Tips menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH)

Fahami Dokumen Standard: (DSKP) dan Silibus

  1. Sebelum menulis, pastikan anda merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan Silibus.
  2. Standard Kandungan (SK): Apa tajuk besar yang hendak diajar?
  3. Standard Pembelajaran (SP): Apakah kemahiran khusus yang perlu dikuasai murid pada hari tersebut?

Rujuk Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT)

  1. Selepas anda merujuk dokumen standard, rujuk RPT untuk mengetahui perancangan mingguan/tahunan berkaitan dengan mata pelajaran
  2. Maklumat dari RPT
    • Apakah tajuk yang akan diajar pada minggu XXXX?
    • Berapa lamakah saranan pengajaran tajuk tersebut pada minggu XXXX?  (Berapa kali sesi pertemuan atau sesi PdPC)

Penulisan objektif pembelajaran (OP)

  1. Rujuk Taksonomi yang berkaitan: Taksonomi Bloom dan sebagainya.
  2. Pastikan Objektif Pembelajaran sejajar dengan Standard Pembelajaran. Ayat Standard Pembelajaran menunjukkan indikasi aras taksonomi Bloom yang perlu dicapai bagi sesi pembelajaran sesuatu tajuk mata pelajaran.
    • Contoh Standard Pembelajaran (Tajuk: PENGENALAN KEPADA REKA BENTUK DAN TEKNOLOGI): Murid boleh menyenarai kepentingan reka bentuk dan teknologi. (Nota: Apakah objektif pembelajaran yang sesuai bagi tajuk ini yang sejajar dengan Standard Pembelajaran? . Lihat kata kerja Standard Pembelajaran “menyenarai”, ianya merujuk kepada Taksonomi Bloom Aras 1 (Mengingat). Oleh yang demikian, kata kerja bagi OP ini perlu sejajar dengan SP. Apakah kata kerja selain dari “menyenarai” yang boleh digunakan untuk ayat OP? Sekiranya SP menunjukkan aras rendah, penulisan OP juga boleh dinyatakan dalam satu aras yang lebih tinggi seperti Taksonomi Bloom Aras 2 (Memahami)
  3. Objektif pembelajaran: Pastikan ia menggunakan formula SMART (Specific, Measurable, Attainable, Relevant, Time-bound).
  4. Objektif pembelajaran biasanya lebih bersifat kualitatif (menguasai kemahiran) dan berfokus kepada apa yang dipelajari
    • Contoh Objektif Pembelajaran (OP): Di akhir sesi ini, murid dapat menghasilkan lakaran bebas (freehand sketch) satu bongkah geometri dengan mengikut perkadaran yang ditentukan.
  5. Kriteria Kejayaan pula bersifat kuantitatif (berapa banyak, sejauh mana ketepatannya). Berfokus kepada bagaimana murid menunjukkan mereka telah mencapai OP tersebut (bukti/langkah kejayaan).
    • Contoh Kriteria kejayaan: Di akhir sesi ini, murid dapat melakar lakaran bebas satu bongkah geometri dengan teknik perkadaran yang betul (nisbah panjang, lebar, dan tinggi bongkah kelihatan realistik dan seimbang.)

Rancang Aliran Pengajaran (Set Induksi – Aktiviti: Pengembangan, Peneguhan, Penilaian – Penutup)

  1. RPH yang baik mempunyai struktur yang jelas: Set induksi (pengenalan), Pengembangan konsep (penerangan), Peneguhan konsep (pengukuhan konsep yang diajar oleh guru.  Murid terlibat dalam aktiviti peneguhan), Pentaksiran formatif, Penutup
  2. Set Induksi (3-5 Minit): Cari sesuatu yang “wow” atau berkaitan dengan kehidupan seharian murid untuk menarik perhatian mereka dan mencetuskan rasa ingin tahu mereka terhadap tajuk yang bakal diajar.
  3. Langkah Pengajaran: Pecahkan kepada beberapa fasa
    • Pengembangan konsep: Penerangan oleh guru dalam menyusun maklumat bagi memastikan pemahaman murid dapat dikaitkan dengan pengetahuan / pengalaman sedia ada dengan memberikan definisi, konsep, atau fakta yang tepat.
    • Peneguhan konsep: Aktitivi melibatkan latihan terbimbing atau latihan kendiri bagi memperkukuhkan pemahaman dan memastikan kemahiran tersebut benar-benar dikuasai.
    • Penilaian (Pentaksiran formatif): Mengukur sejauh mana objektif pembelajaran telah dicapai pada hari tersebut.
      • Bolehkah murid membuat rumusan atau menjawab kuiz ringkas (seperti Exit Ticket atau lembaran aktviti), atau refleksi kendiri?
      • Guru mendapat data untuk menulis Refleksi dalam RPH bagi menentukan sama ada PdP perlu diulang atau diteruskan ke tajuk baru.
    • Penutup: Rumusan kognitif (apa yang dipelajari) dan rumusan sosial (penerapan nilai murni).

Refleksi (perlu dilaksanakan selepas sesi PdpC dan diisi selepas kelas)

  1. Refleksi bukan sekadar catatan kehadiran, tetapi bukti profesionalisme guru dalam menilai keberkesanan PdP.
  2. Continuous Quality Improvement (CQI):
    • Apakah yang telah diketahui (what do you find out from the lesson?)
      • Berapa orang murid yang capai objektif pembelajaran? Mengapa yang lain tidak capai?
    • Apakah yang boleh diperbaiki/ditambahbaik (what can be improved?)
    • Bagaimanakah menambahbaik aspek yang telah dikenalpasti (how to improve the lesson in the future?/what can be done?)
  3. Contoh penulisan refleksi: 80% murid (24/30) berjaya menghuraikan 3 kesan pencemaran alam dengan tepat melalui aktiviti Gallery Walk. Murid sangat aktif (high engagement) namun terdapat 6 murid (Kumpulan C) yang masih keliru antara ‘punca’ dan ‘kesan’. Arahan tugasan didapati terlalu umum bagi kumpulan ini. Sesi bimbingan kelompok kecil (scaffolding) akan dijalankan dengan gabungan murid pelbagai kemahiran dan tahap penglibatan yang lebih seimbang.   Untuk tajuk seterusnya, lembaran kerja berbeza (differentiated worksheets) akan disediakan mengikut aras bagi memastikan arahan lebih spesifik untuk murid yang lemah.

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.

UTM Open Day