VAKiT Board yang direka serta diinovasikan ini adalah satu alat bantu mengajar dalam pembelajaran prasekolah bertujuan membantu kanak-kanak dalam mengatasi masalah pembelajaran literasi mereka di mana ia bakal menarik perhatian kanak-kanak untuk belajar. Produk ini membantu kanak-kanak terutamanya yang bermasalah dalam mengenal huruf (decoding) serta memahami perkataan yang dibaca (reading comprehension). Seramai 20 orang pelajar dan tiga orang guru prasekolah terlibat dalam kajian ini. Kajian ini dipraktiskan di dalam kelas prasekolah dan juga menggunakan soal selidik yang memfokuskan kepada guru dan soalan berbentuk soal selidik berstruktur terbuka yang memfokuskan kepada guru yang mengajar kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun di prasekolah tersebut untuk mendapatkan maklum balas keberkesanan VAKiT Board. Secara keseluruhannya, ternyata VAKiT Board ini berkesan dalam membantu aktiviti guru dan pelajar di dalam kelas.
VAKiT Board mampu menjadi bahan bantu mengajar kosa kata yang berkesan kepada kanak-kanak prasekolah. Hal ini berikutan empat elemen utama yang direalisasikan dalam produk ini iaitu “visual”, “auditory”, “kinesthetic” dan “tactile” dapat menarik minat pelajar di samping membantu pembelajaran yang lebih hidup dan efektif. Selain itu, keempat-empat elemen yang direalisasikan ini dapat memberi pendedahan yang realistik kepada para pelajar tentang perkataan-perkataan yang dipelajari, yang jauh berbeza dengan cara pembelajaran tradisional dengan menggunakan buku.