Genially? Canva? Mana yang best?

Ada orang bertanya pendapat saya tentang Genial.ly dan Canva. Sejujurnya, terpulang kepada masing-masing bagi menentukan mana aplikasi yang sesuai digunakan untuk membina bahan pengajaran. Kalau mempunyai bajet yang tiada had, Canva boleh dijadikan keutamaan.

Bagi saya yang mempunyai bajet yang agak terhad untuk melanggan aplikasi yang saya gunakan untuk pengajaran, saya memilih aplikasi yang lebih murah dan mempunyai ciri-ciri yang mudah untuk digunakan. Saya memilih Genial.ly. Saya diperkenalkan dengan Genial.ly apabila mengikuti satu webinar yang dipengerusikan oleh Prof Abd Karim Alias (USM) pada tahun 2020 (ketika pandemik COVID-19). Selepas itu, saya mula mencari video tutorial yang mudah. Salah satu video yang bagi saya, pengajar itu dapat menjelaskan langkah-langkah yang ditunjukkan dalam video tersebut dengan ringkas dan mudah ialah video yang dibangunkan oleh Meghan dari Vestal’s 21st Century Classroom. Selepas menonton videonya beberapa kali, saya dapat menghasilkan satu bahan.

Cara saya menggunakan video tersebut ialah, saya menonton langkah-langkah sambil menulis dalam buku nota. Selepas itu, saya akan terus mencuba membina satu bahan dengan langkah-langkah tersebut. Ketika itu, saya belum lagi melanggan Genial.ly. Selepas menghasilkan satu bahan, saya menunjukkannya kepada pelajar saya. Saya meminta pandangan mereka. Apa yang mereka tidak suka dengan bahan tersebut. Bahan yang dibina ini saya gunakan ketika sesi tidak segerak (asynchronous session).

Akan tetapi, versi percuma mempunyai beberapa ciri yang terhad dan video yang saya lihat rata-rata menggunakan versi berbayar (termasuk yang Prof Abd Karim guna – tetapi beliau mengaku yang beliau melanggan Genial.ly). Prof Abd Karim telah menggunakan Genial.ly sebelum pandemik COVID-19 lagi. Jadi ketika orang tercari-cari aplikasi yang sesuai untuk digunakan ketika pandemik COVID-19, beliau telah mempunyai beberapa video yang dibangunkan dengan menggunakan Genial.ly. Amat mengagumkan kerana meskipun beliau bukannya dari bidang komputeran atau multimedia, tetapi pengetahuan beliau agak terkini.

Bagi saya, sekiranya mempunyai masa yang lebih untuk belajar sesuatu perkara yang baru, boleh mencuba mencari alternatif selain dari Genial.ly dan Canva. Tetapi, bagi saya yang mengambil masa agak lama untuk memahirkan menggunakan sesuatu aplikasi, saya agak memilih. Saya hanya menumpukan masa untuk memahirkan diri dalam satu aplikasi bagi satu tempoh masa tertentu. Setelah betul-betul mahir, baru saya akan mencuba sesuatu yang baru dan sekiranya ianya perlu dilanggan, saya tidak meluangkan masa yang lama untuk meninjau ciri-ciri yang ada dalam satu aplikasi tersebut.

Meskipun saya telah menggunakan Canva beberapa tahun untuk membuat poster, kad ucapan dan penanda buku, saya tidak pernah membangunkan video menggunakan Canva. Buat masa ini, saya masih lagi belum mahir menggunakan Genial.ly (asyik ada ciri-ciri yang lagi menarik tetapi perlu dipelajari). Genial.ly mempunyai beberapa ciri yang agak kerap berubah (kepada yang lebih baik) jadi saya mengambil masa sedikit mempelajari ciri baru yang selalunya akan berubah dalam beberapa kali setahun. Kadang-kadang ada templat baru yang lebih menarik (pun kena biasakan diri menggunakan ciri yang ada dalam templat yang berbeza).

Apapun, sekiranya diberi pilihan sama ada Genial.ly atau Canva, buat masa ini saya lebih cenderung untuk menggunakan Genial.ly.

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.