Program Kerohanian FSSH Siri 133: Hutang dalam Islam

Surah Al-Baqarah: 282

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

 

Intipati ayat:

  • Secara umumnya, apabila kita berhutang (berurusan dengan orang lain), perlu ditulis dan mempunyai tempoh tertentu.  Aspek yang ditulis perlulah dicatat dengan teliti.  Bagi yang meminjam, perlulah membuat catatan.  Penulis yang dilantik bagi pihak berhutang perlulah adil dan catatan adalah jelas (dari sudut jumlah, tempoh dibayar dan sebagainya).  Orang yang berhutang tidak boleh mengurangi sedikit pun dari yang dihutang walaupun orang yang dihutang itu kurang kemampuan secara kognitif (perlu menggunakan waris yang dihutang).
  • Selain daripada itu, hutang juga perlu mempunyai saksi.  
  • Hukum berhutang ialah harus (secara umum).  Ianya sesuatu yang dibenarkan oleh Allah SWT dalam berurusan dengan orang dalam kehidupan harian.
  • Tetapi hukum berhutang boleh jatuh pada kategori lain: haram, makhruh atau wajib.
    • Contoh: Sekiranya perlu berhutang atau meminjam untuk keperluan asas seperti membeli rumah, ianya adalah wajib
    • Tetapi sekiranya dia tidak mampu untuk membeli rumah yang diluar kemampuannya, hukum berhutang jatuh dalam kategori makhruh (kerana harga rumah tersebut melebihi dari kemampuan). 
    • Contoh lagi hukum makhruh ialah menggunakan kad kredit tetapi sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar.  
      • Sekiranya menggunakan kad kredit untuk hal yang tidak mendatangkan manfaat, atau keperluan mendesak dan tidak mampu untuk membayar, ianya boleh dikategorikan sebagai haram.  
      • Sekiranya kita ada duit, tetapi ingin menunaikan umrah (bukan wajib) meskipun kita masih lagi mempunyai hutang (wajib), seeloknya ialah bayar dahulu hutang sebelum menunaikan umrah (sunat).  
  • Hutang yang tidak dibayar di dunia ini akan dibayar dengan pahala amalan di dunia ini pada hari akhirat.  Ini berkaitan dengan hadis Nabi Muhammad SAW.  Hutang ini tidak terhad pada hutang duit sahaja.  Hutang juga termasuk dalam hal ketidakadilan dalam memberikan hak kepada orang lain atau dalam membuat keputusan tertentu. 
  • Sebaiknya hutang dibayar dengan segera dan sekiranya melibatkan orang, bayar lebih kepada orang yang memberi hutang sebagai tanda penghargaan membantu kita ketika kita dalam kesusahan.

 

Terdapat beberapa hadis Nabi Muhammad SAW yang kita boleh rujuk seperti di bawah: 

  • Nabi SAW bersabda: “Menunda pembayaran hutang bagi orang kaya adalah kezaliman” — Hadis Riwayat Bukhari
  • Nabi SAW bersabda: “Siapa sahaja berhutang dan ia merancang untuk tidak membayar kepada pemberi hutang, maka ia akan menjumpai Allah dengan status sebagai pencuri.” — Hadis Riwayat Ibnu Majah
  • Nabi SAW bersabda: “Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” — Hadis Riwayat Bukhari

 

Jenis peminjaman

  • Pembelian aset (kereta, rumah dan sebagainya)
  • Pinjaman pembelajaran 
  • Pembelian saham (tetapi disarankan dengan duit lebihan, bukan yang kita tidak ada duit).

 

Implikasi hutang

  • Hutang boleh menjauhkan seseorang kepada kehinaan. Mengikut hadis Nabi Muhammad SAW: “ALLAH SWT mengampunkan semua dosa yang pernah dilakukan oleh seseorang yang mendapat mati syahid melainkan hutang,” — Hadis Riwayat Muslim
    • Nabi Muhammad SAW menyarankan untuk membaca doa yang berikut yang mempunyai cerita disebaliknya.  
      • Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:
        اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

        Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

  • Hutang menjadi penghalang untuk kita masuk ke syurga.  Mengikut hadis Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa ketika ruhnya berpisah dengan jasad dan ia bebas dari tiga perkara maka ia akan masuk syurga, iaitu; sombong, ghulul (khianat) dan hutang.” —  Hadis Riwayat Ibnu Majah

 

Nota:  Sekiranya kita berjumpa dengan ayat yang dimulai dengan kalimah “Wahai orang yang beriman”, ianya merujuk kepada arahan khas kepada golongan tertentu iaitu orang yang beriman dengan Allah SWT.  

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.