[FAKTA 1] Tujuh Fakta Menarik Daripada Kajian TIMSS 2019 Subjek Matematik Dalam Kalangan Murid Gred 8 (Tingkatan Dua) Malaysia

The Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2019 merupakan pentaksiran terbaharu dalam siri pentaksiran TIMSS, yang bermula dengan pentaksiran pertama pada 1995 dan diteruskan setiap empat tahun iaitu pada tahun 1999, 2003, 2007, 2011, 2015 dan 2019. Hasil dapatan pentaksiran TIMSS digunakan untuk membolehkan sistem pendidikan negara-negara yang terlibat membuat perbandingan pencapaian pendidikan murid mereka dan belajar daripada pengalaman orang lain dalam mereka bentuk dasar pendidikan yang berkesan. Sebanyak 39 buah negara mengambil bahagian dalam TIMSS 2019 untuk matematik gred 8 (Tingkatan Dua). TIMSS dikendalikan oleh Pusat Kajian Antarabangsa TIMSS & PIRLS di Lynch School of Education di Boston College. Terdapat empat domain kognitif yang diuji iaitu Nombor, Algebra, Geometri dan Data & Kebarangkalian. Manakala terdapat tiga domain kognitif terlibat dalam TIMSS iaitu mengetahui, mengaplikasi dan menaakul. Kajian TIMSS 2019 dilaksanakan di Malaysia pada 16 Oktober hingga 1 November 2018. Sebanyak 221 buah sekolah dipilih sebagai sampel menurut strata sekolah yang ditetapkan oleh International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA). Seramai 8077 orang murid Tingkatan Dua menjawab ujian secara eTIMSS dan seramai 1560 menjawab ujian secara paper TIMSS. Selain ujian, pentaksiran TIMSS turut mengukur aspek lain seperti aspek kehidupan di rumah dan di sekolah, termasuk maklumat demografi, suasana di rumah, iklim pembelajaran di sekolah, persepsi kendiri dan sikap terhadap matematik. Laporan mengenai pencapaian matematik TIMSS 2019 untuk murid Malaysia telah dibincangkan dalam artikel penulis sebelum ini. Tulisan kali ini akan membincangkan dapatan menarik berdasarkan data-data dalam laporan TIMSS 2019 untuk murid Tingkatan Dua di Malaysia.

Fakta Pertama

Untuk aspek ‘Sikap Murid’, ia terbahagi kepada beberapa komponen. Komponen pertama ialah ‘Murid Suka Belajar Matematik’ yang murid diminta menjawab item-item berikut; Saya suka belajar matematik, (1) saya berharap tidak perlu belajar matematik, (2) Matematik membosankan, (3) Saya belajar banyak perkara menarik dalam matematik, (4) Saya suka matematik, (5) Saya suka apa sahaja kerja sekolah yang melibatkan nombor; (6) Saya suka menyelesaikan masalah matematik, (7) Saya sentiasa teruja untuk masuk kelas matematik; dan (8) Matematik adalah salah satu subjek kegemaran saya. TIMSS mengkategorikan dapatan kepada tiga iaitu ‘sangat suka belajar matematik’, ‘suka belajar matematik’, dan ‘tidak suka belajar matematik’. Laporan TIMSS menyusun ranking negara berdasarkan dari peratusan ‘sangat suka belajar matematik’ yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Jadual 1.0 berikut menunjukkan dapatan empat buah negara terpilih termasuk Malaysia untuk komponen ‘murid suka belajar matematik’.

Dapatan TIMSS 2019 menunjukkan bahawa murid yang ‘suka belajar matematik’ mencatatkan pencapaian yang lebih tinggi daripada murid yang ‘tidak suka belajar matematik’. Pola ini adalah sama di semua negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia. Walau bagaimanapun, menariknya, walaupun peratus murid yang ‘sangat suka belajar matematik’ iaitu sebanyak 20% meletakkan Malaysia di kedudukan 15, purata skor murid dalam kelompok ini iaitu 498 jauh lebih rendah daripada murid Korea Selatan yang ‘tidak suka belajar matematik’ iaitu 581. Korea Selatan menduduki tangga terakhir dalam komponen ini yang mana hanya 8% sahaja murid yang ‘sangat suka belajar matematik’. Pola yang sama dapat dilihat dalam kalangan negara-negara yang menghuni kelompok terbawah seperti Jepun dan Chinese Taipei iaitu walaupun sebahagian besar murid mereka ‘tidak suka belajar matematik’, namun purata skor mereka jauh lebih tinggi berbanding murid Malaysia yang ‘sangat suka belajar matematik’.

Bersambung…