Menjelajahi Bandar Seribu Sungai; Kota Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia

Pada pertengahan tahun lalu, saya menerima jemputan sebagai keynote speaker di salah sebuah universiti awam di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia. Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju untuk menerima jemputan tersebut. Inilah peluang keemasan saya untuk menjejakkan kaki buat pertama kali di Pulau Kalimantan memandangkan sebelum ini saya hanya pernah sampai ke Pulau Jawa dan Pulau Sumatera sahaja. Disebabkan tiada penerbangan terus ke Banjarmasin dari Malaysia, saya mengambil penerbangan transit ke Jakarta terlebih dahulu sebelum menaiki pesawat Garuda ke Banjarmasin. Penerbangan dari Jakarta mengambil masa selama satu jam. Saya tiba di Lapangan Terbang Syamsudin Noor yang terletak kira-kira 25 km dari pusat bandar hampir pukul 9 malam. Jadi, selepas makan malam, saya menuju ke hotel untuk berehat sebelum menghadiri majlis rasmi keesokan harinya.  Banjarmasin merupaka ibukota Kalimantan Selatan, Indonesia. Ia terletak di pulau delta berhampiran dengan persimpangan sungai Barito dan Martapura. Disebabkan itu, Banjarmasin turut dikenali sebagai “Bandar Sungai” dan juga “Bandar Seribu Sungai.

Pengucap jemputan di the 5th SEA DR Conference

Saya hanya berkesempatan menjelajah kota Banjarmasin pada hari ketiga iaitu bermula dengan menziarahi Masjid Sabilal Muhtadin. Masjid ini terletak di tepi sungai Martapura dan siap dibina sepenuhnya pada tahun 1979. Nama masjid ini diambil bersempena dengan nama ulama terkenal Sheikh Muhammad al-Banjary Arsyad yang telah bertanggungjawab mengembangkan Islam di wilayah kerajaan Banjar atau Kalimantan Selatan pada hari ini. Masjid ini juga merupakan masjid terbesar di Banjarmasin, Indonesia. Berada di masjid tersebut, saya melihat ramai pengunjung yang mengambil kesempatan untuk beristirehat di situ. Menurut teman di sana, kebanyakan mereka yang menjadikan masjid tersebut sebagai tempat persinggahan merupakan penduduk yang dalam perjalanan panjang menuju ke sesuatu destinasi. Selain masjid, satu lagi ikonik kota Banjarmasin ialah Menara Pandang Banjarmasin. Pengunjung dapat melihat keindahan Kota Banjarmasin dari atas menara ini. Walau bagaimanapun, ketika saya sampai di sana, menara tersebut ditutup sementara untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Tidak jauh dari menara tersebut, saya menuju ke salah sebuah jeti yang terdapat di Sungai Martapura. Bersama-sama teman dari Universiti Lambong Mangkurat, saya dibawa menaiki bot kayu tradisional yang telah dinaiktaraf dengan motor moden. Penduduk tempatan memanggilnya kelotok. Sekiranya dahulu kelotok digunakan sebagai medium pengangkutan yang menghubungkan orang atau barangan antara kampung dan bandar sebelum mana-mana jalan dan jambatan dibina, tetapi kini ianya digunakan sebagai bot pelancongan.

Menikmati pemandangan kota Banjarmasin di atas kelotok

Uniknya mengenai bot ini, saya perlu merangkak di dalamnya kerana ketinggiannya yang rendah. Walau bagaimanapun, saya dibenarkan untuk menikmati pemandangan di bahagian belakang bot yang terbuka. Malah saya mengambil peluang untuk duduk di atas bumbung bot dalam pelayaran di sepanjang Sungai Martapura tersebut. Sepanjang melayari Sungai Martapura, saya berkesempatan melihat Rumah Lanting di tepian sungai tersebut. Rumah Lanting merujuk kepada rumah banjir banjir tradisional yang dibina di tebing sungai. Selain itu, kelihatan anak-anak kecil yang bermandi-manda dan bergembira terjun dari tebing sungai Martapura. Kalau di Malaysia, ia kelihatan merbahaya, tetapi tidak di Banjarmasin kerana perkara tersebut sememangnya sudah menjadi amalan dan budaya di sana. Di pinggir sungai tersebut juga terdapatnya patung gergasi Bekantan yang melambangkan ikon Kalimantan, monyet proboscis atau lebih dikenali sebagai Bekantan. Bekantan ialah monyet yang memiliki rambut berwarna coklat kemerahan dengan hidungnya yang panjang dan besar. Bekantan juga mempunyai perut yang besar dan buncit. Patung tersebut mengingatkan saya akan monument merlion di Singapura. Tambahan pula, kedua-dua monumen tersebut memancutkan air dari mulutnya. Setelah puas berswafoto dengan patung Bekantan tersebut, saya kemudian menuju ke Duta Mall, iaitu pusat membeli belah terbesar di kota Banjarmasin untuk minum petang bersama teman-teman yang membawa saya bersiar-siar.

