Archives for January 7, 2019

[Part 1] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol

Alhamdulillah, pada bulan April 2018 yang lalu, buat pertama kalinya dalam hidup saya menjejakkan kaki di bumi Eropah. Negara di benua Eropah pertama yang saya kunjungi ialah Sepanyol. Sebelum membuat keputusan untuk membentangkan kertas kerja persidangan di sana, saya banyak membaca blog di internet dan bertanya kepada rakan-rakan yang telah sampai di sana sebelum ini. Antara isu yang menjadi perhatian saya ialah isu penyelok saku (pickpocket) yang digembar-gemburkan berleluasa di Madrid. Kegiatan ini dikatakan banyak berlaku di dalam metro, kawasan tarikan pelancong dan sebagainya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa percanggahan pandangan daripada pelbagai pihak yang menegaskan bahawa Madrid sangat selamat kepada pelancong. Malah menurut beberapa blog yang memberi rating keselamatan bandar-bandar pelancongan di seluruh dunia, rate “very safe” kepada pelancong solo yang ingin melancong ke Madrid. Isu-isu penyeluk saku mahupun pencuri jalanan ini boleh berlaku di mana-mana, hatta dalam negara kita sendiri. Bak kata orang beringat sebelum kena. Sebagai langkah keselamatan, saya sendiri telah membeli beberapa pasang t-shirt yang mempunyai kocek berzip di hadapan. Saya letakkan wang dan passport dalam kocek tersebut dan pakai jaket di luar. Alhamdulillah saya berasa selamat sepanjang berjalan kaki meneroka bandaraya tersebut. Saya menginap di salah sebuah hotel yang terletak di kawasan Puerta del Sol yang merupakan kawasan dataran di tengah-tengah kota Madrid. Ia dikenali sebagai tempat yang paling sesak di kota tersebut. Mula-mula menjejakkan kaki di situ, terdetik sedikit kekesalan dalam hati kerana silap memilih tempat penginapan memandangkan hotel tersebut betul-betul terletak di laluan yang sesak dengan lautan manusia. Lama-kelamaan perasaan tersebut hilang melihatkan keunikan bangunan dan kepelbagaian ragam manusia di situ. Puerta del Sol berasal sebagai salah satu pintu tembok kota yang mengelilingi Madrid pada abad ke-15. Kawasan ini merupakan pusat (KM 0) kepada rangkaian jalan-jalan di Sepanyol. Ini boleh dilihat pada plak di lantai dataran tersebut yang, menandakan titik KM.0. Dataran itu juga terletaknya jam terkenal yang locengnya berbunyi menandakan permulaan tahun baru. Disebabkan penerbangan saya dari Dubai ke Madrid mengalami sedikit masalah teknikal dan jadual penerbangan terpaksa dilewatkan, saya tiba di bumi Madrid lewat petang. Justeru, saya meluangkan baki hari pertama dengan hanya berjalan-jalan di sekitar Puerta del Sol. Di sini juga terletaknya Real Casa de Correos yang merupakan bangunan pejabat pos yang dibangunkan pada kurun ke-18 dan patung Charles III, iaitu seorang raja yang memerintah Sepanyol pada tahun 1759 sehingga 1788.

Suasana di Puerta del Sol

Saya memulakan hari kedua dengan mengunjungi salah sebuah stadium yang terkenal di dunia iaitu Stadium Santiago Bernabeu yang merupakan stadium rasmi kelab bola sepak terkenal Real Madrid. Saya ke sana dengan menggunakan perkhidmatan Uber yang sememangnya menjadi pilihan pelancong yang berkunjung ke Madrid. Berdasarkan pengalaman saya di sana, perkhidmatan Uber di Madrid sangat efisien. Pemandunya berpakaian kemas, iaitu berkemeja dan berjaket tidak ubah seperti pemandu profesional. Disebabkan keterbatasan dalam berbahasa inggeris, saya tidak banyak berborak dengan mereka. Cuma sekali, pemandu Uber bertanya “where are you from” (mungkin ini soalan biasa yang ditanyakan kepada semua pelanggan), saya membalas Malaysia. Oh ya, Malaysia di Spain dieja sebagai Malasia (tanpa huruf Y). Kalau sebut sahaja berasal dari Malasia (Malaysia), mereka akan kaitkan dengan menara berkembar. Saya tiba agak awal di stadium tersebut. Jadi masa diluangkan dengan berjalan di sekitar stadium yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan di situ. Stadium mula dibuka untuk lawatan kepada pelancong tepat jam 10.30 pagi. Untuk sesi lawatan pengunjung dibahagikan kepada tiga pakej, iaitu pertama, mereka yang hanya ingin melihat stadium dari tingkat atas, kedua, melawat tempat pameran yang memaparkan sejarah kelab, pencapaian kelab, trofi yang pernah dimenangi, detik-detik gol kemenangan yang disiarkan melalui skrin-skrin di laluan pameran, dan sebagainya tanpa juru pandu lawatan yang bertindak memberi penerangan di setiap tempat pameran, dan pakej yang ketiga sama dengan yang ketiga tetapi diiringi juru pandu lawatan. Real Madrid sememangnya merupakan kelab bola sepak kebanggaan mereka. Tanyalah sahaja pemandu Uber, makcik housekeeper, juruwang pasaraya dan receptionist hotel, semuanya akan bersemangat berbicara tentang pasukan Real Madrid. Sedikit fakta mengenai kelab Real Madrid, ia pertama kali muncul sebagai Kelab Bola Sepak Madrid pada tahun 1902. Raja Sepanyol kemudiannya menganugerahkan gelaran tertinggi iaitu memberikan Madrid dengan gelaran ‘Real’ pada tahun 1920. Sepanjang tahun 2000-an, pemain-pemain terkenal seperti Zidane, Iker Casillas yang dikatakan penjaga gol terbaik dalam sejarah kelab dan negara Spain, Ronaldo dan Beckham menyertai pasukan tersebut. Stadium Santiago Bernabéu telah mencapai rating 5 bintang sebagai stadium elit yang diklasifikasikan oleh Union of European Football Associations (UEFA). Stadium ini juga merupakan stadium bola sepak kedua terbesar di Sepanyol, selepas Barcelona’s Camp Nou di Barcelona.

Di hadapan Stadium Santiago Bernabéu

Bersambung……