Surah Al-Saaffat (139-144)
Apakah yang kita boleh pelajari dari kisah lockdown Nabi Yunus AS?
- PKP yang dialami oleh kita pada ketika ini jauh tidak sesukar apa yang telah dialami oleh Nabi Yunus AS. Beliau berada di dalam perut ikan paus yang gelap, sesak dan tidak selasa sama sekali berbanding dengan keadaan kita yang meskipun terbatas dalam pergerakan, kita masih boleh berada di rumah yang kita boleh bebas bergerak berbanding dengan Nabi Yunus AS.
- Tidak dinyatakan dalam Surah Al Saaffat apakah bentuk zikir yang disebut oleh Nabi Yunus tetapi di Surah An Anbiya’: 87, Allah SWT menyatakan zihir Nabi Yunus secara nas (nyata). Dalam konteks peringkat zikir, sekiranya zikir tersebut dinyatakan secara nyata dalam Al-Quran, ianya memberi maksud pentingnya zikir itu.
- Zikir yang dinyatakan itu bukan semata-mata zikir sebagai sebutan tetapi pentingnya penghayatan terhadap zikir itu.
- Terdapat tiga penghayatan utama yang menjadi amalan Nabi Yunus AS: 1) Tauhid kepada Allah SWT (beliau memperkukuhkan tauhid / mengesakan Allah SWT) – ini bukan bermakna Nabi Yunus AS kurang ketauhidannya kepada Allah akan tetapi beliau memuhasabah indeks kesetiaan beliau pada Allah SWT. Kesetiaan Allah SWT perlu digilap setiap hari, 2) Mengakui kebesaran Allah SWT dan 3) Taubat – Sentiasa menyedari dan meminta keampunan dari Allah SWT. Kita sentiasa meletakkan satu peringkat dosa seperti merompak dan sebagainya sebagai dosa. Akan tetapi kita terlepas pandang dosa dipinggir mata seperti masuk ke kelas sedikit lewat dari waktunya dan sebagainya. Ianya dikatakan sebagai dosa kecil yang kita perlu sentiasa minta taubat.
Dalam isu COVID-19 ini, kita perlu memastikan terdapat gabungan pendekatan rohani (spiritual) dengan pendekatan teknikal dalam menangani apa jua cabaran dari pandemik COVID-19 ini. Ambillah peluang keadaan sekarang ini untuk kita meningkatan ketauhidan kita, ketaatan dan sentiasa bertaubat terhadap dosa-dosa terutama dosa kecil yang sering kita terlepas pandang sebelum ini.