Bersama teman-teman dari Universitas Lambong Mangkurat, Banjarmasin, Kalimantan

Destinasi terakhir saya ialah Taman Siring 0 KM Banjarmasin yang juga terletak di tepi Sungai Martapura dan bertentangan dengan Menara Pandang. 0 KM merujuk kepada titik sifar kilometer yang diperlukan sebagai penanda jarak dari pusat kota Banjarmasin ke kawasan lain di sekitarnya. Biasanya, titik sifar kilometer ditandai oleh monumen atau bangunan tertentu. Contohnya jarak dari Banjarmasin yang dikira bermula dari Taman Siring 0 KM ke Banjarbaru ialah 35km. Taman Siring 0 KM Banjarmasin merupakan kawasan santai untuk penduduk tempatan melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal, bermain skateboard dan beristirehat sambil menikmati pemandangan sungai Martapura. Saya kemudiannya menuju ke hotel untuk berehat dan membuat persiapan sebelum berangkat menuju ke Makassar, Sulawesi Selatan keesokan harinya untuk menghadiri satu lagi majlis rasmi di sana.

 

Menyemarakkan Aktiviti Pengantarabangsaan di Fakulti Pendidikan UTM

Dalam pelan Global UTM Fasa III (2018-2020), untuk bidang tujahan (key focus area) yang ke-enam iaitu Global Prominence and Branding terdiri daripada tiga objektif strategik iaitu S4.1 – Ranking UTM dalam QS World University Rankings, S4.2 – Ranking UTM dalam QS University Ranking untuk bidang Kejuruteraan & Teknologi, dan S4.3 – Brand Awareness Index. Untuk objektif strategik S4.1, antara inisiatif yang dicadangkan termasuklah menganjurkan atau melibatkan diri secara aktif dalam seminar dan persidangan antarabangsa untuk meningkatkan reputasi global, serta memperhebatkan strategik pengantarabangsaan dan penglibatan global. Fakulti Pendidikan (FP) UTM pada tahun ini telah menerima banyak delegasi luar negara terutama dari Indonesia seperti dari Universitas Sultan Ageng Tirtayasa (UNTIRTA), Universiti Ahmad Dahlan (UAD), Universitas Hamzanwadi,  Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dan banyak lagi. Antara program yang dilaksanakan antara kedua-dua buah institusi termasuklah kursus pendek, program latihan mengajar antarabangsa di sekolah-sekolah sekitar Johor Bahru, international service learning dan banyak lagi. Selain Indonesia, kursus pendek selama sebulan yang melibatkan siswa dari Rajamangala University of Technology Thanyaburi (RMUTT) Thailand ke Fakulti Pendidikan UTM juga telah berjaya dilaksanakan baru-baru ini.

Berkongsi ilmu dengan mahasiswa dari RMUTT Thailand

Saya turut menjadi salah seorang penceramah dalam salah satu sesi dalam program berkenaan. Hubungan baik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Negeri Makassar (UNM) diperkukuhkan lagi dengan berlangsungnya Kolokium Kajian Pendidikan di FP, UTM baru-baru ini. Program ini hasil kerjasama semua staf akademik dan bukan akademik FP UTM. “Colloquium” berasal dari perkataan Latin yang merujuk kepada mesyuarat atau seminar tidak formal yang kebiasaannya bersifat akademik. Kolokium merupakan salah satu platform kepada bukan sahaja mahasiswa bahkan pensyarah dan ahli akademik untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran dan hasil kajian mereka. Selain saling bertukar pandangan dan buah fikiran, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi, kemahiran berhujah secara berhemah dan tahap keyakinan seseorang. Kolokium ini juga berjaya menghasilkan sebuah prosiding yang mempunyai nombor ISBN yang mengumpulkan kesemua kertas kerja yang dibentangkan di kolokium ini.

Kolokium Penyelidikan dalam Pendidikan 2018 antara UTM dan UNM Indonesia

 

 

 

 

 

 

 

 

Perubahan Kecil Mampu Memberi Impak Yang Besar

Sebagai staf dan ahli akademik di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), saya perlu memainkan peranan dalam menjayakan pelaksanaan Pelan Global UTM sejak dari Fasa pertama sehinggalah Fasa III yang sedang berlangsung ketika ini sehinggalah tahun 2020 kelak. Untuk merealisasikannya, bukan sahaja terletak di bahu staf pengurusan dan staf akademik, malah staf pelaksana dan staf sokongan turut perlu berganding bahu memainkan peranan masing-masing terhadap inisiatif-inisiatif yang dicadangkan dalam Pelan Global tersebut. Semua pihak dalam sebuah organisasi UTM ini perlu menghayati kisah Nabi Ibrahim yang mana ketika baginda dibakar oleh Raja Namrudz, kejadian itu disaksikan oleh seekor burung pipit. Ia kemudiannya berbolak-balik terbang untuk mencari air yang mana burung tersebut mengisi air ke dalam paruhnya kemudian dilepaskannya ke atas unggun api yang membakar Nabi Ibrahim. Walaupun kalau diikut logik akal, berapa banyak sangatlah air yang dapat dikendong oleh burung tersebut, burung tersebut tetap memainkan peranannya dalam membantu Nabi Ibrahim. Kisah ini juga dikongsikan oleh YBhg. Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dalam Bab 5 bukunya yang bertajuk “Universiti Cemerlang Menjana Kesejahteraan Sejagat” yang mengajak semua warga UTM memahami dan menghayati tanggungjawab masing-masing dalam mencapai misi dan visi UTM.

Ketika mempromosi UTM di Astana, Kazakhstan

Satu lagi kisah yang berlaku di Amerika Syarikat iaitu ketika zaman pentadbiran Presiden John F. Kennedy (JFK). Buat pengetahuan, JFK merupakan presiden Amerika Syarikat dari tahun 1961 sehingga 1963. Pada satu hari, beliau melawat head quarter NASA (The National Aeronautics and Space Administration). NASA merupakan sebuah agensi angkasa di USA yang berperanan melaksanakan program angkasa lepas. Presiden JFK kemudiannya terserempak dengan seorang janitor (penjaga bangunan), lalu bertanyakan kepada janitor tersebut, “What are you doing?”. Janitor tersebut lantas menjawab, “I am helping to put a man on the moon”. Jadi di sini kita boleh lihat bagaimana sebuah organisasi atau institusi seperti NASA dapat membuatkan semua pekerjanya memahami fungsi dan peranan masing-masing untuk merealisasikan misi NASA ketika itu iaitu menghantar manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan. Mengapa NASA ketika itu beriya-iya mahu menghantar manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan?. Ini kerana pada ketika itu berlakunya Space Race (Cold War) antara USA dan Soviet Union (Russia) yang bersaing untuk menghantar manusia pertama ke bulan. Berbalik kepada cerita janitor dengan presiden JFK, dengan hanya melaksanakan kerja-kerja kecil seperti mengelap lantai dan sebagainya, yang secara tidak langsung memudahkan perlaksanaan misi menghantar manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan, akhirnya USA berjaya merealisasikan misi tersebut. Dan (mungkin) disebabkan kisah inilah lahirnya ungkapan yang keluar dari mulut presiden JFK iaitu “Don’t ask what your country can do for you, but ask what you can do for your country”.

