Peringkat 9: Sidang konvokesyen berlalu pergi, tiba masanya menyemai budi

945425_364076073727634_1279312405_n

Sidang konvokesyen berlalu pergi, tiba masanya menyemai budi

Alhamdulillah.. Tamatnya konvokesyen, bermakna tamatlah sudah perjalanan PhD yang telah dilalui sebelum ini. Kepada Allah s.w.t, ku panjatkan kesyukuran dan Alhamdulillah. Aku turut bersyukur dikelilingi ahli keluarga, saudara mara, rakan-rakan, teman sekerja dan guru-guru yang sehingga kini tidak henti-henti menitip ucapan tahniah. Tak terbalas ucapan yang diterima di FB, sms, whatsap, dan sebagainya. Apa yang mampu aku ucapkan ialah terima kasih..terima kasih..terima kasih.. Buat rakan-rakan yang sudi mengirimkan jambangan bunga, terima kasih tak terhingga aku kirimkan. In sha Allah doaku, semoga perjalanan PhD kalian turut dipermudahkan olehNya. Untuk kali terakhir, terima kasih buat penyelia, pensyarah-pensyarah Fpend UKM, staf-staf sokongan FPend UKM, pihak UTM, KPT, rakan-rakan di UTM dan UKM (yang telah tamat mahupun yang sedang berjuang), semua pihak yang terlibat dalam penyelidikan yang telah dijalankan.

Akhir sekali buat sentiasa yang menjadi peneman ketika suka dan duka, yang setia bersama-sama mengharungi dugaan, yang memberi kekuatan ketika senang dan susah, iaitu emak dan ayah tercinta. Juga buat adik-beradik, adik ipar serta anak-anak buahku yang menjadi penyejuk mataku.

Semoga kita semua sentiasa berbahagia di dunia mahupun di akhirat yang kekal abadi.

Ya, sidang konvokesyen berlalu pergi, tiba masanya menyemai budi.

Halim

Peringkat 8: Ucapan Sebagai Wakil Graduan

The Journey

Ucapan saya yang dikarang oleh saya selama 2 malam berturut-turut sempena Majlis Anugerah Doktor Falsafah Fakulti Pendidikan UKM 2013. Teks ucapan ini dicipta dengan penuh ikhlas dan perasaan. Khas untuk rakan-rakan graduan doktor falsafah Fakulti Pendidikan UKM 2013 yang akan berkonvo sabtu ini. Congratulations everyone!!

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Terima kasih Tuan/Puan pengacara majlis, yang dihormati YBhg. Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Lilia Halim, yang dikasihi YBhg.Timbalan Dekan Akademik, PM Dr. Norazah Mohd Nordin, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, PM Dr. Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff, Timb. Dekan Jaringan Industri, Alumni, Masyarakat dan Antarabangsa, Prof. Dr. Nor Aishah Buang, Ketua Program Doktor Falsafah dan Sarjana, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Penolong Pendaftar Kanan dan Penolong Pendaftar, professor-professor, professor madya-professor madya, pensyarah-pensyarah, staf-staf sokongan serta yang diraikan, rakan-rakan Graduan Doktor Falsafah Tahun 2013.

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya dapat kita berkumpul di majlis yang penuh bersejarah ini iaitu Majlis Penghargaan Graduan Doktor Falsafah Tahun 2013, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Rakan-rakan graduan sekalian,

Masih ingat lagikah kita ketika mula-mula melangkah masuk ke Fakulti Pendidikan UKM kira-kira tiga atau empat tahun yang lalu untuk berjuang, berjihad menuntut ilmu demi mengejar impian untuk bergelar seorang graduan kedoktoran dalam bidang pendidikan. Ketika itu kita dihantui dan dimomokkan dengan kata-kata kononnya PhD ialah Permanent Head Damage, Permanent Heart Disease, dan sebagainya. Ada juga yang kata, THESIS – True Happiness Ends Since It Started. Alhamdulillah kita telah berjaya menepis tanggapan itu semua. Buktinya kita semua berada di sini pada hari ini dan telah pun berjaya sampai ke garisan penamat. Namun untuk tiba di kemuncak bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak ranjau dan duri yang telah dilalui, banyak titisan air mata yang telah jatuh berderai ke bumi, banyak perkara yang telah dikorbankan, tekanan dan macam-macam lagi. Namun saya percaya, itu semua pastinya akan menjadi kenangan manis pada masa akan datang. Kejayaan ini pastinya tidak akan tercapai tanpa kehadiran di sisi kita seorang atau dua orang penyelia yang penuh dedikasi dan kesabaran memberi tunjuk ajar, bimbingan dan nasihat kepada kita semua. Bimbingan dan penyeliaan yang diberikan tidak mengira masa dan ketika. Begitu juga dengan pensyarah-pensyarah lain yang begitu pakar dalam bidang masing-masing yang sudi berkongsi kepakaran dan idea kepada kita semua. Tidak dilupakan juga, jutaan terima kasih kepada staf-staf sokongan yang tanpa mengenal erti jemu melayan karenah kami dan seterusnya memudahkan urusan pengajian kami. Jadi saya mewakili rakan-rakan graduan yang lain mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyelia, pensyarah-pensyarah dan staf-staf sokongan. Tanpa anda semua, mustahil untuk kami berada pada tahap ini.

