Archives for July 2019

[Bahagian 2] Catatan di Gwangju: Bandaraya di Barat Daya Korea Selatan Dengan Keunikan Tersendiri

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-catatan-di-gwangju-bandaraya-di-barat-daya-korea-selatan-dengan-keunikan-tersendiri/

Pada hujung minggu kedua, saya mengambil kesempatan berkunjung ke Taman Sajik (Sajik Park). Sajik Park merupakan kawasan berlandskap dengan pelbagai jenis pokok dan bunga-bungaan. Taman ini telah dibangunkan sebagai kawasan riadah untuk masyarakat setempat. Taman ini menempatkan beberapa tarikan termasuk memorial untuk wira negara, Stesen Penyiaran Gwangju (KBS), Menara Memorial Polis, Pavilion Yangpajeong, dan Pavilion Palgakjeong yang menghadap ke pusat bandaraya Gwangju. Pelbagai pokok dan bunga menawarkan suasana dan pemandangan yang menarik untuk dikunjungi. Sajik Park yang menempatkan Menara Sajikia merupakan salah satu tarikan utama pelancong ke Gwangju. Menara itu terletak di atas Taman Sajik dan di tengah-tengah pusat bandar. Dari menara tinjau ini, saya boleh melihat pemandangan 360 darjah pusat bandaraya dan persekitaran termasuk mercu tanda serantau seperti Asia Culture Centre (ACC) dan Gunung Mudeung. Saya difahamkan bahawa sekitar 15 April setiap tahun iaitu sempena musim bunga, bunga ceri penuh mekar akan mewujudkan suasana yang indah. Ketika itu juga, pihak Majlis Perbandaran Gwangju memasang lampu di pokok untuk pengunjung menikmati bunga-bunga dan pemandangan pada waktu malam. Ruang tinjau di bahagian atas membolehkan pengunjung menggunakan teropong secara percuma untuk melihat pandangan panorama Gwangju dengan lebih jelas dan dekat. Pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran untuk menuju ke dek peninjau. Lif turut disediakan di samping disediakan juga laluan pejalan kaki menuju ke dek peninjau buat mereka yang memilih cara hidup sihat. Menuruni bukit di Taman Sajik, saya menemui “Penguin Village”. “Penguin Village’ ini ditemui dengan mengikut arahan pada papan tanda penguin yang melalui jalan sempit di belakang Yangnim-dong Community Service Center. Setibanya di situ, saya  mendapati sebuah kampung dari tahun 1970-an dan 80-an yang diubah menjadi ruang pameran luar. “Penguin Village” ini bukanlah perkampungan yang menempatkan penguin yang biasa kita dengar atau lihat.”Penguin Village” dinamakan sempena cara golongan warga emas (orang tua) dengan sakit lutut berjalan seperti penguin. Penduduk kampung mula membersihkan rumah-rumah terbakar dan terbengkalai dan membawa benda-benda untuk dipamerkan di dinding dan di luar rumah. Banyak barang antik, unik dan klasik yang dipamerkan di perkampungan tersebut. Saiz rumah di perkampungan tersebut tidak sebesar mana, tetapi ianya dipenuhi dengan pelbagai jenis objek dari penduduk. Menjelang petang, saya menuju ke Chungjang-ro Street. Ia dinamakan sempena gelaran Ketua Umum Deok-ryeong. Jalan Chungjang-ro adalah tapak Gerakan Demokrasi Gwangju 1980. Kalau di Seoul, Myeongdong merupakan kawasan tumpuan pengunjung tempatan dan asing. Tetapi di Gwangju, di sini terletaknya pusat-pusat fesyen utama di Gwangju. Jalan ini juga dipenuhi dengan pusat-pusat membeli-belah, kedai pakaian, restoran, kafe, dan pelbagai tarikan lain, memberikan pengalaman hebat budaya moden di Gwangju. Ia adalah hab fesyen di bandar, sama ada gaya model mahupun tradisional, serta tempat untuk tarikan pengunjung yang pelbagai.

Panorama Bandaraya Gwangju

Saya di ruang peninjau di atas Menara Sajik di Sajik Park

Saya di Penguin Village

Bersambung…

Kemenangan Dalam Anugerah Webometrik Kategori Individu Sempena Citra Karisma 2019

Maaf, saya masih belum boleh move on lagi. Bukan apa, saya tengok Majlis Citra Karisma (Majlis Anugerah Kecemerlangan Staf UTM) melalui Facebook UTM secara live sahaja. Apabila nama abam diumumkan sebagai pemenang Anugerah Webometrik kategori individu, boleh bayangkan tak perasaan saya yang berada di bumi Korea Selatan ini. Rasa macam nak guna pintu Doraemon sahaja terus sampai UTM dan naik pentas. Bagi saya, kejayaan ini merupakan satu kisah tentang usaha dan jangan putus asa. Saya memang suka menulis. Selain menulis di makalah-makalah bersifat akademik, saya turut jadikan blog di pautan people.utm.my/halim sebagai platform untuk saya menulis. Kebetulan UTM ada menyediakan anugerah webometrik sempena majlis Citra Karisma setiap tahun, dan saya sebenarnya telah mencalonkan diri sendiri sejak tahun 2016 lagi. Namun masih belum ada rezeki. Alhamdulillah, rezeki saya pada tahun ini walaupun idak dapat bersama meraikannya kerana saya masih berada di Korea. Kejayaan ini pastinya akan menjadi motivasi untuk saya terus menulis di blog berkenaan. Terima kasih semua atas doa dan ucapan.

