Strategi pengajaran berkesan dapat membantu guru meningkatkan kefahaman pelajar dalam mempelajari tajuk ikatan kimia. Oleh itu Kit Ikatan Kimia dibangunkan untuk membantu guru mengaplikasikan strategi pengajaran yang berkesan dan membantu murid membina pengetahuan melalui aktiviti Hands On. Kit Ikatan Kimia terdiri daripada modul pembelajaran yang dibangunkan berdasarkan Model Intruksional 5E oleh Rodger W. Bybee, 1987, manual penggunaan Kit dan bahan pembinaan model ikatan kimia yang menarik. Seramai 15 orang pelajar tingkatan 4 telah dipilih sebagai sampel kajian untuk menguji kesesuaian dan keberkesanan Kit Ikatan Kimia. Instrumen yang digunakan bagi menilai kit ini adalah borang soal selidik yang mengandungi 14 soalan skala Likert. Dapatan kajian mendapati sebahagian besar responden telah memberikan pandangan positif mengenai penggunaan Kit Ikatan Kimia. Selain itu, Analisa markah ujian pra dan pasca menunjukkan pencapaian murid meningkat selepas menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran berpandukan Kit Ikatan Kimia. Kesimpulannya, penggunaan kit ini dapat meningkatkan pemahaman konsep pembentukan ikatan kimia.
Model pengajaran 5E terdiri daripada 5 fasa iaitu Engagement, Exploration, Explanation, Elaboration/Extend dan Evaluation. Penerangan secara ringkas bagi setiap fasa dalam model pengajaran 5E adalah seperti yang berikut:
1. Engagement
Fasa ini merupakan fasa penglibatan. Fasa pertama bertujuan untuk melibatkan pelajar dalam tugasan pembelajaran. Peranan guru adalah menguji pengetahuan sedia ada pada pelajar dan melibatkan mereka dalam pembentukan konsep baru melalui aktiviti yang dapat merangsang sifat ingin tahu pelajar. Aktiviti yang dijalankan perlu menghubungkaitkan pengalaman pembelajaran dahulu dan semasa untuk mendedahkan konsepsi sedia ada pada pelajar dan membantu pelajar mengorganisasikan pemikiran sehingga mencapai hasil pembelajaran yang dirancang.
2. Exploration
Dalam fasa ini, pelajar diberi peluang untuk menerokai idea dan kemahiran mereka. Fasa ini memerlukan pelajar mengenal situasi baru, mempelajari tugas, teknologi atau prosedur baru. Peranan guru adalah sebagai pemudahcara yang membimbing pelajar dalam proses pembelajaran.
3. Explanation
Fasa penjelasan adalah fokus pada memberi tumpuan perhatian pelajar terhadap aspek tertentu mengenai pengalaman penglibatan dan penerokaan mereka serta memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan pemahaman konsep, kemahiran proses, atau tingkah laku mereka. Fasa ini juga memberi peluang kepada guru-guru untuk terus memperkenalkan satu konsep, proses atau kemahiran. Pelajar menjelaskan pemahaman mereka tentang konsep itu. Penjelasan daripada guru boleh membimbing mereka ke arah pemahaman yang lebih mendalam, yang merupakan satu bahagian penting dalam fasa ini.
4. Elaboration/Extend
Guru mencabar dan melanjutkan kefahaman konsep dan kemahiran pelajar. Melalui pengalaman baru, pelajar membangunkan pemahaman yang lebih mendalam, memperoleh maklumat lanjut dan kemahiran yang mencukupi. Pelajar mengaplikasikan pemahaman mereka tentang konsep dengan menjalankan aktiviti tambahan. Fasa ini membenarkan perbincangan kumpulan dan situasi pembelajaran kooperatif yang memberi peluang kepada pelajar untuk menyampaikan pemahaman mereka tentang subjek dan menerima maklum balas daripada rakan sebaya.
5. Evaluation
Fasa penilaian menggalakkan pelajar untuk menilai kefahaman dan kebolehan mereka dan membolehkan guru menilai kemajuan pelajar ke arah mencapai hasil pembelajaran.