Archives for May 12, 2023

Insiden Kanak-Kanak Lelaki 6 Tahun Memandu Kereta Sendiri Dari Perspektif Teori Pembelajaran

Mengejutkan? Bagaimana kanak-kanak berumur enam tahun mampu memandu kereta sendiri?

Saya ingin memberi sedikit pandangan. Anda mungkin bersetuju atau tidak dengan saya?

Pertama

Teori Peniruan Bandura merupakan teori psikologi yang menyatakan bahawa individu belajar melalui pemerhatian dan peniruan tingkah laku orang lain. Menurut teori ini, proses pembelajaran melibatkan proses kognitif, termasuk pemerhatian, ingatan, dan pemikiran.Teori Peniruan Bandura menyatakan bahawa terdapat empat faktor utama yang mempengaruhi peniruan, iaitu model, pengamatan, persekitaran, dan kemahiran individu. Teori ini juga menekankan bahawa keupayaan individu untuk meniru bergantung pada tahap motivasi, keyakinan diri, dan kepercayaan individu terhadap kebolehan diri. Saya dan isteri umpamanya tidak pernah sesekali membenarkan anak-anak kami memegang telefon bimbit kami. Namun, ada kalanya ketika kami suami isteri terleka, mereka dapat memegang peranti berkenaan dan meletakkannya di telinga mereka dan acah-acah sedang menelefon seseorang. Mereka juga menggerak-gerakkan jari mereka di skrin telefon seolah-olah sedang menavigasi sesuatu. Jadi tidak mustahil kanak-kanak berkenaan meniru tindakan ibu atau bapa beliau lalu mencubanya.

Kedua

Teori perkembangan Piaget merupakan teori psikologi yang memberi fokus kepada pemikiran dan perkembangan kognitif kanak-kanak. Teori ini menyatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui proses perkembangan kognitif. Teori Piaget mengandaikan bahawa terdapat empat peringkat perkembangan kognitif dalam kanak-kanak. Saya kongsikan peringkat kedua iaitu untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 7 tahun yang dipanggil peringkat pra-pemikiran praoperasi. Kanak-kanak dalam lingkungan umur sebegini mempunyai pemikiran pra-pemikiran yang terhad dan cenderung memahami dunia dengan cara yang egosentrik. Egosentrik merujuk kepada keadaan di mana seseorang hanya memandang dunia dari perspektif diri sendiri tanpa memahami pandangan atau perspektif orang lain. Jadi tidak mustahil kanak-kanak enam tahun berbuat demikian berdasarkan teori ini.

Ketiga

Teori konstruktivisme sosial Vygotsky, juga dikenali sebagai teori pembelajaran sosial. Teori ini menyatakan bahawa pembelajaran dan pembangunan kognitif seseorang tidak hanya bergantung pada faktor individu seperti pemikiran dan kebolehan, tetapi juga bergantung pada interaksi sosial dan budaya yang melingkungi individu tersebut. Teori ini menganggap bahawa pengalaman dibina daripada interaksi dengan orang lain dan penggunaan alat bantu seperti bahasa, simbol dan alat bantu lain dapat membantu seseorang mengembangkan pengetahuan dan kemahiran yang lebih kompleks.Dalam teori konstruktivisme sosial Vygotsky, individu dipandang sebagai pembina makna, bukan penerima maklumat pasif. Proses pembelajaran berlaku apabila individu terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memerlukan mereka untuk mencari makna dalam pengalaman mereka sendiri. Interaksi dengan orang lain dapat membantu mereka mengembangkan pemahaman yang lebih kompleks dan mendalam tentang dunia di sekeliling mereka. Jadi bolehkah anda kaitkan teori ini dengan insiden kanak-kanak berkenaan? Ya, sangat jelas sekali. Kanak-kanak tersebut mempunyai rasa ingin tahun yang tinggi. Beliau membina makna hasil dari interaksi beliau dengan persekitarannya seperti tindakan ibu bapa, adik beradik, kereta dan sebagainya, akhirnya pengetahuan dapat dibina.

Keempat

Berdasarkan kajian-kajian terdahulu, kanak-kanak perempuan peringkat pra-sekolah mempunyai pencapaian yang lebih tinggi berbanding murid-murid lelaki dalam kemahiran motor halus, manakala pada peringkat pra-sekolah, murid-murid lelaki mempunyai pencapaian yang lebih tinggi berbanding murid-murid perempuan dalam kemahiran motor kasar. Kemahiran motor halus merujuk kepada keupayaan untuk mengawal gerakan kecil dan tepat pada anggota badan seperti tangan dan jari-jemari. Contoh kemahiran motor halus termasuk menulis dan memegang pensel. Kemahiran motor kasar pula merujuk kepada keupayaan untuk menggunakan kekuatan dan keseimbangan dalam gerakan besar seperti berlari, melompat, dan melempar. Contoh kemahiran motor kasar termasuk bermain bola dan melompat tali. Pada pandangan anda, memandu kereta melibatkan kemahiran motor halus atau kemahiran motor kasar?

Barangkali ada antara kita yang menyatakan mengapa zaman dahulu tiada pula insiden kanak-kanak 6 tahun memandu kereta sendiri. Saya kongsikan generasi berdasarkan tahun kita dilahirkan.

Silent Generation : Dilahirkan antara tahun 1928 hingga 1945.

Baby Boomers: Dilahirkan antara tahun 1946 hingga 1964.

Generasi X: Dilahirkan antara tahun 1965 hingga 1980.

Generasi Y: Dilahirkan antara tahun 1981 hingga 1996.

Generasi Z: Dilahirkan antara tahun 1997 hingga 2012.

Generasi Alpha: Dilahirkan antara tahun 2013 hingga 2025.

Saya adalah generasi Y. Saya berumur 6 tahun semasa lewat 1980-an. Ketika itu, naik basikal pun saya tak pandai lagi. Daripada menonton televisyen hitam putih, saya hanya meniru karakter-karakter kartun popular pada masa itu seperti Power Rangers, Teenage Mutant dan Ninja Turtles. Generasi Alpha adalah generasi yang dikenali sebagai generasi digital. Mereka dibesarkan dalam era teknologi yang semakin canggih dan mudah diakses. Oleh itu, ibu bapa dan penjaga cenderung menggunakan teknologi untuk membimbing, dan mendidik anak-anak mereka. Mendidik mereka sangat mencabar. Oleh itu, sangat penting untuk mengajar nilai-nilai positif dan membimbing mereka dengan cara yang sewajarnya.

Sekadar pandangan.