Jangan ditanam padi di seberang,
Jangan menghuma di puncak bukit,
Jangan tak kenang budinya orang,
Jangan dilupa walau sedikit.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Sesungguhnya kami turut bersyukur kerana sepanjang pengajian kami di sini, pihak pengurusan daripada pihak dekan, timbalan-timbalan dekan, mantan-mantan timbalan dekan dan ketua-ketua jabatan, mantan-mantan ketua jabatan sentiasa mengambil berat dan peka terhadap masalah dan kebajikan kami. Perjumpaan berkala dengan YBhg. dekan, timbalan dekan, ketua jabatan serta timbalan dan penolong pendaftar merupakan platform terbaik untuk pihak pengurusan mendengar masalah kami. Contohnya sebelum ini seminar siswazah dicadangkan untuk dijalankan tiga bulan sekali tetapi ramai siswazah yang membantah. Akhirnya pihak pengurusan bersetuju untuk menganjurkannya sekali dalam setiap dua bulan. Kami juga berterima kasih kerana disediakan rumah kedua kami iaitu Bilik Siswazah yang serba lengkap. Sesungguhnya ia amat selesa untuk kami belajar, berbincang bersama rakan-rakan lain, melakukan mock presentation dan sebagainya. Begitu juga dengan Seminar Siswazah yang mana bagi saya, ianya merupakan platform terbaik untuk memastikan para siswazah sentiasa berada di landasan yang betul sepanjang pengajian mereka. Seminar ini juga berjaya memastikan kami sentiasa bersedia dan hal ini dapat mengekalkan momentum kami sebagai seorang pelajar dan penyelidik sehinggalah tamat pengajian kami. Selain itu, daripada Seminar Siswazah yang diadakan, kami menerima banyak input, pendapat dan komen bukan sahaja daripada pensyarah, malah dari rakan-rakan seperjuangan. Input-input ini sememangnya berguna kepada kami untuk kami bersedia terutamanya ketika di peringkat akhir iaitu Viva. Kami juga sangat beruntung kerana Fakulti Pendidikan UKM turut mempunyai Persatuan Siswazah Pendidikan yang sangat aktif. Persatuan ini aktif menganjurkan bengkel, kursus dan sebagainya yang sudah semestinya amat membantu penyelidikan dan penulisan tesis kami. Saya bersyukur kerana berkesempatan menjadi salah seorang ahli jawatankuasa walaupun tidak lama. Buat rakan-rakan persatuan sekalian, saya percaya, sekiranya kita memudahkan urusan orang lain, in sha Allah, Allah s.w.t akan memudahkan urusan kita kelak. Fakulti Pendidikan turut memberi peluang kepada kami, pelajar siswazah untuk membentangkan kertas-kertas kerja persidangan antarabangsa yang dianjurkan pihak fakulti. Dari Pekan Baru, Jogjakarta hinggalah ke tanah suci mekah. Kombinasi elemen-elemen tersebut telah mewujudkan atmosfera yang positif ke arah membantu kami menamatkan pengajian dengan jayanya.

Buat rakan-rakan graduan sekalian,

Dua hari lagi kita bakal diraikan di Dewan Tun Abd Razak. Jika sebelum ini, apabila terpandangkan DECTAR semasa kita keluar masuk kampus, terdetik di hati, bilakah kita akan diraikan di dewan tersebut. Kini harinya kian tiba. Semoga ikatan yang telah terjalin tidak terhenti setelah kita mengenggam segulung ijazah kedoktoran. Hubungan yang terjalin dengan penyelia perlu diteruskan. Siapa tahu, mungkin selepas ini, saya akan bekerjasama dengan PM Dr Effandi Zakaria, selaku penyelia saya atau dengan PM Dr Norazah untuk melaksanakan penyelidikan bersama, in sha Allah. Begitu juga dengan ikatan ukhwah yang telah terjalin sesama kita. Kalau tersua di mana-mana, kita saling bertegur sapa. In sha Allah kalau sudah terlupa nama, saling mengingatlah sesama kita. Kalau pergi ke selatan negara, ke Legoland ke, atau ke Nusajaya, hubungilah saya. Kalau saya tiada ke mana, in sha Allah pasti saya akan menemani saudara.

Kalau hendak berkunjung ke gerai,
Jangan lupa membawa pelita,
Ikatan persahabatan jangan terlerai,
Teruskan ukhuwah sesama kita.

