Bina Hubungan Baik dengan Pakar Kesahan Instrumen Anda

Biasanya, sekali dalam dua minggu, saya akan dedikasikan sehari, dari pagi hinggalah ke petang untuk mengesahkan instrumen pelajar Phd/ sarjana dari pelbagai universiti yang saya kumpulkan. Saya faham situasi mereka kerana saya sendiri pernah bergelar pelajar suatu ketika dahulu. Tapi janganlah hantar hari ini, hendakkan maklum balas esok. Pensyarah juga ada komitmen lain. Jadi kenalah ikut kelapangan kami.

Ada beberapa pelajar yang sudah tentukan deadline yang kami perlu selesaikan proses kesahan. Biasanya kalau saya tak boleh penuhi masa yang mereka tetapkan, saya akan balas e-mel berkenaan secara baik. Namun, kemudian tiada balasan balik. Itu bukan amalan yang baik ya duhai para penyelidik. Kita rakyat Malaysia berpegang pada Rukun Negara. Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Sebagai pelajar, kita perlu bijak merancang masa sebaik mungkin. Sementara menunggu pakar menilai dan mengesahkan instrumen anda, banyak perkara lain yang anda boleh siapkan.

Saya secara peribadi, tempoh paling lama saya akan pulangkan instrumen pelajar ialah sebulan. Paling cepat barangkali boleh sesingkat seminggu. Ikut sejauh mana kerumitan atau kedalaman kandungan instrumen berkenaan. Biasanya instrumen soal selidik akan ambil masa yang singkat berbanding modul pembelajaran. Hal ini penting kerana, sebagai pengesah, saya kena nilai sebaik mungkin berikutan kesahan data kajian akan bergantung kepada kesahan instrumen anda.

Di sini saya kongsikan bagaimana prosedur anda melantik pakar penilai instrumen anda:

  • Buat homework berkaitan bakal pakar yang bakal dilantik. Adakah mereka mempunyai bidang yang hampir sama dengan kajian anda?
  • Setelah dikenal pasti, bincang dengan penyelia untuk persetujuan. Approach mereka secara baik terlebih dahulu melalui e-mel.
  • Terdapat pakar yang lebih suka anda mengepos instrumen anda. Ada juga yang lebih suka secara dalam talian. Ada juga yang suka jumpa secara bersemuka.
  • Setelah mendapat balasan e-mel dan persetujuan mereka, hubungi fakulti (dalam konteks institusi saya) bagi tujuan penyediaan surat lantikan secara rasmi.
  • Jangan nyatakan bahawa pakar akan diberikan honorarium atau token dalam surat lantikan. Sekiranya anda melanjutkan pengajian di bawah geran penyelidikan tertentu yang ada dinyatakan secara eksplisit tentang bayaran honorarium, anda boleh maklumkan dalam e-mel dan surat penerimaan honorarium perlu ditandatangani oleh pakar dan juga ketua projek. Kebenaran juga perlu diperolehi dari entiti yang menguruskan penyelidikan.
  • E-melkan atau poskan instrumen anda kepada pakar yang telah dilantik. Anda boleh nyatakan situasi anda berkaitan masa yang diperlukan. Tetapi jangan terlalu mendesak atau memaksa.
  • Pengalaman saya, saya akan berikan cadangan sebaik mungkin dan secepat yang boleh terhadap instrumen yang diberikan. Terdapat pelajar dari universiti lain yang sangat hargai usaha saya yang tidak seberapa sampai ingin berikan saguhati. Namun, saya akan tolak dan minta disedekahkan di tabung-tabung masjid. Ada juga pelajar yang sudah berbincang dengan penyelia masing-masing dan penyelia sendiri mengucapkan terima kasih kepada saya. Oh ya, ada juga yang ajak menulis artikel bersama.

Jadi, rancanglah masa anda dengan baik. Wujudkan hubungan yang baik dengan pakar kesahan instrumen anda. Sekiranya pakar bersemangat menilai dan berkongsi ilmu dengan anda, anda juga akan gembira. Anda gembira, kami lagi gembira kerana dapat membantu apa yang termampu.

Speak Your Mind

*