Mempromosi UTM khususnya dalam aspek pembelajaran dan pengajaran di Indonesia

Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Pekerja tahun 2018 ini yang bertemakan “Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara”, ayuh warga UTM tidak kiralah jawatan apa yang kita pegang, marilah kita sama-sama jayakan Pelan Global UTM Fasa III ini untuk menjadikan UTM yang kita cintai ini sebagai sebuah institusi yang dikenali di peringkat kebangsaan dan global atas sumbangannya dalam aspek reputasi akademik, penjanaan modal insan, impak terhadap ekonomi berasaskan inovasi Malaysia dan global, keternampakan pada peringkat antarabangsa serta menjadi satu jenama yang disegani.

Semoga Terus Cemerlang Mahasiswa UTM

Baru-baru ini saya menonton satu rancangan temu ramah di Astro Awani bersama pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah membangunkan kabel pintar yang dikenali sebagai Charby Sense. Inovasi ini dikatakan dapat mengatasi masalah jangka hayat bateri dengan cara memutuskan arus elektrik apabila peranti sudah dicas penuh. Rasa bangga dengan kualiti yang dimiliki oleh mahasiswa UTM.

Sumber: Koleksi peribadi

Pencapaian mahasiswa UTM juga konsisten dalam Pertandingan Robot ABU Asia-Pasifik (ROBOCON). ABU ROBOCON yang ditubuhkan pada tahun 2002 merupakan sebuah pertandingan robot secara tahunan yang bertujuan menjadi platform untuk membangunkan robot automatik untuk membantu manusia dalam kehidupan seharian mereka. Pada tahun 2017, UTM yang mewakili Malaysia, muncul naib johan dalam Pertandingan Robot ABU Asia-Pasifik (ROBOCON) 2017 yang diadakan di Tokyo, Jepun. Baru-baru ini pula, bertempat di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), mahasiswa UTM sekali lagi mengharumkan nama UTM dengan memenangi tempat pertama dan kedua dalam ROBOCON 2018 dan bakal mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa yang akan berlangsung di Vietnam pada bulan Ogos ini.

Sumber gambar: Facebook rasmi UTM

Pada bulan Mac 2018 yang lalu pula, pasukan debat UTM menjuarai Anugerah Debat Perdana 2018. Kejayaan dalam pertandingan debat ini sememangnya sesuatu membanggakan apatah lagi secara tradisinya sebelum ini, acara debat selalunya dimonopoli dan dikuasai oleh universiti lain. Hal ini selari dengan pandangan sebuah majalah business terkemuka dunia iaitu Forbes dalam artikelnya yang bertajuk “What makes a university great” iaitu antara faktor utama yang membezakan antara universiti-universiti ternama dunia dengan pesaing-pesaing mereka ialah penumpuan tinggi terhadap pemilihan staf akademik, penyelidik dan mahasiswa yang berpotensi dan berbakat. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai mahasiswa UTM juga dilihat hasil daripada kejayaan pelaksanaan Pelan Global UTM 2012-2020 dibentuk untuk menjadikan UTM sebagai sebuah institusi yang dikenali di peringkat kebangsaan dan global atas sumbangannya dalam aspek reputasi akademik dan penjanaan modal insan berkualiti tinggi. Di samping itu, konsep Akademia Baru yang memberi fokus kepada inovasi pembelajaran dan pengajaran turut dilihat memberi sumbangan terhadap pemupukan kemahiran insaniah mahasiswa yang penting untuk kebolehpasaran graduan. Semoga terus cemerlang mahasiswa UTM.

[Bahagian 3] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan

Sambungan dari [Bahagian 1] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan

dan [Bahagian 2] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan

Expo 2017 Astana

Pada hari-hari berikutnya, saya meluangkan sebahagian besar masa di tapak Expo 2017 Astana sama ada sebagai pengunjung pavilion mahupun sebagai peserta Minggu Pendidikan Malaysia yang berlangsung selama seminggu di Pavilion Malaysia. Sebagai peserta di Pavilion Malaysia, saya dijemput sebagai salah seorang penceramah di salah satu slot yang dijadualkan serta bertanggungjawab mempromosikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu tempat penulis berkhidmat. Selain perkongsian ilmu yang saya sampaikan serta ahli-ahli akademik dari institusi yang lain, banyak aktiviti lain yang dirancang oleh penganjur seperti forum, lawatan ke universiti-universiti tempatan seperti Nazarbayev University dan Eurasian National University, dan business matching. Saya juga berkesempatan mengunjungi pavilion Malaysia dan negara-negara lain. Banyak pengetahuan baru khususnya dalam bidang tenaga alternatif yang saya perolehi hasil dari lawatan ke pavilion-pavilion tersebut. Antaranya, semasa mengunjungi pavilion India, saya mendapat tahu bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Cochin menjadi lapangan terbang berkuasa solar pertama di dunia dan bergantung sepenuhnya dengan tenaga tersebut. Di pavilion Finland saya mendapat tahu bahawa Finland memiliki udara paling bersih di Eropah dan ia juga merupakan negara yang paling stabil di dunia. Manakala di pavilion Pakistan, saya mengetahui bahawa Dewan Nasional Pakistan merupakan satu-satunya parlimen di dunia yang menggunakan tenaga solar. Manakala stesen janakuasa haba solar pertama di dunia terletak di Mesir. Selain mempamerkan bahan pameran sama ada dalam bentuk maujud ataupun digital, terdapat sebilangan pavilion negara yang turut mengadakan persembahan kebudayaan negara masing-masing untuk menarik perhatian pengunjung untuk melawat pavilion mereka.

Persembahan Tarian Tradisional di Pavilion Malaysia

Salah satunya adalah pavilion Malaysia yang meriah dengan persembahan tarian tradisional melayu, cina, melayu serta bumiputra Sabah dan Sarawak. Tema Pavilion Malaysia adalah “Powering Green Growth”. Sebagai salah satu daripada negara yang mempunyai kawasan berhutan paling banyak di dunia, pengunjung mengalami pengalaman secara maya mengenai tenaga “hijau”pada masa hadapan di pavilion Malaysia. Selain Malaysia, pavilion-pavilion negara lain yang turut menjadi kegemaran penulis termasuklah pavilion Kazakhstan, Jerman, Finland dan Korea Selatan.

Saya di EXPO 2017 Astana

Penghargaan

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA), GreenTech Malaysia, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UTM atas tajaan dan sokongan yang diberikan sebelum dan sepanjang saya berada di bumi Kazakhstan.

Terpilih Mengikuti International Scholar Exchange Fellowship (ISEF) 2018-2019

Korea Selatan merupakan salah sebuah negara kegemaran saya. Saya pernah berkunjung ke Seoul dan Busan pada penghujung tahun 2016 sebelum ini, dan masih lagi ingin ke sana sekiranya diberi peluang dan ruang. Pada awal tahun ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ada mengemukakan tawaran kepada staf akademik yang ingin menjalankan kajian selama 6 bulan hingga setahun di Korea Selatan untuk program International Scholar Exchange Fellowship (ISEF) 2018-2019. ISEF merupakan sebuah program yang ditawarkan oleh Korea Foundation for Advanced Studies (KFAS). KFAS merupakan sebuah organisasi bebas yang bersifat non-profit yang ditubuhkan pada tahun 1974. KFAS telah mempelawa kira-kira 50 ahli akademik dari Asia setiap setahun selama enam bulan atau satu tahun untuk menjalankan projek-projek penyelidikan secara kerjasama dengan profesor dan penyelidik di universiti terkemuka dan institusi akademik di Korea.

http://www.kfas.or.kr/Main.aspx

Sehingga tahun 2016, seramai 838 ahli akademik dari 17 buah negara di Asia dan Timur Tengah telah terpilih menyertai program ini. Jumlah ini termasuklah tiga orang penyelidik dari Malaysia sehingga kini.

Sumber: http://www.kfas.or.kr/download/board/isef_2018_2019.pdf

Apabila mengetahui peluang tersebut, tanpa berfikir panjang, saya cuba memohon. Saya turut membuat sedikit homework mengenai program ini. Rejection rate permohonan yang agak tinggi sebelum ini tidak mematahkan semangat saya langsung. Pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang proses memohon ialah untuk mencari host institution di Korea Selatan yang merupakan salah satu syarat utama permohonan. Proposal kajian yang memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara juga perlu disediakan dalam masa yang singkat. (Thanks Dr. Mahani Mokhtar atas kesudian proofread proposal berkenaan). Terima kasih juga buat Prof. Dr. Mohd Salleh Abu (UTM) dan bekas penyelia PhD saya di UKM, Prof. Madya Dr. Effandi Zakaria atas kesediaan menjadi recommender. Proses penilaian melibatkan empat peringkat termasuklah subjek evaluation di peringkat ketiga dan comprehensive evaluation di peringkat terakhir. Alhamdulillah, setelah hampir dua bulan menanti, hari ini keputusan permohonan diumumkan. Tiada apa yang mampu saya katakan selain hanya mampu bersyukur kehadrat Allah S.W.T. So Korea, see you next year!

