Sambutan pelajar baru

Assalamu’alaikum dan salam sejahtera seluruh warga UTM,

Esok kita mula menerima kehadiran pelajar baru ke UTM di JB dan KL, sebagaimana yang telah dijadualkan.

  1. Beberapa hari yang lepas kita juga telah menerima kehadiran pelajar antarabangsa yang telah tiba lebih awal.
  2. Jangkaan jumlah pelajar baru ialah 6101; 1073 atau 20% pelajar antarabangsa. 4012 adalah pelajar UG (400 antarabangsa).
  3. Ini satu petunjuk yang baik kepada UTM. Tahniah semua yang berusaha keras mempromosi UTM.
  4. Sudent Recruitment and Admission (SRAD), HEMA, UTM International, Keselamatan dan banyak Unit lain tentunya sangat sibuk menerima kehadiran pelajar2 baru ini. Dan saya maklum ada perkhidmatan yang diberikan melebehi jangkaan. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada semua atas kerja keras masing-masing
  5. Ramai di antara kita telah dan akan terlibat dalam mempastikan urusan pendaftaran keseluruhannya berjalan dengan lancar dan memberi keselesaan yang terbaik kepada pelajar dan ibu bapa
  6. Seperti yang kita selalu hasratkan, layanan mesra diiringi senyuman yang ikhlas, keadaan persekitaran yang terjaga, bersih dan kemas, proses pendaftaran yang teratur dan pantas, maklumat yang teratur dan mencukupi untuk para tetamu dan pelbagai perkara baik seperti layanan di cafeteria, keperluan meletak kereta dan lain-lain akan menjadikan pengalaman pelajar dan ibubapa di UTM ini sebagai sesuatu yang mereka tidak lupakan.
  7. Mohon juga kita berikan perhatian khusus kepada keperluan ibubapa dengan anak2 kecil, yang uzur atau kurang upaya. Mereka datang untuk meraikan kejayaan anak2 masuk ke UTM. Menjadi tugas kita juga meraikan kegembiraan mereka.
  8. Saya memohon kita juga meraikan alumni UTM yang datang semula sebagai ibu bapa atau yang datang menyambung pengajian. Kepercayaan berterusan alumni perlu dihargai sebaiknya.
  9. Kita maklum banyak usaha dibuat di semua peringkat PTJ secara gotong-royong membuat persiapan. Jutaan terimakasih di ucapkan atas pengorbanan warga UTM.
  10. Diperingkat pengurusan kita juga melabur secara terhad bagi mempertingkatkan keadaan hostel pelajar dan sedang diusahakan untuk diselesaikan segera. Ini bagi tujuan keselesaan pelajar
  11. Kita maklum pelajar memilih UTM atas dasar keyakinan pelajar dan ibu bapa kepada UTM. Dan kita juga memahami peranan setiap dari kita warga UTM dalam membina ekosistem yang kondusif bagi membolehkan pelajar memperolehi ilmu, pengalaman pembelajaran secukupnya dan mencungkil potensi intelek mereka sebelum mereka berdepan dengan kehidupan sebenar kelak.
  12. Akhirkata saya sekali mengajak semua warga UTM memberikan perkhidmatan terbaik kepada tetamu kita dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan.

Sekian, wassalam

Wahid UTM