mereka kerana sedikit sebanyak, corak atau gaya pemikiran mereka boleh mempengaruhi kita sekiranya kita tidak meletakkan batasan pergaulan dengan mereka.
  3. Sekiranya ada majlis yang mempunyai elemen menpersendakan agama, kita perlu jauhkan diri dari menghadirinya dan sekiranya tidak dapat mengelakkan diri, kita perlu mencuba untuk beredar dengan segera dari majlis tersebut. Contoh: Majlis keramaian tetapi ada aktiviti menari dan pergaulan bebas (ini adalah majlis yang mempersendakan agama kerana ada unsur maksiat di dalam majlis tersebut)

Perkara yang termasuk dalam kategori mempersendakan agama:

  1. Makan di khalayak ramai bagi wanita di bulan Ramadhan meskipun mempunyai kebenaran untuk tidak berpuasa kerana uzur yang dibenarkan. Ini adalah ianya boleh mendatangkan fitnah kepada agama Islam secara langsung atau tidak langsung.
  2. Menyambut hari raya dengan makanan dan minuman yang tidak halal kerana ingin menjamu tetamu yang bukan beragama Islam. Seorang Muslim dilarang dalam sepuluh perkara berkaitan dengan arak (hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA bahawa Rasulallah SAW telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak: orang yang memerah (memproses) arak, orang yang diminta arak diperah (diproses) untuknya ,orang yang meminumnya , orang yang membawanya, orang yang meminta dibawa arak kepadanya , orang yang memberi (menjamu) minum arak kepada orang lain, orang yang menjual arak, orang yang mendapat hasil daripada arak, orang yang membeli arak ,orang yang meminta dibelikan arak untuknya)
  3. Berpakaian menyerupai lelaki bagi wanita dan sebaliknya. Isu tentang seorang yang menunaikan umrah sebagai seorang lelaki, meskipun dirinya adalah wanita adalah salah satu contoh mempersendakan agama.

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.