Akhir kata, saya mewakili Graduan Doktor Falsafah Tahun 2013, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih.. terima kasih…terima kasih…wahai para penyelia, para professor, para pensyarah dan staf-staf sokongan atas kerjasama dan bantuan yang telah diberikan kepada kami sebelum ini. Buat kalian semua juga,

Izikan saya mewakili rakan-rakan mengambil kesempatan,
Andai bicara pernah menyinggung perasaan,
Sepuluh jari kami hulurkan,
Andai tindakan pernah kurang menyenangkan,
Kami mengharap sejuta kemaafan,
Untuk ilmu yang telah dicurahkan,
Kami pohon minta dihalalkan.

Buat diri sendiri dan rakan-rakan graduan sekalian, bukan dikejar gelaran atau nama, tetapi apakah sumbangan yang bakal diberikan kepada bangsa dan agama?

Sekian, yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk itu datangnya jua dari Allah tetapi dizahirkan atas kelemahan diri saya sendiri.

**Alhamdulillah, sempena Majlis Anugerah Doktor Falsafah Fakulti Pendidikan UKM 2013, saya memenangi 2 anugerah iaitu Anugerah Graduate On Time dan Anugerah Penerbitan Terbaik.

1381528_363173483817893_1385011288_n

Peringkat 7: Cabar Diri Anda!!

1012621_309030512565524_1732738742_n

Salah satu kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan ketika berada dalam pengajian ialah apabila dinobatkan finalis Ikon Varsiti kategori Penyelidikan Sains anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan Berita Harian. Being a student, I love to challenge myself. Not to show that I am the best, but just to be a little bit different from the rest. To students out there, challenge yourself. Think and act out of the box!

Peringkat 6: Rehatkan Minda

945478_297880970347145_1231241180_n

Kehidupan seorang pelajar pasti membosankan bergelumang dengan buku, artikel jurnal dan laptop. Another lesson that I learn semasa bergelar pelajar ialah, kita perlu masa untuk merehatkan minda. Mungkin seharian kita memerah otak untuk menimba pengetahuan, jadi malam adalah waktu untuk berehat. Like what I did before, malam ialah masa untuk menonton rancangan televisyen kegemaran saya iaitu rancangan berbentuk dokumentari. Semasa berada di pertengahan pengajian, saya secara suka-suka menyertai kuiz terkumpul sebuah rancangan dokumentari di televisyen. Selama 12 minggu rancangan tersebut bersiaran, saya mengumpul soalan kuiz yang dikemukakan setiap minggu. Hasilnya, saya memenangi Grand Prize ke Australia. Selama seminggu di sana, saya mencatat kenangan manis berada di negara Kangaroo tersebut dan dikongsikan dalam suratkhabar Berita Harian dan Mingguan Malaysia. Moral of the story, kita yang mewarnai perjalanan pengajian kita. Jangan terlalu stress study. Sometimes kita perlukan aktiviti untuk merehatkan otak. Peace!!

Peringkat 5: Perkongsian Ilmu Di Persidangan Kebangsaan dan Antarabangsa

Tempoh dua tahun berkhidmat di fakulti sebelum melanjutkan pengajian benar-benar memberi pengalaman kepadaku dalam membentangkan kertas-kertas kerja persidangan bertaraf kebangsaan mahupun antarabangsa. Masakan tidak, dalam tempoh dua tahun tersebut, aku dilatih oleh beberapa orang senior berpangkat professor dan professor madya yang aku anggap mereka sebagai sifu yang banyak memberi tunjuk ajar untuk membentangkan kertas-kertas kerja di dalam mahupun di luar negara. Pengetahuan dan pengalaman berkaitan perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum dan semasa membentangkan kertas kerja sepanjang tempoh perkhidmatanku dapat diaplikasikan dan dimanfaatkan semasa aku berada dalam pengajian. Sebelum membentangkan kertas kerja, kita harus memilih seminar-seminar yang bersesuaian dengan bidang dan kepakaran kita. Ini kerana, semasa seminar berlangsung, kita dapat berkongsi kepakaran dan pengetahuan serta bertukar-tukar pendapat dengan ahli-ahli akademik yang mempunyai latar belakang yang sama atau hampir sama dengan kita. Kita juga dapat bersemuka dan berkenal-kenalan dengan ahli-ahli akademik tersebut dan seterusnya mewujudkan jaringan akademik dengan mereka yang datang dari pelbagai institusi pendidikan serta dari pelbagai negara. Semasa berada di tahun pertama pengajian, aku hanya membentangkan kertas-kertas kerja di seminar bertaraf kebangsaan. Maklumlah ketika itu, aku masih belum mengutip data-data kajian. Jadi kebanyakan kertas kerja yang dibentangkan merupakan kertas konsep yang berkisar kepada latar belakang masalah kajian, kerangka konsep kajian dan literatur kajian. Aku mula membentangkan kertas-kertas kerja di seminar bertaraf antarabangsa semasa aku melangkah masuk ke tahun kedua pengajian. Aku mula mencabar diri untuk pembentangan yang lebih tinggi tarafnya. Selain perlu membentangkan dalam bahasa inggeris, kualiti kertas kerja yang dihasilkan perlu ditingkatkan. Terdapat juga seminar tertentu yang memilih artikel-artikel berkualiti tinggi untuk diterbitkan dalam jurnal. Secara tidak langsung, terdapat dua kelebihan di situ; pertama, kita dapat membentangkan kertas kerja dan kedua, kertas kerja kita diterbitkan dalam jurnal.

