COVID-19: Bukan salah penyelia tidak menyelia

Setiap semester, pastinya akan ada pelajar unik yang melaksanakan penyelidikan. Semester ini, ada seorang pelajar yang merancang melakukan penyelidikan kuantitatif dan bab 1 dan 3 yang ditulis menerangkan perancangannya. Akan tetapi, bila diteliti bab 4, muncul dapatan dari data kualitatif yang diperolehi dari temubual. Ajaib!

Bila aku lihat kekerapan dia menghantar bab untuk disemak, hanya dua kali sepanjang satu semester. Aku menyemak kembali peringatan yang aku berikan kepadanya setiap minggu melalui WhatsApp yang amat jarang dibalas. Hanya pada minggu ke 11, baru muncul mesej meminta aku menyemak instrumen kajian yang baru diperbaiki meskipun aku telah menyuruhnya berulang kali untuk membetulkan instrumen tersebut.

Bila aku menyemak kembali log dalam GoogleDrive, aku akan memulangkan kerjanya dalam masa sehari. Sekiranya dia menghantar pembetulan yang minima(setakat membetulkan ejaan), aku akan memberikan komen dalam WhatsApp sahaja. Pada 23 Disember 2021, dia ada menghantar bab yang kononnya ingin disemak tetapi bila aku teliti, ada bahagian yang belum ditulis: kajian rintis. Aku memberitahunya dia perlu melengkapkan bab 3 dengan memasukkan bahagian kajian rintisnya. Dia mengambil masa sebulan untuk menambah bahagian itu sahaja.

Pelajar ini memang unik kerana proses penyeliaannya seperti drama yang penuh misteri yang tiada penghujung. Ada sahaja masalah yang dihadapi. Semua jenis masalah yang aku rasa seorang pelajar akan hadapi, dia menghadapi semua masalah tersebut (sekiranya aku boleh kategorikan tema alasan masalah yang dihadapinya, aku boleh kategorikannya kepada kategori: 1) masalah teknikal, 2) masalah kesihatan, 3) mencari masalah yang sepatutnya dielakkan).

Antara contoh keunikan yang ada padanya ialah: Pada hari sepatutnya dia menghantar RS2 (tesis sarjana) pada 4 Februari 2022, dia melangsungkan perkahwinannya dan laptopnya tidak berfungsi. Dia merupakan pelajar pertama yang memberikan kelonggaran kepada dirinya sendiri untuk menghantar RS2 lewat seminggu (11 Februari 2022). Dalam kepala aku muncul kata-kata dalam iklan Panadol “Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?”

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.