Larangan mempersendakan agama

PROGRAM KEROHANIAN FSSH 2022, SIRI 118: Larangan mempersendakan agama ~ Surah Al anám, Ayat 68-70.

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). Dan tidak ada tanggungjawab sedikit pun atas orang yang bertakwa terhadap dosa mereka akan tetapi (kewajipan mereka ialah) mengingatkan agar mereka bertakwa. Dan jauhkanlah diri daripada orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan ingatkanlah (mereka) dengan Al-Qur’an itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang dia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika dia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

Intisari sesi hari ini:

  1. Jangan mempersendakan agama
  2. Jauhi orang yang mempersendakan agama (buat agama sebagai permainan). Jangan berkawan, jangan sokong, jangan “layan” pemikiran yang salah dalam mempersendakan agama. Jangan bergaul rapat dengan mereka kerana sedikit sebanyak, corak atau gaya pemikiran mereka boleh mempengaruhi kita sekiranya kita tidak meletakkan batasan pergaulan dengan mereka.
  3. Sekiranya ada majlis yang mempunyai elemen menpersendakan agama, kita perlu jauhkan diri dari menghadirinya dan sekiranya tidak dapat mengelakkan diri, kita perlu mencuba untuk beredar dengan segera dari majlis tersebut. Contoh: Majlis keramaian tetapi ada aktiviti menari dan pergaulan bebas (ini adalah majlis yang mempersendakan agama kerana ada unsur maksiat di dalam majlis tersebut)

Perkara yang termasuk dalam kategori mempersendakan agama:

  1. Makan di khalayak ramai bagi wanita di bulan Ramadhan meskipun mempunyai kebenaran untuk tidak berpuasa kerana uzur yang dibenarkan. Ini adalah ianya boleh mendatangkan fitnah kepada agama Islam secara langsung atau tidak langsung.
  2. Menyambut hari raya dengan makanan dan minuman yang tidak halal kerana ingin menjamu tetamu yang bukan beragama Islam. Seorang Muslim dilarang dalam sepuluh perkara berkaitan dengan arak (hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA bahawa Rasulallah SAW telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak: orang yang memerah (memproses) arak, orang yang diminta arak diperah (diproses) untuknya ,orang yang meminumnya , orang yang membawanya, orang yang meminta dibawa arak kepadanya , orang yang memberi (menjamu) minum arak kepada orang lain, orang yang menjual arak, orang yang mendapat hasil daripada arak, orang yang membeli arak ,orang yang meminta dibelikan arak untuknya)
  3. Berpakaian menyerupai lelaki bagi wanita dan sebaliknya. Isu tentang seorang yang menunaikan umrah sebagai seorang lelaki, meskipun dirinya adalah wanita adalah salah satu contoh mempersendakan agama.

Umur 40 tahun

PROGRAM KEROHANIAN FSSH 2022, SIRI 117: Bila Usia 40 Tahun ~ Surah Al Ahqaf, Ayat 15

Apabila seseorang berumur 40 tahun, sekiranya mempunyai tabiat, perangai dan tingkah laku sama ada ke arah kebaikan atau ke arah keburukan, tabiat, perangai dan tingkah lakunya itu menjadi lebih mencabar untuk berubah (Ibnu Kathir, terhadap terjemahan ayat Surah Al-Ahqaf: ayat 15).

Seeloknya, perlu menghafal dan mengamalkan bacaan doa yang dinyatakan dalam ayat 15 (Surah Al-Ahqaf). Ini adalah doa Nabi Daud AS.

Doa Ketika Berumur 40 Tahun

Akan tetapi tidak semestinya perlu menunggu umur mencecah 40 tahun baru mengamalkan doa tersebut. Doa tersebut boleh dibaca oleh orang yang telah mencapai usia dewasa.

Ayat itu diturunkan disebabkan oleh bacaan doa Saidina Abu Bakar RA ketika beliau memasuki umur 40 tahun. Berkat doanya itu, seluruh ahlinya menjadi Muslim (ayahnya, anak-anaknya). Terdapat juga pandangan ayat ini diturun disebabkan oleh tiada peristiwa yang khusus.

Ayat ini mempunyai tiga intipati:

1) Berbuat baik kepada ibu bapa: Berbuat baik kepada ibu bapa sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia.