[Bahagian 2] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan

Sambungan dari [Bahagian 1] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan

Lawatan Sekitar Bandar Astana

Saya memulakan lawatan di kota Astana pada hari kedua bermula pada pukul 10 pagi. Selepas bersarapan pagi, kami bergerak dengan berjalan kaki menuju ke Menara Bayterek. Ia merupakan simbol bandar Astana yang mana ketika berada di atas, kita dapat menikmati keindahan panorama bandar Astana. Untuk sampai ke menara tersebut, saya melalui Arkib Nasional Kazakhstan yang berbentuk telur burung. Malah ia turut dikenali sebagai The Eggs. Menara Bayterek merupakan sebuah menara peninjau yang berketinggian 105 meter, dan ianya direka untuk mewakili sebatang pokok poplar yang sedang memegang telur emas. Menara tersebut telah direka oleh Norman Foster, yang dibina pada tahun 1997 sebagai simbol ibu negara yang baru. Ruang bawah menara terletaknya gerai jualan tiket dan ruang pameran, dan di situ terletak juga dua buah lif untuk membawa pengunjung ke ruang tinjau. Ruang peninjau berada pada ketinggian 97 m di atas paras bumi, bersamaan dengan tahun 1997, iaitu tahun Astana menjadi ibu negara. Ruang ini terdiri daripada dua tingkat. Saya menikmati keindahan panorama pemandangan 360 darjah kota Astana di tingkat satu. Tingkat kedua pula memerlukan pengunjung menaiki tangga yang disediakan untuk sampai ke situ. Di situ terletaknya cetakan tangan kanan Nursultan Nazarbayev iaitu Presiden Republik Kazakhstan. Tingkat dua tersebut juga berorientasikan arah istana presiden. Setelah hampir satu jam berada di Menara Bayterek, saya bersama ahli kumpulan yang lain dibawa ke kawasan istana presiden yang turut dikenali sebagai Ak Orda Presidential Palace.

Soaring upwards

Saya bersama peserta-peserta dari pelbagai institusi pendidikan tinggi di Malaysia

Terpandangkan istana yang tersergam indah berkenaan, saya lantas teringatkan Rumah Putih di Washington dan Istana Buckingham di London. Ak Orda yang siap dibina pada tahun 2004 adalah bangunan setinggi empat tingkat yang besar, yang mana setiap dewan mempunyai fungsi, dan di situlah ketua-ketua dari pelbagai negara di dunia berjalan di koridornya. Tingkat pertama merupakan pejabat kakitangan Pentadbiran Presiden. Tingkat dua Ak Orda Palace merupakan kawasan di mana majlis rasmi antarabangsa diadakan. Tingkat tiga menempatkan Dewan Cupola untuk perundingan dengan ketua-ketua negeri, Dewan Kerajaan, Perpustakaan Presiden dan bilik-bilik lain. Semua bahagian di empat tingkat di Ak Orda Palace mempunyai hiasan yang menakjubkan serta dilengkapi dengan perabot mewah. Terletak di tebing kiri Sungai Ishim, Ak Orda Palace merupakan pejabat presiden dan menempatkan kakitangan Pentadbiran Presiden dan bukannya tempat kediaman presiden. Selain itu, saya juga amat kagum dengan keindahan landskap luaran yang terletak di hadapan istana berkenaan. Keindahan kawasan di hadapan Ak Orda ditonjolkan dengan air pancut dan tanaman pelbagai bunga yang berwarna-warni. Ak Orda juga menjadi tempat tumpuan penduduk tempatan dan pengunjung luar untuk merakamkan detik terbenamnya matahari.

