[Bahagian Akhir] Menyemarakkan Budaya Penyelidikan Di Institusi Pendidikan Tinggi

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-1-menyemarakkan-budaya-penyelidikan-di-institusi-pendidikan-tinggi/

Pic source: https://www.canterbury.ac.uk/social-and-applied-sciences/research-and-knowledge-exchange.aspx

Budaya penyelidikan terbaik di universiti-universiti ternama dunia seperti Oxford University dan Cambridge University di United Kingdom serta Harvard University dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat merupakan salah satu faktor universiti-universiti berkenaan menjadi tempat yang menarik dan produktif untuk menjalankan penyelidikan. Sekiranya seseorang penyelidik mahukan output dan melalui proses penyelidikan yang baik, sesebuah institusi pendidikan tinggi memerlukan budaya penyelidikan positif yang menyokong semua individu yang terlibat. Di samping dasar dan program kebangsaan yang menjadi hala tuju penyelidikan, dasar tempatan dan sikap dan tingkahlaku staf di semua peringkat mempengaruhi perkara ini. Menurut World Economic Forum, terdapat beberapa langkah untuk meningkatkan budaya penyelidikan yang lebih baik di sesebuah institusi pendidikan tinggi. Antaranya pelaksanaan perbincangan secara terbuka dapat membantu memupuk persekitaran yang lebih kolaboratif, dengan memberi peluang kepada para penyelidik peluang untuk berkongsi pengalaman mereka bukan sahaja dari aspek kejayaan mereka, tetapi juga kegagalan mereka yang perlu ditambahbaik. Sistem sokongan seperti  khidmat kaunseling kerjaya, khidmat bimbingan dan sokongan kepada penyelidik yang dapat meningkatkan semangat dan meningkatkan penyelidikan positif perlu diwujudkan untuk membantu mengurangkan tekanan dalam persekitaran penyelidikan. Ahli kumpulan penyelidikan juga perlu berbincang secara terbuka dari semasa ke semasa untuk memastikan semua ahli kumpulan menyedari apa yang diharapkan dalam persekitaran penyelidikan. Selain itu, penyelidik dan staf sokongan perlu digalakkan untuk meluangkan masa dan ruang untuk bertemu untuk berkongsi idea dan pengalaman tentang amalan terbaik mengenai apa yang telah berhasil dengan jayanya dan apa yang tidak. Ketua kumpulan penyelidikan yang berjaya perlu menjadi contoh ikutan terutama kepada penyelidik-penyelidik muda untuk mempromosikan budaya penyelidikan yang positif. Tuntasnya tiada faktor tunggal untuk menjadikan sesebuah institusi pendidikan tinggi itu menjadi institusi yang hebat. Walau bagaimanapun, untuk menjadi yang hebat, banyak faktor yang boleh membawa kepada pencapaian tersebut. Salah satu daripadanya ialah aspek budaya penyelidikan. Budaya penyelidikan bukan terletak kepada lima buah universiti penyelidikan yang terdapat di Malaysia, malah melibatkan kesemua institusi pendidikan tinggi yang wujud di negara kita. Budaya ini dilihat semakin hari semakin berkembang tidak kiralah dalam kalangan universiti penyelidikan, universiti komprehensif, universiti berfokus mahupun universiti swasta. Hal ini boleh dilihat melalui kedudukan institusi-institusi pendidikan tinggi di Malaysia dalam World University Rankings Asia 2020. Dalam senarai yang dikeluarkan oleh QS (Quacquarelli Symonds) tersebut, sebanyak 29 buah institusi pendidikan tinggi di Malaysia berada dalam senarai tersebut berbanding 26 dalam edisi 2019. Kriteria-kriteria yang diambilkira dalam menentukan kedudukan tersebut termasuklah impak penyelidikan yang dihasilkan serta reputasi masyarakat yang menjadi antara penerima manfaat akhir hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh penyelidik.

Tamat


Speak Your Mind

*