2)Tentang umur 40 tahun: Ketika berumur 40 tahun, keadaan hidup bagi sebahagian orang mungkin telah mencapai tahap yang lebih baik. Contoh: Mungkin keadaan ekonomi dan status sosial makin baik. Tetapi, ianya menjadi cabaran dalam memastikan diri masih lagi fokus kepada berbuat baik kepada ibu bapa. Umur 40 tahun juga adalah batas kematangan dan keunggulan (ini merujuk kepada kehidupan Nabi Muhammad SAW yang menerima wahyu pada usia 40 tahun). Ada pendapat menyatakan bahawa bukan sahaja Nabi Muhammad SAW menerima kenabian pada usia 40 tahun tetapi ada juga nabi lain yang menerima kenabian pada usia 40 tahun juga. Muhasabah diri amat penting terutama dalam apa yang yang telah dilakukan dan apa yang ingin dilakukan. Solat istiharah penting dalam memohon Allah SAW supaya memberikan laluan dan mempermudahkan urusan ke arah kebaikan. Muhasabah juga terhadap apa yang berlaku pada diri kita dan pada orang lain sebagai ibrah atau iktibar kepada diri sendiri. Bagi yang telah menginjak kaki ke usia 40 tahun, perlu mengambil peluang untuk melakukan sebanyak mungkin sumbangan sebagai bekalan diri kita (Prof Ajmain menggunakan istilah mewariskan pengetahuan dan pengalaman sebagai sumbangan dan manfaat yang ditinggalkan kepada orang lain). Kita perlu perbaharui dan meningkatkan amalan kebaikan, dan mengurangkan (meninggalkan) amalan yang buruk (kena muhasabah diri tentang apakan tindakan kita yang mengarah ke arah amalan buruk)

3) Doa: Perbanyakkan doa Surah Al Ahqaf: ayat 15. Antara intipati doa tersebut ialah, kita perlu mensyukuri dengan apa yang kita ada. Contoh: Bagi yang belum mendapat kenaikan pangkat, jangan lihat apa yang Allah SWT tidak kurniakan kepada kita. Kita perlu bersyukur dengan apa yang kita ada. Allah SWT lebih mengetahui di atas kurniaan dan nikmat yang diberikan kepada kita. Mungkin dengan tiada kenaikan pangkat itu, Allah SWT ingin kita lebih dekat denganNya. Kita perlu memohon dari Allah SWT dengan nikmat sedia ada yang dikurniakan kepada kita akan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT, terutamanya nikmat yang paling besar ialah nikmat Iman. Nikmat sihat dan sebagainya adalah nikmat sampingan yang Allah SWT beri kepada kita dan juga orang lain (meskipun mereka belum lagi mendapat hidayah dari Allah SWT). Nikmat diberikan iman adalah suatu kurniaan yang paling istimewa. Kita juga perlu berdoa dan mengharapkan keturunan kita menjadi individu yang soleh (ada doa lain seperti doa dari surah Al-furqan: ayat 74 dan surah Ibrahim: ayat 35-37).

Mutiara sabah

“Dr. nak apa-apa tak? Saya kat Sabah ni” mesej yang diterima dari seorang pelajar. “Dr nak mutiara Sabah tak?” tanyanya lagi.


Aku melihat mesej yang dihantarnya malam semalam. Hati aku sedikit terhibur apabila ada orang masih mengingati diri ini ketika dia bercuti. “Mutiara? Mahal” balasku pendek. “Tak mahal. Murah je” dia membalas.


Mutiara kalau murah, dah lama Mikimoto tutup kedai” ujarku. Agak lama dia mengambil masa membalas mesejku kali ini. Mesti dia mencari maklumat tentang Mikimoto.


Tu mutiara lain. Ini mutiara Sabah” balasnya lagi. “Bila awak nak hantar RS2?” tanyaku mengingatkan dirinya tentang tesisnya yang belum dihantar lagi. “Ala Dr ni. Ingatkan saya pula. Saya dah buat pembetulan. Esok saya nak hantar. Nanti borang Dr tanda tangan ya?” balasnya


Dr nak tak mutiara Sabah? Saya offer ni?” dia bertanya lagi. “Tak payah la beli apa-apa. Janji awak hantar tesis esok” balasku.


Daripada mendapat mutiara darinya tetapi dia gagal menghantar tesisnya, lagi memeningkan kepala aku. Elok tak dapat mutiara tapi tesisnya dia hantar.


Nota: Ini adalah pelajar perempuan. Pelajar lelaki selalunya tidak akan menawarkan untuk membeli barang perhiasan sebegini. Hadiah dari pelajar lelaki yang aku pernah terima adalah buku dan penanda buku.