Archives for May 5, 2026

Kenangan Manis di Universiti dan Masjid Al-Azhar

Semasa di Cairo (Kaherah) Mesir, excursion persidangan hanya melibatkan lawatan ke piramid dan muzium kebangsaan sahaja. Sudah pasti saya kagum melihat salah satu daripada tujuh keajaiban dunia tersebut, dan keajaiban pertama yang saya saksikan dalam hidup saya. Namun jauh di sudut hati, saya tetap berhasrat untuk melawat Universiti Al-Azhar yang sering saya dengar sejak kecil. Sedangkan di Addis Ababa, Ethiopia pun saya sempat ke universiti terbaiknya, apatah lagi universiti terhebat yang melahirkan ramai ulama dan mufti tersohor di seluruh pelusuk dunia.

Disebabkan excursion tersebut tamat ketika waktu kemuncak orang pulang dari kerja, saya gagahkan juga menaiki Uber, bukan kereta tetapi motosikal. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau bukan sekarang, entah bila lagi saya berpeluang menjejakkan kaki ke universiti tersebut.

Saya kawtim dengan brother motosikal itu untuk saya gunakan aplikasi Uber sekali, kemudian saya bayar dia untuk menghantar saya kembali ke hotel. Dia tidak memahami bahasa Inggeris, tetapi dia dapat menangkap maksud yang ingin saya sampaikan.

Jalan raya di Cairo sangat sesak. Itu antara faktor utama saya memilih Uber motosikal. Saya redah sahaja. Saya memang maklum universiti tersebut tidak terbuka kepada pelawat, namun bergambar di pintu gerbang dan meninjau dari luar pun sudah memadai bagi saya. Setibanya di Universiti Al-Azhar, seperti dijangka, pengawal tidak membenarkan saya masuk walaupun brother Uber itu cuba menjelaskan dalam bahasa Arab bahawa saya datang bersendirian. Sebenarnya bukan tidak dibenarkan, tetapi saya diminta datang keesokan hari pada jam 10 pagi. Namun itu tidak dapat saya penuhi kerana pembentangan saya dijadualkan pada waktu yang sama, selain perlu berkemas untuk ke lapangan terbang pada malamnya.

Kebetulan ketika itu hampir masuk waktu Asar. Jadi saya merayu untuk ke masjidnya. Barulah saya tahu bahawa Masjid Al-Azhar tidak terletak dalam kampus dan agak jauh dari universiti tersebut. Sekali lagi saya kawtim dengan brother Uber itu untuk menghantar saya ke Masjid Al-Azhar. Bersungguh benar dia membawa saya, membelah jalan, menyusup di celah kenderaan, memenuhi hajat seorang pengembara ilmu ini. Akhirnya kami tiba di Masjid Al-Azhar. Gembira tidak terkata. Apabila azan Asar berkumandang, saya dan brother Uber itu sepakat menunaikan solat walaupun kami berkomunikasi seperti ayam dan itik. Lucunya, saya memberitahu bahawa saya akan solat jamak. Dia pula mengatakan perkara yang sama. Saya kehairanan seketika, sebelum menyedari bahawa jamak yang dimaksudkannya ialah mengumpul, yakni solat bersama-sama.

Alhamdulillah, saya begitu terkesan melihat budaya ilmu di masjid tersebut, dengan kehadiran pengunjung termasuk yang bukan beragama Islam. Dalam perjalanan pulang, saya sempat membelikan Abdullah, nama brother Uber itu, makan malam. Setibanya di bilik hotel, saya tersedar bahawa selain menghadiri persidangan, bukan piramid, Sphinx, Sungai Nil atau Terusan Suez yang benar-benar ingin saya lihat. Sebaliknya, kembara ilmu saya terasa lengkap setelah mengunjungi universiti dan Masjid Al-Azhar, walaupun ditempuh dengan penuh cabaran.

UTM Open Day