Archives for September 2020

[Bahagian 4] Pentaksiran PISA: Di Mana Kedudukan Malaysia Untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-3-pentaksiran-pisa-di-mana-kedudukan-malaysia-untuk-literasi-matematik-dalam-kalangan-negara-asia-tenggara/

 

7.0       Di Manakah Kedudukan Malaysia Dalam Pentaksiran PISA untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Negara yang pertama dari Asia Tenggara yang terlibat dalam PISA ialah Indonesia dan Thailand. Kedua-dua negara tersebut terlibat dalam PISA sejak tahun 2000 sehingga kini. Pada tahun 2009, Singapura dan Malaysia mula terlibat dalam PISA sehingga kini. Vietnam juga turut terlibat dalam pentaksiran PISA pada tahun 2012 sehingga 2018. Pada tahun 2018, dua buah negara Asia Tenggara turut melibatkan diri dalam PISA iaitu negara Brunei Darussalam dan Filipina. Jadual 1 di bawah menunjukkan penglibatan negara-negara Asia Tenggara dalam PISA pada tahun 2000 sehingga 2018.

7.1       Di Manakah Kedudukan Malaysia Dalam Pentaksiran PISA 2009 untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Pada tahun 2010, Malaysia merupakan antara 10 negara yang menyertai projek PISA 2009+ selepas tempoh kajian PISA 2009 yang asal dijalankan. Keputusan bagi projek PISA 2009+ ini telah diterbitkan pada bulan Disember, 2011 oleh The Australian Council for Educational Research (ACER). Dalam kajian tersebut, seramai 46 000 pelajar yang berumur 15 tahun yang mewakili 1 377 000 pelajar bagi 10 negara ini telah dijadikan sampel bagi kajian ini. Daripada projek tersebut, sebagaimana ditunjukkan dalam Rajah 3, Malaysia mendapat skor purata 404 bagi Literasi Matematik iaitu di kedudukan ketiga daripada empat negara Asia Tenggara yang menyertai kajian PISA 2009. Singapura mendapat skor purata yang tertinggi iaitu 562, diikuti oleh Thailand dengan skor purata 419. Seterusnya, di kedudukan keempat ialah Indonesia dengan skor purata 371. Dengan skor purata 562 bagi Literasi Matematik, Singapura berada pada tempat ke-2 daripada 74 negara bagi keputusan keseluruhan PISA 2009 untuk Literasi Matematik. Singapura juga mencapai Aras 4 bagi penguasaan Literasi Matematik. Indonesia pula mendapat skor purata 371. Aras penguasaan Literasi Matematik Malaysia, Thailand dan Indonesia ialah pada tahap 1. Tiga negara ini juga mendapat skor purata lebih rendah berbanding skor purata yang ditetapkan oleh OECD iaitu 496.

7.2       Di Manakah Kedudukan Malaysia Dalam Pentaksiran PISA 2012 untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Dalam laporan PISA 2012, Vietnam telah menyertai kajian PISA dan menjadi negara Asia Tenggara yang kelima menyertai kajian PISA. Pada tahun yang sama juga, satu domain inovasi diperkenalkan, iaitu Penyelesaian Masalah. Berdasarkan Rajah 4, skor purata yang tertinggi bagi Literasi Matematik PISA 2012 ialah 573 iaitu Singapura dan terdapat peningkatan 11 mata skor purata daripada tahun 2012. Keputusan ini menunjukkan Singapura masih lagi berada di Aras 4 Penguasaan Literasi Matematik, dan berada di atas skor purata negara OECD (skor purata 496). Singapura mendapat tempat ke-2 daripada keseluruhan 65 negara yang menyertai kajian PISA 2012. Bagi Vietnam, walaupun pertama kali menyertai kajian PISA, mereka memperolehi 511 skor (tempat ke-17 daripada 65 negara) purata bagi Literasi Matematik. Skor purata tersebut setanding dengan negara-negara OECD yang lain seperti Belanda, Estonia, Finland, Kanada, Poland, Belgium, Jerman, Austria, Australia dan Ireland. Pada masa yang sama skor purata tersebut berada di atas skor purata OECD iaitu 496. Bagi Malaysia dan Thailand pula, masing-masing memperolehi skor purata 427 (peningkatan 8 mata) dan 421 (peningkatan 17 mata) dan telah mencapai aras 2 bagi aras penguasaan Literasi Matematik. Namun begitu, Malaysia di tempat ke-52 dan Thailand di tempat ke-50. Manakala, Indonesia dengan skor purata 375 (kenaikan 4 mata) berada di tempat ke-64 dan keputusan ini menunjukkan Indonesia masih lagi berada pada Aras 1 bagi aras penguasaan Literasi Matematik.

