Archives for December 2022

[BUKU] Hala Tuju Pendidikan STEM di Malaysia

Buku ini membincangkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dari aspek teori dan pelaksanaannya di Malaysia. Buku ini merangkumi sebelas bab di mana Bab 1 menerangkan konsep pendidikan STEM. Bab 2 membincangkan mengenai hala tuju pendidikan STEM di Malaysia selari dengan kesediaan guru terhadap pelaksanaan pendidikan STEM bagi aspek kognitif, afektif dan tingkah laku yang dibincangkan dalam Bab 3. Bab 4 mengupas keperluan membangunkan kurikulum yang bersifat transdisiplin dan bersepadu. Bab 5 berkaitan dengan pelaksanaan kajian bagi mengenal pasti sikap pelajar terhadap STEM, efikasi kendiri dalam matematik serta pengetahuan tentang kerjaya berkaitan STEM. Kajian berbentuk eksperimen yang bertujuan untuk melihat kesan kursus terhadap pembangunan pengetahuan pedagogi iSTEM dikupas dalam Bab 6. Bab 7 mengupas kajian yang bertujuan untuk membangunkan kerangka kurikulum matematik STEM prasekolah dan standard pembelajaran dan panduan guru. Satu inovasi modul pengajaran STEM bagi topik litar elektrik yang dinamakan Insight Circuit dihuraikan dalam Bab 8. Bab 9 membincangkan amalan refleksi guru pakar STEM dalam meningkatkan kualiti pengajaran STEM dengan bantuan Model 5E. Bab 10 mengupas keberkesanan Pembelajaraan Aturan kendiri (PAK) berasaskan STEM yang dapat meningkatkan pengetahuan PAK bagi konstruk forethought, performance dan reflection. Bab 11 membincangkan dapatan kajian bagi mengenalpasti keberkesanan aktiviti pembelajaran STEM luar bilik darjah (PSLBD) dalam meningkatkan sikap dan minat pelajar terhadap STEM.

Penerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia

Penyampaian anugerah oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Tanggal 9 Disember 2022, saya menerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia. Ia merupakan antara anugerah berprestij pernah saya terima sepanjang bergelar ahli akademik dan penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Anugerah ini diberikan kepada ahli akademik yang berusaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang kepakaran masing-masing dalam aspek-aspek berikut di peringkat pendidikan tinggi; Pengiktirafan & Sanjungan (20%), Penerbitan (20%), Pengajaran (20%), Penyeliaan (15%), Penyelidikan (10%), Khidmat Perundingan & Inovasi (5%), Jawatan & APC (5%) dan Khidmat Ikhtisas & Masyarakat (5%).

Penyampaian anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar di Dewan Za’ba, KPT Putrajaya.

Sesungguhnya ia bukan usaha setahun dua, tetapi ia usaha berterusan sejak saya terlibat dalam dunia akademia. Bertambah manis, anugerah ini diberikan sempena ulangtahun perkahwinan saya yang kedua pada 10 Disember 2022. Babah dedikasikan anugerah ini kepada anak-anak babah, isteri, emak, ayah, keluarga dan seluruh warga UTM.

Alhamdulillah

Sijil ditandatangani oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi

Garis Panduan Baru Edited Book (Book Chapters) Penerbit UTM Press

Kertas Cadangan Book Chapters boleh didapati daripada pautan berikut:

https://drive.google.com/file/d/18rvVoxbFaXJLpOf7Asfw-CZKMX-COdHK/view