Di sini aku ingin berkongsi sedikit pengetahuan mengenai prosedur-prosedur yang perlu dilalui untuk membentangkan kertas kerja. Beberapa perkara perlu diambilkira. Pertama sekali ialah kenal pasti seminar-seminar yang bersesuaian dengan bidang kita. Pertimbangkan juga tempat di mana seminar dijalankan dan kos untuk menghadirinya. Adakah ianya masih di bawah kemampuan kita ataupun sebaliknya. Adakah tarikh seminar tidak bertindih dengan tarikh-tarikh penting yang lain?. Kedua, kenalpasti tema-tema yang telah ditetapkan. Di tema manakah kertas kerja seminar kita sesuai berada. Kebiasaannya nama seminar akan dinyatakan secara umum dan tema-tema bersesuaian dengan seminar akan disediakan. Kemudian, ambil perhatian terhadap tarikh-tarikh penting seperti tarikh akhir penghantaran abstrak, tarikh akhir penghantaran kertas kerja penuh, tarikh akhir bayaran yuran penyertaan seminar dan sebagainya. Abstrak perlu disediakan terlebih dahulu kerana ia merupakan perkara pertama yang perlu dihantar kepada pihak penganjur. Abstrak merupakan ringkasan atau rumusan dari satu kertas kerja yang ingin dibentangkan. Kertas kerja tersebut mungkin merupakan sebuah kajian mini, kertas konsep yang menerangkan sesuatu isu contohnya masalah pembelajaran topik Matematik dan cadangan untuk menyelesaikannya, dan sebagainya. Abstrak biasanya perlu sediakan tidak melebihi 250 patah perkataan dan ianya perlu dihantar ke sekretariat terlebih dahulu sebelum dipersetujui oleh pihak penganjur untuk dibentangkan.

Untitled1

Abstrak yang dihantar akan diberi makluman penerimaan. Pihak penganjur kemudiannya akan memaklumkan mengenai tarikh pemberitahuan sama ada abstrak yang telah dihantar diterima untuk dibentangkan ataupun tidak. Setelah abstrak kita diterima untuk dibentangkan, kita akan diberi tempoh untuk menyiapkan kertas kerja lengkap. Biasanya tempoh yang diberi adalah sebulan dari tarikh makluman penerimaan. Perkara-perkara yang kebiasaannya perlu ada dalam sesebuah kertas kerja termasuklah Pengenalan, Objektif, Metodologi, Dapatan Kajian serta Perbincangan dan Kesimpulan. Terdapat juga seminar tertentu yang mengkehendaki kertas kerja yang disediakan mengikut format yang ditetapkan. Ini bertujuan untuk memastikan kertas-kertas kerja seminar yang terkandung dalam sesebuah prosiding mempunyai format yang seragam.

Untitled2

Setelah kertas kerja lengkap dihantar, kita akan menerima email mengenai tuntutan bayaran yuran seminar. Kadar bayaran kebiasaannya berbeza mengikut peranan kita dalam seminar tersebut iaitu sama ada sebagai peserta ataupun pembentang, serta mengikut status diri seperti pelajar, penduduk tempatan ataupun rakyat luar negara. Bayaran boleh dilakukan terus kepada sekretariat. Bagaimanapun, untuk seminar antarabangsa yang dijalankan di luar negara, kaedah bayaran adalah melalui kiriman pos atau pun pemindahan wang melalui bank. Resit-resit bayaran atau rekod bayaran perlu disimpan sebagai bukti bayaran. Dalam aspek bayaran menghadiri seminar ini, kita akan menjumpai istilah ‘early bird price’ yang bermaksud kadar bayaran promosi dalam tempoh tertentu sebelum kadar bayaran penyertaan seminar kembali kepada harga normal yang lebih tinggi. Tujuan ‘early bird price’ adalah untuk menarik lebih banyak penyertaan peserta dalam seminar dengan tawaran harga yang menarik. Selain itu, peserta perlu membuat bayaran dalam tempoh yang telah ditetapkan dan ini sekaligus dapat memastikan peserta benar-benar memberi komitmen untuk menghadiri seminar. Hal ini kerana, terdapat segelintir peserta yang telah diterima abstrak mereka untuk dibentangkan tetapi terus menyepikan diri. Selain menyusahkan pihak penganjur, tindakan mereka ini menutup peluang orang lain yang mungkin lebih berminat tetapi penyertaan mereka ditolak berikutan penyertaan yang melebihi kuota peserta yang diperuntukkan.