Saya kemudian dibawa ke Dataran Kemerdekaan Kazakhstan merupakan kawasan yang luas dengan kiri dan kanan jalan raya sepanjang dataran itu terletaknya monumen yang megah dan air pancut yang indah. Di situlah terletaknya Muzium Nasional Republik Kazakhstan, Palace of Peace and Reconciliation (Piramid) yang unik, masjid Hazret Sultan (masjid kedua terbesar di Asia Tengah), National University of Arts dan Monumen “Kazakh Eli” yang merupakan sebuah monumen dengan burung mitos Samruk di atas yang melambangkan kebebasan, kemakmuran, kekuatan dan pembangunan. Saya kemudiannya menuju ke Muzium Nasional Kazakhstan. Sekali pandang, langsung tidak terfikir dalam minda saya bahawa ianya merupakan sebuah muzium. Keunikan bangunan tersebut pasti menarik perhatian sesiapa yang terpandangkannya. Keindahan dan senibina yang moden membezakannya dengan bangunan muzium yang biasa kita lihat. Kompleks Muzium Nasional Kazakhstan yang unik ini mempunyai keluasan 74,000 meter persegi dan terdiri daripada tujuh blok dengan sembilan tingkat.

Kegembiraan terpancar di wajah setiap peserta yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kazakhstan

Ruang pameran terdiri daripada 14 bilik dengan keluasan lebih dari 14,000 meter persegi. Muzium Nasional Republik Kazakhstan adalah muzium termuda dan terbesar di Asia Tengah. Ia terdiri daripada dewan-dewan yang berikut iaitu Dewan Astana, Dewan Kemerdekaan Kazakhstan, Dewan Emas, Dewan Sejarah Purba dan Abad Pertengahan, Dewan Sejarah, Dewan Etnografi dan Dewan Seni Moden. Menuju ke dewan pameran, saya disambut oleh replika helang emas raksasa yang seolah-olah sedang melonjak ke atas peta negara Kazakhstan. Saya memulakan pengembaraan di muzium berkenaan dengan memasuki Dewan Etnografi yang mempamerkan koleksi artifak yang berkaitan dengan budaya nomad rakyat Kazakhstan satu masa dahulu. Kami kemudiannya menuju ke Dewan Emas (Golden Hall) yang mempamerkan perhiasan emas dan replika dari keranda dan kubur pengebumian Issyk (di mana ‘Golden Man’ ditemui), replika ‘Golden Man’ dan ‘Golden Man’ kedua dari barat Kazakhstan, serta sebuah replika kuda dari makam Berel. ‘Golden Man’ merupakan simbol kebangsaan Kazakhstan dan ketika kuburnya ditemui pada tahun 1969, pahlawan abad ke-3 atau ke-4 itu masih memakai aksesori emas pada seluruh badannya.

Bersambung….

Generasi Penyambung Kecemerlangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Pada 7 Mac 2018 yang lalu, saya telah berkesempatan untuk menghadiri sesi perjumpaan YBhg. Datuk Naib Canselor UTM,  Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar bersama staf akademik UTM yang berumur 45 tahun dan ke bawah. Banyak maklumat dan amanat berguna yang telah disampaikan oleh YBhg. Datuk NC kepada staf-staf muda yang bakal menerajui kecemerlangan UTM pada masa hadapan.

Sumber gambar: Facebook rasmi Datuk NC UTM

Berdasarkan statistik yang disampaikan oleh Datuk NC, sebanyak 52% staf UTM terdiri daripada mereka yang berumur 46 tahun dan ke bawah. Daripada jumlah itu, 1% merupakan professor, 11% professor madya dan 78% merupakan pensyarah kanan. Paling membanggakan ialah sebanyak 75% staf yang berumur 46 tahun dan ke bawah menerbitkan artikel dalam Scopus mahupun Web of Science (WOS). Manakala daripada keseluruhan penerbitan berindeks UTM, 41% daripadanya disumbangkan oleh staf yang berumur 46 tahun ke bawah. Bilangan staf dalam kategori 46 tahun ke bawah juga menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam aspek penyelidikan. Ini boleh dilihat dalam peratus staf yang menjadi penyelidik utama geran-geran penyelidikan yang meningkat dari tahun 2014 (51%), 2015 (63%) dan 2016 (75%). Hal ini seterusnya menyaksikan sejumlah RM141 juta jumlah dana penyelidikan diperolehi oleh staf akademik UTM yang berumur bawah 46 tahun. Jumlah ini merupakan 52% daripada jumlah keseluruhan dana penyelidikan yang diterima oleh staf UTM tanpa mengira peringkat umur. Syabas UTM kerana memiliki staf akademik yang berpotensi dan berbakat dalam usaha untuk mewarisi kegemilangan UTM pada masa hadapan. 

