Aku menghadiri sesi perkongsian tentang e-content pada Khamis lepas (16 Jun 2022). Aku mengakui aku memang kerap menghadiri sesi sebegini kerana aku perasan ada sahaja maklumat terkini yang dikongsi oleh fasilitator. Jadi, aku kena memastikan aku mendapat maklumat terkini tentang e-content dari mereka meskipun sesi sebegini dilaksanakan hampir setiap semester.
Apa yang aku pelajari kali ini ialah bagaimana membina bahan e-content yang padat, jelas dan terperinci bagi pelajar menggunakannya tanpa memerlukan bantuan pensyarah menerangkan secara bersemuka (ataupun secara alam maya menggunakan medium WebEx atau Zoom dan sebagainya). Dr Nihra menunjukkan contoh Trello yang digunakannya selain dari Padlet. Baginya, Padlet adalah sesuatu yang tidak menarik lagi perhatiannya. Bagi aku yang telah melanggan Padlet dengan bayaran tertentu, suka atau tidak, menarik atau tidak, aku memaksa diri aku menggunakan Padlet semaksima mungkin untuk memastikan bayarannya berbaloi dengan penggunaannya. Kalau aku menggunakan kurang dari 10 kerangka (frame) dalam Padlet setahun, setiap satu kerangka itu berharga RM14.40 (Setahun aku membayar RM144.00).
Padlet telah menaikkan harga langganan pada tahun ini. Harga langganan terkini bagi Premium adalah RM199.90 (atau RM19.90 sebulan). Kenaikan harga sebanyak RM50 bagi tahun ini. Ini membuatkan aku terfikir untuk menukar jenis langganan bagi tahun depan (2023) sekiranya Padlet “memaksa” aku untuk membayar RM199.90, bukan RM144.00 apabila aku perlu memperbaharui langganan.
Trello bagi aku lebih sesuai bagi pengurusan projek. Versi percuma mempunyai 10 kerangka sahaja yang dibenarkan dan ada ciri tertentu yang tidak boleh digunakan kecuali apabila menukar ke versi langganan. Mungkin aku boleh menggunakannya untuk pelajar di bawah penyeliaanku untuk memastikan kemajuan pengajian mereka. Akan tetapi mengikut pengalaman sedia ada, aku menggunakan aplikasi yang lebih ringkas pun mereka tidak menghantar dokumen yang diperlukan untuk menunjukkan kemajuan pengajian mereka. Terpulanglah kepada mereka. Aku sebagai penyelia adalah tidak beretika sekiranya aku yang menulis bab untuk mereka. Tiada penulisan dari mereka, itu masalah mereka. Buku penulisan tesis melambak. Video tentang tips penulisan tesis pun banyak. Sebagai pelajar yang dianggap sebagai berdikari, aku perlu melayan mereka sebagai individu yang berdikari. Sekiranya mereka tidak dapat berdikari, adakah aku perlu memimpin tangan mereka seperti kanak-kanak melintas jalan? Apa pun buat masa ini, aku masih lagi mempelajari Trello dan buat masa ini, aku masih lagi terkial-kial menyelongkar ciri-ciri yang ada di Trello.
Dalam masa yang sama, aku terjumpa Wakelet. Rupanya seramai 75 orang (pada saat aku menulis catatan ini) telah mempunyai akaun dan mungkin telah menggunakan Wakelet dari UTM. Bagaimanakan aku mengetahui hal ini? Aku mendapat email dari Wakelet dan ada tertera maklumat aku adalah orang ke 76 yang mempunyai akaun Wakelet di UTM. Cuma aku tidak mengetahui identiti individu tersebut. Kalau aku mengetahui identiti mereka, telah lama aku menghubungi mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut,
Buat masa ini, Wakelet masih percuma. Apa yang diperlukan ialah email rasmi organisasi untuk membuka akaun. Tiada kategori Premium, Gold atau sebagainya seperti Padlet. Trello mempunyai persamaan dengan Padlet di mana ada kategori yang percuma tetapi mempunyai had dari segi saiz penyimpanan maklumat. Senang cerita, versi langganan mempunyai banyak keistimewaan dari versi percuma. Harganya sedikit mahal dari Padlet (dalam US5 sebulan atau USD60 setahun. Kadar pertukaran wang adalah mengikut pada tarikh kita membayar langganan tersebut).
Oleh yang demikian, aku rasa sekiranya aku ingin menjimatkan perbelanjaan pada tahun hadapan, aku akan bertukar kepada Wakelet sepenuhnya. Ini adalah kerana aku hanya menghadkan jumlah tertentu sahaja untuk langganan aplikasi yang membantu aku dalam pengajaran. Ada rakan mengusik, “Kalau naik pangkat ke Prof Madya, dengan gaji Prof Madya lagi banyak boleh kau langgan aplikasi-aplikasi ni“. Lagi banyak aplikasi yang perlu aku guna, lagi banyak masa diperlukan untuk mempelajari aplikasi tersebut, bukan sekadar aspek kewangan sahaja yang perlu diambil kira. “Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?” – Panadol Malaysia
Nota: Setelah meluangkan masa melebih dari 48 jam untuk menonton video di YouTube dan merujuk kepada nota di Wakelet Academy untuk belajar cara menggunakan Wakelet, akhirnya aku berjaya menghasilkan satu bahan pengajaran digital dengan menggunakan Wakelet ini (harapnya boleh lah dapat 5 markah bonus untuk e-content – tongue in cheek remark!). Ini adalah bahan yang aku bina sebagai salah satu tugasan MyDigitalEducator@MOHE dan oleh yang demikian, tidak akan dikira sebagai bahan pengajaran e-content mengikut kursus yang didaftarkan di UTM.