Setelah bayaran dilakukan, kita perlu memikirkan tentang penginapan dan juga pengangkutan. Sekiranya seminar berlangsung di dalam negara, ianya mungkin tidak mendatangkan masalah yang besar kepada kita. Bagaimanapun, berdasarkan pengalamanku yang sudah beberapa kali membentangkan kertas kerja di luar negara, pihak penganjur akan mencadangkan beberapa hotel sebagai rujukan kepada peserta seminar dan biasanya hotel-hotel yang dicadangkan terletak berhampiran dengan tempat berlangsungnya seminar. Malah lebih mudah sekiranya seminar diadakan di hotel tertentu yang mana kita boleh menginap di situ dan tidak perlu memikirkan tentang pengangkutan dari hotel ke tempat seminar. Bagaimanapun, berdasarkan pengalamanku, aku lebih suka untuk mencari sendiri hotel ketika berada di Malaysia. Selain harganya yang lebih murah, aku lebih suka belajar meneroka budaya negara luar. Contohnya, ketika membentangkan kertas kerja di Bandung, aku menaiki tuk-tuk dari hotel ke Institut Teknologi Bandung iaitu tempat berlangsungnya seminar. Manakala ketika di Bangkok, aku dapat merasai menaiki sistem MRT di kota tersebut dan melihat pemandangan kota Bangkok sepanjang perjalanan ke tempat seminar.

Setelah urusan penginapan selesai, kita perlu memikirkan tentang pengangkutan untuk ke tempat seminar lebih-lebih lagi seminar di luar negara. Tiket penerbangan pergi dan balik perlu ditempah. Biasanya jadual pembentangan seminar akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada peserta. Daripada jadual tersebut, kita boleh merancang masa untuk kita bertolak dan pulang ke tanahair. Setelah urusan tempat penginapan dan pengangkutan selesai, slaid pembentangan bolehlah disediakan. Ada juga peserta yang lebih suka menyediakannya pada minit-minit terakhir. Contohnya semasa menunggu pesawat di lapangan terbang, di dalam pesawat ataupun di hotel. Tapi tidak bagi aku. Selain aku bukan jenis last minute person, adalah lebih baik masa yang ada nanti digunakan untuk berehat ataupun berjalan-jalan. Maklumlah bukan selalu untuk berada di negara orang. Jadi masa yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Di sini, aku ingin berkongsi perkara-perkara yang biasanya berlaku dalam setiap seminar. Pada sebelah pagi di hari pertama, urusan pendaftaran peserta seminar diadakan. Ketika itu, beg yang mengandungi buku atau CD prosiding, tag peserta atau pembentang, buku tentatif program serta cenderahati diberikan kepada setiap peserta. Berdasarkan pengalamanku, kebiasaannya beg dan cenderahati yang diberikan kepada peserta melambangkan identiti negara tersebut. Contohnya, aku pernah membentangkan kertas kerja di Jogjakarta dan yang menarik perhatianku ialah beg batik jawa yang mengandungi barang-barang yang aku nyatakan tadi. Majlis perasmian biasanya berlangsung pada sebelah pagi hari pertama. Selepas majlis perasmian, kita akan disajikan dengan persembahan dan sekali lagi berdasarkan pengalamanku, ianya melambangkan identiti negara penganjur seminar tersebut. Contohnya tarian jawa dipersembahkan sewaktu aku di Jogjakarta. Kemudian, semua peserta akan mendengar syarahan atau pembentangan kertas kerja dalam sesi keynote speaker. Keynote speaker ini biasanya merupakan tokoh atau pakar dalam bidang tertentu yang berkaitan dengan seminar. Contohnya pakar Instructional Design dijemput dalam seminar yang berkaitan dengan teknologi pendidikan untuk membentangkan isu-isu berkaitan di dalam dewan utama. Mereka biasanya diberi selama satu jam untuk membuat pembentangan sebelum sesi soal jawab dibuka untuk para peserta seminar. Setelah selesai sesi pembentangan keynote speaker, sesi selari (parallel session) dimulakan. Sesi selari dijalankan dalam beberapa bilik berasingan mengikut tema-tema tertentu. Contohnya, sekiranya seminar berkaitan dalam bidang pendidikan, bilik-bilik sesi selari mungkin disediakan mengikut untuk tema pedagogi dalam pendidikan, teknologi pendidikan, isu-isu pendidikan semasa dan sebagainya. Jadual pembentangan akan diberi kepada setiap peserta dan ditampal pada pintu-pintu bilik pembentangan. Jadi terpulang kepada peserta seminar untuk mengikuti mana-mana pembentangan mengikut kepakaran dan bidang masing-masing sama ada untuk berkongsi kepakaran mahupun untuk mendalami sesuatu bidang. Para pembentang akan diberi 10 hingga 15 minit untuk membentang dan lima minit untuk sesi soal jawab. Pengerusi sesi selari akan dilantik oleh pihak penganjur dan ada juga dalam seminar tertentu yang mana pembentang pertama dalam sesi selari akan bertindak sebagai pengerusi. Pada pandanganku, adalah lebih baik untuk kita hadir ke seminar-seminar tertentu sebagai pembentang kertas kerja daripada peserta biasa sahaja. Selain berkongsi mengenai kajian kita dan menerima maklumbalas daripada hadirin yang mendengar pembentangan kita, proses pembentangan yang kita laksanakan dapat membuka fikiran kita, menjadikan kita lebih matang, yakin dan berani dalam pembentangan di hadapan orang ramai di samping dapat meningkatkan kemahiran komunikasi kita. Sekiranya seminar bertaraf antarabangsa, pembentangan yang dibuat sedikit sebanyak dapat memperbaiki kemahiran berbahasa inggeris kita. Selain pembentangan sesi selari, terdapat juga seminar yang menyediakan beberapa bengkel yang dijalankan secara serentak. Untuk seminar bertaraf antarabangsa, pada malam pertama atau kedua seminar berlangsung, satu majlis makan malam akan diadakan. Tujuannya adalah untuk untuk meraikan peserta dari seluruh dunia. Berdasarkan pengalamanku, dalam majlis ini, peserta-peserta bersembang mengenai diri masing-masing seperti kerjaya, bidang kepakaran dan sebagainya. Ada juga yang bertanya soalan yang tidak sempat ditanya semasa sesi selari. Dalam majlis makan malam itu juga, kita akan disajikan dengan makanan dan persembahan yang melambangkan identiti negara pihak penganjur. Sijil penyertaan atau pembentangan biasanya diserahkan kepada peserta pada hari terakhir seminar. Sehari selepas hari terakhir seminar, pihak penganjur biasanya akan menyediakan pakej lawatan ke tempat-tempat menarik di negara mereka dengan harga yang berpatutan. Contohnya, semasa aku berseminar di Jogjakarta, aku dan rakan-rakan telah menyertai lawatan ke Candi Borobodur. Kami juga disajikan dengan pemandangan Gunung Merapi yang kali terakhir meletus pada tahun 2010. Peserta boleh memilih untuk mengikuti lawatan yang disediakan oleh pihak penganjur ini ataupun pergi sendiri bersama rakan-rakan yang lain.