 

Sepertimana yang kita maklum, dalam sesebuah organisasi atau institusi, staf adalah agen perubahan. Malcolm Gladwell, seorang jurnalis terkemuka dalam bukunya “The Tipping Point: How Little Things Can Make a Difference Big” menyatakan bahawa kejayaan mana-mana institusi sosial sangat bergantung pada penglibatan manusia dalam institusi tersebut. Mark Zuckerberg, pengasas Facebook berkata bahawa “manusia mempengaruhi manusia. Tiada apa-apa yang dapat mempengaruhi orang lebih daripada cadangan daripada rakan yang dipercayai”. Howard Shultz, mantan CEO Starbucks, berkata dengan jelas “Kami telah membina jenama Starbucks terlebih dahulu dengan orang-orang kami, bukan dengan pengguna. Kerana kami percaya cara terbaik untuk memenuhi dan melampaui jangkaan pelanggan kami adalah untuk mengambil dan melatih orang-orang hebat, kami melabur dalam pengambilan pekerja”. Pengasas Air Asia, Tony Fernandes pula menegaskan pekerja datang nombor satu, pelanggan datang nombor dua. Sekiranya anda mempunyai tenaga kerja yang gembira, mereka akan menjaga pelanggan anda.

Manakala menurut bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, the future belongs to young people with an education and the imagination to create. Hal ini jelas menunjukkan betapa pentingnya staf dalam memperkasakan sesebuah institusi dan betapa pentingnya golongan pelapis yang bakal meneruskan kehebatan sesebuah institusi tersebut.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ZLiJvNyt7pI[/embedyt]

 

 

Kedudukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dalam Bidang Sains Sosial dan Pengurusan (Social Sciences and Management)

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Dalam post sebelum ini, ada dikongsikan kedudukan terkini UTM dalam Global Rankings untuk bidang (Faculty) Engineering & Technology untuk tahun 2018. Di sini dikongsikan pula kedudukan UTM dalam bidang Social Sciences and Management. Alhamdulillah, UTM menunjukkan peningkatan memberangsangkan  dengan berada di kedudukan 122, dan hal ini menunjukkan peningkatan sebanyak 161 anak tangga sejak UTM berada dalam ranking dalam bidang ini pada tahun 2015.

Salah satu subjek yang termasuk dalam bidang ini ialah Pendidikan (Education). Alhamdulillah, Fakulti Pendidikan UTM terus mengekalkan kedudukan di tangga 151-200 mengikut subjek (pendidikan) dalam ranking 2018. Jadual berikut menunjukkan kedudukan subjek Pendidikan universiti awam di Malaysia

Tahniah Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tahniah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terus diberikan pengiktirafan dalam QS World Ranking mengikut bidang dan subjek. Kita dapat melihat kesinambungan peningkatan kedudukan UTM dalam QS World Ranking dari pelaksanaan PGU Fasa I, PGU Fasa II dan kini kita sedang melaksanakan PGU Fasa III, dari dari tahun 2014 hinggalah ke tahun 2017, dan ketika ini sehinggalah tahun 2020. Tahun 2018 mencatatkan kejayaan manis buat UTM dalam QS World Ranking QS by Faculty 2018, World Ranking by Subject 2018 dan kedudukan UTM secara keseluruhan dalam QS World University Rankings 2017/2018. Kedudukan UTM dalam bidang kejuruteraan dan teknologi ini meningkat dari tempat ke 100 pada tahun 2016 kepada 90 pada tahun 2017, dan kini UTM berada di tangga 53 pada tahun 2018. Malah semua subjek dalam bidang tersebut iaitu Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan serta Kejuruteraan Awam dan Struktur disenarai dalam 100 terbaik dunia oleh QS World Ranking by Subject 2018. Subjek Alam Bina/ Senibina juga tersenarai dalam 100 terbaik dunia.

Sumber: Facebook rasmi UTM