Pamer kehebatan cipta robot

Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Kem Musim Panas Robotik Drabot yang berlangsung lima minggu menagih komitmen tinggi apabila memerlukan 25 peserta berkampung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelajar sekolah seawal usia sembilan hingga 17 tahun meneroka potensi teknologi selaku pembina robot.

Jika sebelum ini pertandingan peringkat sekolah lebih banyak mengenai teknologi robotik bersifat mainan seperti LEGO robot dan hanya menggunakan visual program, modul pembelajaran mahupun standard pertandingan.

Namun, penghujung kem itu memerlukan peserta bekerjasama dengan unsur lebih realisik mahupun praktikal mengenai robot.

Penganjurnya, Robotic Systems Enterprise mempunyai tanggapan penguasaan kemahiran pembinaan robot merangkumi bidang kejuruteraan robotik, elektronik, mekanikal, perisian kawalan, dan navigasi perlulah dititipkan seawal peringkat sekolah lagi kerana kemahiran itu jika dipelajari setelah menginjak universiti terlalu lewat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dafizal Derawi berkata, kesedaran serta dorongan itu perlu diasuh dalam kalangan generasi muda mengenai kemampuan mereka menjadi pembangun produk (developer) berbanding hanya pengguna semata-mata.

“Peserta menunjukkan komitmen serta potensi yang sangat besar dalam bidang robotik sepanjang 24 hari berada dalam kem ini. Ada sesetengah peserta pada mulanya hadir mengisi masa lapang mula jatuh minat pada dunia robotik.

“Saya yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang robot udara kagum dengan prestasi peserta.

“Potensi mereka menerusi pertandingan enam kategori robot, terutama Robot Darat Automatik, Robot Air Automatik dan Robot Udara Multirotor melangkaui kemampuan pelajar sarjana muda kejuruteraan di pusat pengajian tinggi (IPT).

“Kami hanya kongsikan ilmu teknologi robot termaju tetapi mereka mampu mengaplikasi terutama kemahiran menganalisis membabitkan kestabilan sistem dinamik dan tahu arah gerakannya (navigasi).

“Kami mencabar mereka apabila mengetengahkan skil pembinaan robot daripada peringkat asas sehinggalah memasukkan algoritma tertentu menggunakan Bahasa Pengaturcaraan C melalui Arduino platform sebagaimana pertandingan dianjurkan pada tahap universiti di Malaysia,” katanya berharap tahun ini dapat melahirkan 100 jurutera muda robotik.

Bagi peserta dari Kuala Lumpur, Hafiz Maznan meskipun pernah mengikuti pembelajaran pengaturcaraan dan perkakasan, ilmu diperolehi menerusi Kem Musim Panas Robotik Drabot jauh melangkaui apa pernah dipejarinya di sekolah.

“Sebelum ini kami sangkakan kemahiran ada sudah memadai tetapi belajar dan menjadi sebahagian peserta kem ini, masih banyak perkara ketinggalan. Contohnya sambungan litar elektronik, meskipun belajar di sekolah secara praktikal apabila pekakasan gagal berfungsi, kami tidak tahu alternatif atau kaedah lain mengatasinya.

“Berbeza di sini kami belajar kenapa membuat sesuatu sambungan elektronik itu dan kami juga mampu untuk memeriksa litar elektronik jika menghadapi masalah kerana kami diajar lebih kepada kefahaman dan bukannya hafalan. Ini mendedahkan kami mengenai tanggungjawab sebagai pembina atau ‘developer’,” katanya.

Peserta berusia 14 tahun, Danish Aiman Rozmi berkata dia melihat pengisian ditawarkan oleh penganjur berkaitan pengaturcaraan atau ‘programming’ sesuatu menghiburkan dan sesuatu bidang perlu terus diteroka.

“Saya memang berhasrat menjadi pengaturcara kerana melihat bidang itu cukup penting kepada teknologi. Atas tujuan itu saya hadir dalam kem robot ini.

“Kesan langsung dapat dilihat apabila peserta mahupun kumpulan yang ada saling berentap untuk membuktikan ‘programming’ masing-masing. Apabila berdepan konflik mengenai robot mereka tidak lokek berkongsi ‘input’ dan saling bekerjasama.

“Bagi saya ia bukan sekadar ilmu semata-mata, sebaliknya kerjasama dan berkongsi skil dan ilmu menjadikan komuniti robot ini pada tahap lebih baik,” katanya.

Sementara itu pelajar Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak Fatimah Athiyah Mohamad Zaki, 11, tidak serik untuk menyertai program sedemikian meskipun menagih komitmen dan tumpuan tinggi.

“Saya sangat gembira dapat mengikuti program ini. Banyak yang dapat dipelajari dan mudah difahami mengenai ilmu Robotik yang diajar. Fasilitator yang ada juga tidak lokek membantu jika tidak faham mengenai sesuatu perkara.

“Di samping itu, dapat ramai kawan baru. Kelas dianjurkan lebih interaktif menjadikan program ini lebih seronok. Jika berkesempatan berharap dapat sertai program sebegini lagi,” katanya.

PROFIL:

Nama: Hafiz Maznan

Umur: 15 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Nama: Danish Aiman Rozmi

Umur: 14 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Nama: Farimah Athiyah Mohamad Zaki

Umur: 11 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *