KUALA LUMPUR, 11 November 2015: – Sekolah Informatik Termaju (UTM AIS) dan Questrans, anak syarikat Sapura Secured Technolgies hari ini telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) untuk menjalankan kajian dan pembangunan teknologi Kriptografi bagi industri pertahanan negara.
Majlis menandatangani dokumen MoA telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Bin Omar dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SAPURA, Datuk Mohd. Zarif bin Mohd Hashim.
Di majlis yang sama juga termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi komunikasi radio serta jaminan keselamatan maklumat.
Sinergi kerjasama di antara UTM dan SAPURA dapat membantu negara di dalam merangka dan membangunkan teknologi kriptografi yang berteknologi tinggi bagi menjamin keselamatan maklumat terutamanya kepada pertahanan negara. Ia juga membantu negara mengurangkan kebergantungan kepada teknologi dan kepakaran luar. Selain itu, kerjasama ini juga melahirkan tenaga pakar dalam bidang keselamatan maklumat terutama sekali bagi pertahanan negara. Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju yang berteknologi tinggi menjelang 2020.