7.3       Di Manakah Kedudukan Malaysia Dalam Pentaksiran PISA 2018 untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Pada tahun 2018, terdapat dua buah negara Asia Tenggara menyertai PISA 2018, iaitu Brunei dan Filipina. PISA 2018 disertai oleh 79 buah negara yang terdiri daripada 600 000 pelajar yang menjadi sampel kajian. Dari Malaysia, seramai 6 111 pelajar mewakili 388 638 pelajar berumur 15 tahun menjadi sampel kajian. Pada PISA 2018, Singapura masih lagi mempunyai skor purata yang tertinggi untuk Literasi Matematik, iaitu 569 dengan kenaikan 5 mata daripada PISA 2015. Singapura juga masih lagi mendapat tempat ke-2 daripada 79 buah negara. Kedudukan ini seterusnya diikuti oleh Vietnam dengan mata skor purata 496. Namun begitu, OECD membuat kesimpulan bahawa data penilaian Vietnam tidak boleh dibandingkan dengan penilaian antarabangsa. Ini kerana terdapat salah laku yang ketara, khususnya bagi soalan pilihan, soalan bagi pelajar Vietnam agak mudah untuk dijawab. Pada masa yang sama, item pada kajian tindak balas tidak selari dengan standard piawai yang telah ditetapkan oleh OECD. Kesalahan penggunan terma juga salah satu penyebab kenapa penilaian Vietnam tidak boleh dibandingkan dengan negara-negara lain. Sehubungan itu, Malaysia berada pada tempat kedua dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan skor purata 440. Terdapat peningkatan yang signifikan bagi Literasi Matematik Malaysia iaitu sebanyak 13 mata berbanding PISA 2012. Skor purata bagi PISA 2015 tidak boleh dibandingkan dengan PISA 2018 kerana sampel yang kecil (iaitu 51%) tidak menepati sampel yang ditetapkan oleh OECD iaitu sekurang-kurangnya 85%. Kedudukan ini seterusnya diikuti oleh Brunei (skor purata 430), Thailand (skor purata 419), Indonesia (skor purata 379) dan Filipina (skor purata 353) bagi Literasi Matematik PISA 2018. Menurut laporan OECD, bagi PISA 2018, terdapat 59% pelajar Malaysia yang berada di aras 2 penguasaan Literasi Matematik yang bermaksud pelajar Malaysia berupaya untuk mentafsir dan mengenalpasti, tanpa arahan langsung, bagaimana menyelesaikan situasi mudah diwakili dalam matematik (contohnya mennetukan jarak di antara dua titik, atau menukar mata wang asing).

Bersambung…

 

[Bahagian 3] Pentaksiran PISA: Di Mana Kedudukan Malaysia Untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-pentaksiran-pisa-di-mana-kedudukan-malaysia-untuk-literasi-matematik-dalam-kalangan-negara-asia-tenggara/

Pic Source: https://www.theewf.org/issues/article/preparing-our-youth-for-an-inclusive-and-sustainable-world-1

6.0 Bagaimana Pencapaian Malaysia Sepanjang Penglibatan Dalam Pentaksiran PISA?

Pada tahun 2009, KPM mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk menyertai PISA. Peryertaan dalam PISA dapat mengenalpasti kelemahan dalam pendidikan matematik. Objektif utama ialah dapat menunjukkan kualiti pendidikan sesebuah negara berasaskan standard antarabangsa. Negara yang berada di kedudukan terbaik akan menjadi penanda aras terbaik kepada negara-negara lain. Malaysia telah menyertai PISA pada tahun 2009, 2012, 2015 dan 2018. Rajah 2 menunjukkan skor yang diperolehi dalam PISA pada tahun-tahun tersebut.

Pada tahun 2009, sebanyak 74 buah negara telah mengambil bahagian dalam PISA. Pelajar-pelajar di Malaysia telah memperolehi skor purata matematik sebanyak 404 dan ini meletakkan Malaysia di kedudukan ke-57 berbanding negara-negara yang lain. Pada tahun 2012, sebanyak 65 buah negara telah menyertai PISA.Malaysia telah mencatatkan skor purata matematik  sebanyak 421, iaitu ketinggalan jauh di belakang skor purata antarabangsa iaitu 494. Hal ini meletakkan Malaysia di tangga ke- 52 daripada 65 buah negara. Walau bagaimanapun, Malaysia menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian tahun 2009. Pada tahun 2015, Malaysia turut menyertai dalam PISA dan  menunjukkan peningkatan sebanyak 25 mata menjadikan skor purata PISA 2015 kepada 446. Namun begitu, Laporan Teknikal PISA 2015 menyatakan bahawa walaupun Malaysia menjalankan pentaksiran PISA mengikut piawaian dan garis panduan operasi yang ditetapkan, kadar tindak balas sampel dari Malaysia hanya 51% iaitu jauh daripada kadar tindakbalas 85% yang telah ditetapkan oleh OECD. Oleh itu, keputusan pentaksiran PISA pada tahun tersebut tidak dibandingkan dengan negara lain atau dibandingkan dengan keputusan PISA Malaysia bagi tahun-tahun sebelumnya. Prestasi Malaysia bertambah baik berbanding tahun 2009 dan 2012 dalam pentaksiran PISA 2018. Malaysia melonjak sebanyak 36 mata daripada 404 pada tahun 2009 kepada 440  pada tahun 2018. Sebanyak 59 peratus pelajar dapat mencapai kemahiran Aras Penguasaan tahap dua dan ke atas dalam Literasi Matematik. Pencapaian ini meletakkan Malaysia di kedudukan 47 daripada 78 negara yang terlibat.

Bersambung…