Sememangnya kerjayaku sebagai ahli akademik akan sentiasa melibatkan diriku dalam pembentangan seminar-seminar sebegini walaupun bukan lagi bergelar pelajar doktor falsafah. Pembentangan kertas kerja di persidangan ini merupakan salah satu cara bukan sahaja untuk diriku tetapi juga untuk kita semua menimba dan berkongsi ilmu. Ini selari dengan firman Allah s.w.t dalam surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud, “Katakanlah! Adakah sama antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?”

Untitled

*Penulis ketika membentangkan kertas kerja persidangan di Bangkok, Thailand.

 

Peringkat 4: Bilik Siswazah

pi5aepMi9

Tidak keterlaluan kalau aku katakan bahawa sebahagian besar masa pengajianku di UKM dihabiskan di Bilik Siswazah. Bilik ini boleh dikatakan sebagai rumah keduaku sepanjang aku berada dalam pengajian. Aku masih ingat, ketika berada di minggu-minggu awal pengajian, aku duduk bersendirian dikelilingi oleh pelajar-pelajar PhD lain yang rata-ratanya nampak sudah berpengalaman dalam bidang pendidikan. Mula-mula aku agak kekok berada di sini. Maklumlah tempat baru dan kawan-kawan baru yang kelihatan sudah lama makan garam daripada aku. Lama kelamaan, Alhamdulillah aku dapat ramai kawan di sini. Betullah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Kebanyakan mereka merupakan pensyarah-pensyarah Institut Pengajian Guru (IPG, dahulunya dikenali sebagai maktab perguruan), guru-guru dan tidak kurang juga pelajar-pelajar yang baru sahaja graduate dan terus sambung belajar sementara menunggu penempatan untuk mengajar. Bilik siswazah di sini amat selesa. Pada pendapat aku, bilik siswazah merupakan satu tempat yang penting untuk pelajar-pelajar pasca siswazah. Sekurang-kurangnya mereka tahu tempat yang perlu dituju apabila mereka berada di fakulti. Tidak semestinya sepanjang masa mereka akan berada di perpustakaan dan pusat sumber. Jadi bilik siswazahlah tempat yang paling sesuai untuk mereka membaca artikel jurnal, menaip, berbincang dan sebagainya. Bilik siswazah ini juga merupakan tempat Persatuan Siswazah Fakulti Pendidikan berbincang mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan untuk kebaikan pelajar-pelajar siswazah di sini. Salah satu kelebihan fakulti pendidikan di sini ialah persatuan yang mewakili pelajar siswazah amat aktif menganjurkan kursus, perkongsian kepakaran, bengkel dan sebagainya. Kebanyakan program yang dianjurkan oleh persatuan siswazah mendapat sambutan yang hangat daripada pelajar. Kebiasaannya siswazah dari universiti lain turut menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan. Masakan tidak, program-program yang dijalankan amat berguna untuk pengajian PhD mereka. Antaranya, bengkel penulisan artikel jurnal, bengkel perisian NVIVO (amat berguna kepada mereka yang menjalankan kajian kualitatif), bengkel SPSS (amat berguna kepada mereka yang menjalankan kajian kuantitatif), bengkel perkongsian pengalaman, bengkel pembangunan laman web dan macam-macam lagi. Penceramah yang dijemput juga bukan calang-calang orangnya. Mereka merupakan pakar dalam bidang masing-masing. Aku juga berbangga kerana sempat menjadi ahli jawatankuasa persatuan ini ketika aku berada di semester lima dan merasai sendiri pengalaman menganjurkan program-program tersebut. Walaupun tidak dibayar dengan wang ringgit, aku percaya sekiranya kita memudahkan urusan orang lain mengenai perkara-perkara yang baik, Allah s.w.t akan memudahkan urusan kita kelak.