 

 

 

[Bahagian 1] Catatan di Gwangju: Bandaraya di Barat Daya Korea Selatan Dengan Keunikan Tersendiri

Gwangju, sebuah bandaraya yang tidak sepopular Seoul, Busan mahupun Jeju di Korea Selatan. Tetapi ia tetap mempunyai keunikannya yang tersendiri. Gwangju yang kadang kala disalah tafsir sebagai Guangzhou di China (yang juga disebut sebagai Gwangju dalam bahasa mandarin) merupakan bandaraya ke-enam terbesar di Korea Selatan. Gwangju adalah sebuah bandaraya yang terletak di bahagian barat daya Korea Selatan. Ia terkenal dengan pemberontakan pro-demokrasi pada tahun 1980. Nama Gwangju terdiri daripada perkataan “Gwang” yang bermaksud “cahaya” dan “Ju” bererti “provinsi”. Barangkali nama ini diberikan disebabkan bandaraya ini yang sering diterangi cahaya matahari sepanjang tahun walaupun mengalami empat musim. Saya menjalani fellowship selama enam bulan di salah sebuah universiti terkemuka di bandaraya tersebut. Bak kata orang, sambil menyelam minum air. Saya menitip sedikit catatan pengembaraan saya ketika mula-mula menjejakkan kaki ke bandaraya ini. Terdapat beberapa cara untuk ke Gwangju dari ibu kota Korea Selatan iaitu Seoul. Cara pertama ialah melalui penerbangan domestik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo. Lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang kedua di Seoul (selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon) yang menjadi hub penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa jarak dekat yang menghubungkan Seoul. Penerbangan domestik ke Gwangju mengambil masa lebih kurang satu jam. Sekiranya menaiki bas, perjalanan memakan masa selama tiga jam setengah. Saya mengambil keputusan untuk menaiki keretapi laju (KTX) yang mengambil masa selama dua jam dari Stesyen Seoul. Perjalanan saya menaiki keretapi sangat lancar dan perkara yang membuatkan saya berasa kagum ialah masa bertolak dan tiba di destinasi tepat pada waktu sebagaimana yang tercatat pada tiket. Pada hujung minggu pertama saya berada di Gwangju, saya berkesempatan berkunjung ke Asia Culture Center (ACC). Asia Culture Center (ACC) merupakan sebuah pusat di mana terdapatnya kemudahan bertemakan pelbagai budaya Asia. Ini termasuklah termasuk aspek kreativiti, pameran, dan persembahan. Ia mengandungi beberapa bahagian iaitu bahagian Pertukaran Budaya ACC, bahagian Teater ACC, bahagian Rekacipta ACC, bahagian Arkib & Penyelidikan ACC, bahagian Kanak-kanak ACC dan pelbagai kemudahan kebudayaan lain yang mempamerkan budaya dan pengalaman budaya Asia yang unik. ACC memainkan peranan sebagai platform setempat bagi para peserta dari Asia dan seluruh dunia untuk berkumpul dan bertukar idea mereka melangkaui sempadan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan, penciptaan dan sebagainya. Saya sempat meluangkan masa di bahagian penyelidikan di mana terletaknya bahan-bahan rujukan. Walau bagaimanapun, saya tidak dibenarkan membawa sebarang barangan hatta pasport sekalipun yang mana bahan-bahan peribadi perlu diletakkan di rak berkunci yang telah disediakan. Layanan pekerja-pekerja di situ juga amat baik dan mereka mahir berbahasa inggeris. Di salah satu sudut pusat tersebut turut disediakan kedai cenderamata buat pengunjung yang ingin membeli ole-ole sebagai tanda kenangan berkunjung ke pusat berkenaan.

Bersambung…

 

Saya di bandaraya Gwangju

Saya menjalani fellowship di Chonnam National University

 

Anugerah Sempena Majlis Anugerah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK)

Salam semua

Hari ini, 1 Julai 2019 bersamaan 28 Syawal 1440H, telah berlangsungnya Majlis Anugerah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Alhamdulillah, sempena majlis tersebut, saya telah diberikan anugerah berikut:

  1. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat FSSK
  2. Anugerah Penerbitan
  3. Anugerah Penjenamaan-Webometrik

Alhamdulillah, sesungguhnya anugerah-anugerah ini merupakan bonus kepada saya sebagai ahli akademik. Paling utama dan paling penting ialah kita bekerja kerana Allah s.w.t, sebagaimana motto Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat FSSK

 

Anugerah Penerbitan peringkat FSSK

 

Anugerah Penjenamaan (Webometrik) peringkat FSSK