[Bahagian 1] Mengembangkan Deria Matematik Bayi Dalam Masa Enam Bulan Pertama

Penulis bersama anak-anak

Tahukah anda, jika bayi berumur enam bulan boleh membezakan antara 20 titik dan 10 titik, dia lebih berkemungkinan mahir dalam matematik di prasekolah?. Malah deria nombor bayi pada usia enam bulan dapat meramalkan kecekapan kanak-kanak itu dalam matematik pada usia tiga tahun. Itulah kesimpulan kajian yang mendapati bahawa sebahagian daripada kecekapan manusia dalam operasi penambahan dan penolakan mungkin sesuatu yang wujud semasa kita dilahirkan. Dalam kajian tersebut, pengkaji telah menguji deria nombor 48 bayi berusia enam bulan. Mereka kemudian membuat susulan dengan kanak-kanak yang sama pada usia tiga setengah tahun. Mereka mengambil ujian kecerdasan umum, ujian matematik piawai dan ujian tentang sejauh mana mereka memahami perkataan untuk nombor. Kanak-kanak berumur tiga tahun itu juga melengkapkan ujian deria nombor versi dewasa yang mereka ambil semasa bayi, kali ini menunjukkan yang mana antara dua pola titik mengandungi lebih banyak titik. Kajian mereka mendapati terdapat korelasi positif antara deria matematik semasa mereka berusia enam bulan dengan kecerdasan matematik mereka semasa mereka berusia tiga tahun. Selain itu, bayi berusia enam bulan sukar membezakan dua kuantiti jika nisbah antara mereka kurang daripada 2 nisbah 1. Dalam erti kata lain, mereka boleh membezakan 8 nisbah 16, tetapi gagal membezakan 8 nisbah 12.

Mempelajari konsep asas matematik adalah usaha yang agak kompleks. Kita tidak dilahirkan dengan kebolehan matematik ini, tetapi kita dilahirkan dengan deria rasa umum tentang nombor. Walau bagaimanapun, dalam usaha memahami dunia sekeliling, bayi secara semula jadi mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Cabaran untuk ibu bapa adalah untuk mewujudkan persekitaran yang menarik dan sesuai di mana pembelajaran matematik awal boleh berlaku dalam kalangan bayi. Tahun pertama adalah tahun di mana otak bayi menyerap, memproses dan mentafsir maklumat pada kadar yang luar biasa. Sebagai contoh, bayi berusia tiga bulan tahu bahawa mainan yang tersembunyi di dalam baju mereka masih ada sekiranya ianya tidak dikeluarkan, walaupun mereka tidak dapat melihatnya. Bayi berusia empat bulan pula boleh mengetahui bahawa dua objek serupa yang dibentangkan bersebelahan adalah objek berasingan dan bayi berusia lima bulan menunjukkan kepekaan terhadap perubahan kuantiti barang yang ditunjukkan kepada mereka. Bayi berusia enam bulan itu boleh bermain dengan mainan muzik dengan menekan butang tertentu untuk mengeluarkan bunyi. Bayi berusia enam bulan juga dapat merasa perbezaan puting botol susu yang baru dan jangan terkejut sekiranya mereka tidak menghabiskan susu menggunakan puting botol susu yang baru kerana ia tidak sama dengan puting botol susu yang lama. Ia mempunyai bentuk yang berbeza dan rasanya berbeza dalam mulut mereka. Mereka merasakan sesuatu yang berbeza tentang botol mereka dan memberi kita signal kepada kita untuk kita perasan.

Bersambung…

Speak Your Mind

*