Bilik siswazah ini mengandungi deretan meja dan kerusi yang dipisahkan oleh pengadang. Setiap satu partition yang mengandungi meja dan kerusi turut disediakan plug untuk kemudahan pelajar. Konsep ‘siapa cepat dia dapat’ diaplikasikan dalam bilik siswazah ini. Dengan lain perkataan, meja dan kerusi ini bukannya menjadi hak milik kekal seseorang pelajar. Bagaimanapun, sepanjang aku berkelana di bilik siswazah ini, masalah meja dan kerusi yang tidak mencukupi tidak pernah timbul. Dalam bilik siswazah ini juga terdapat bilik mesyuarat yang disediakan untuk pelajar berbincang, mengadakan kelas tambahan dan sebagainya. LCD dan projektor turut dibekalkan. Pelajar yang akan membentangkan usulan, kemajuan, pemantapan dan viva biasanya akan melakukan mock presentation di dalam bilik tersebut dengan dihadiri oleh rakan-rakan lain. Maklum balas serta pandangan dari teman-teman seperjuangan dilihat mampu membantu mereka bersedia dengan soalan-soalan jangkaan yang akan ditanya semasa pembentangan sebenar nanti. Selain itu, bilik siswazah ini turut dilengkapi dengan komputer dan mesin pencetak. Bagaimanapun, pelajar perlu memiliki kad pencetak yang dibeli dari pembantu makmal untuk menggunakan mesin pencetak tersebut. Perkara ini amat memudahkan pelajar kerana mereka tidak perlu bergerak jauh ataupun menaiki kenderaan untuk ke pusat-pusat fotokopi. Bilik siswazah ini turut dilengkapi dengan surau yang cukup selesa. Begitu juga dengan pantri. Kemudahan air panas yang disediakan memudahkan aku menyediakan minuman panas ketika mengantuk dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga makanan yang dijual oleh persatuan siswazah dan juga pelajar sendiri. Contohnya roti, biskut dan kerepek yang amat laris dijual bagaikan pisang goreng panas lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar yang mempunyai kelas malam. Mereka akan berehat ketika waktu maghrib dan ketika itulah mereka memerlukan makanan-makanan sedemikian untuk mengalas perut.
Dalam bilik siswazah inilah aku kenal dengan ramai kawan seangkatan. Salsela; unik bukan namanya? katanya, emaknya merupakan peminat drama Mexico. Jadi nama yang diberikan kepadanya juga seakan-akan nama heroin drama Mexico. Beliau masih muda tapi sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang alam sekitar. Yang menariknya, beliau sering ke Langkawi untuk mengutip data untuk kajian PhDnya kerana kajiannya berkaitan dengan pembangunan di pulau lagenda tersebut. Kak Tuan Salwani; seorang pensyarah bidang Matematik di UniKL Bangi. Sepanjang aku berkawan dengan kak Wani, bagiku beliau merupakan seorang yang tegas dengan pendirian. Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini sangat komited dengan kerjanya. Aku sangat kagum dengan penulisan bahasa inggeris beliau. Malah aku juga pernah menggunakan khidmatnya untuk menyemak penulisan bahasa inggerisku. Kami berada dalam bidang yang sama dan diselia oleh supervisor yang sama. Jadi kami sering membentangkan kertas-kertas kerja persidangan di seminar yang sama. Irwan; aku amat kagum dengan jejaka melayu terakhir ini. Seorang ahli akademik di UTHM. Seorang yang aktif dalam berpersatuan dan tegas. Beliau amat petah berhujah dan aku sering merujuk kepada beliau sekiranya aku inginkan pendapat tentang sesuatu perkara. Beliau juga merupakan pakar End Note. Kak Yati dan Abang Bani; pasangan suami isteri yang serasi bersama. Kak Yati merupakan pensyarah politeknik yang tidak lokek dengan ilmu terutamanya yang berkaitan dengan statistik. Abang Bani yang juga merupakan seorang ustaz dan sangat tenang orangnya. Mereka berdua dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata dan amat gemar melancong ke luar negara. Kak Hanani; seorang ustazah yang sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang pendidikan islam. Seorang ibu kepada dua orang cahaya mata dan seorang pelajar yang aktif membentangkan kertas-kertas kerja persidangan. Kak Nani; seorang ibu yang kuat semangat. Beliau pada mulanya telah pun ke New Zealand untuk melanjutkan pengajian Phd nya. Namun, atas masalah-masalah tertentu, beliau kembali ke Malaysia untuk meneruskan pengajiannya di sini. Kepakaran beliau ialah dalam bidang pendidikan khas dan lebih menjurus kepada murid-murid austisme. Azween Arif; ketika cerita ini ditulis, beliau merupakan presiden Persatuan Siswazah Fakulti Pendidikan, UKM. Berkelulusan sarjana muda dan sarjana dalam TESL dan sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang yang sama. Kak Mah; seorang yang aku anggap sebagai kakak aku sendiri. Beliau merupakan seorang yang tidak kenal erti penat dan putus asa walaupun menghadapi berbagai-bagai dugaan sepanjang melanjutkan pengajiannya dalam bidang keusahawanan. Sebenarnya ramai lagi kawan yang aku kenali sepanjang aku berada dalam bilik siswazah ini. Wani, Sabrina, Tamil Selvan (tutor UTHM), Lee Tien Tien (pensyarah UPSI), kak Azwani, kak Yati, Kema (kini pensyarah MSU), Fida, Firdaus, Faiz, Ridzwan, abang Hamizul, kak Yus (pensyarah IPIS), Kak Faridah (bekas cikgu Matematik adik aku semasa di MRSM Jasin dahulu), Sya, Shitah, kak Zarina, kak Nini, kak Hanani, kak Haliza, kak Yun, abang Kashfi, ustazah Sarimah, kak Barakah, Faizal, abang Nasa, kak Tarzemah, kak Zi, kak Mazlini, Hutkemri (teman dari Indonesia), Rian (teman dari Indonesia), kak Azieda, Tuan Mastura, kak Nabiroh, kak Saroya, Fariba (teman dari Iran), kak Putri (teman dari Indonesia), abang Tajul (pensyarah UPSI), kak Siti Aieda, ustazah Noraini, kak Mar, kak Safura, kak Faizah, kak Zana dan ramai lagi. Masing-masing dalam bidang kepakaran yang berbeza; pendidikan matematik, pendidikan sains, pendidikan Islam, pendidikan khas, pendidikan teknologi, pendidikan teknikal; pendidikan keusahawanan, sains sukan dan lain-lain. Mereka juga terdiri daripada pensyarah universiti, pensyarah institut pendidikan guru, pensyarah politeknik, pegawai pendidikan, guru sekolah dan lain-lain. Sungguhpun demikian, bilik siswazah inilah yang menjadi saksi betapa gigihnya pelajar-pelajar sarjana dan doktor falsafah bekerja keras untuk menggapai impian bergelar seorang sarjana dan doktor falsafah. Buat rakan-rakan seperjuangan sekalian;

Biar renggang di fana dunia,
Biar hina di mata manusia,
Biar semangat semakin tua,
Biar akal semakin berusia,
Jangan tergadai silaturrahim kita.

Peringkat 3: Takutnya Nak Jumpa Penyelia

Untitled

Ketika cerita ini ditulis, aku sedang mempersiapkan diri untuk berjumpa dengan penyeliaku. Esok merupakan pertemuan kali kedua aku dengan beliau. Perjumpaan pertama dijalankan serentak dengan hari pendaftaran pelajar PhD yang mana pelajar-pelajar diberi ruang dan peluang untuk bertemu dengan penyelia masing-masing. Ketika itu, aku mengambil kesempatan untuk menerangkan secara umum mengenai cadangan kajian PhDku. Alhamdulillah pertemuan pertama aku mendapat respon yang positif daripadanya. Sekarang aku sedang menambahbaik pernyataan masalah dan kerangka konsep dan aku memberi tempoh kepada diriku selama sebulan untuk menyiapkannya. Sebenarnya sebelum menyambung pengajian PhD lagi, aku sudah mula menjalankan ‘homework’ dengan mencari tesis-tesis dan artikel-atikel jurnal dalam dan luar negara yang kajiannya hampir sama dengan kajian yang bakal dijalankan untuk dianalisis. Tujuannya adalah untuk mencari persamaan, perbezaan kajian-kajian dan seterusnya jurang kajian dapat diperolehi. Pada pandanganku, pernyataan masalah merupakan nadi terpenting dalam Bab 1 kerana ia merupakan faktor mengapa kita menjalankan kajian tersebut. Berdasarkan dan pemerhatian dan pengalamanku, perkara pertama yang akan ditanya sewaktu pelajar PhD membentangkan proposal ialah permasalahan kajian. Jelas permasalahan kajian, maka mudahlah perjalanan kajian yang bakal dilaksanakan.

Sejara jujurnya, hubungan dengan penyelia merupakan salah satu aspek terpenting dalam pengajian PhD. Masakan tidak, kita bakal bekerja dengan seorang ataupun dua orang penyelia untuk tiga, empat atau lima tahun mendatang. Sebelum bertemu dengan penyelia, jumpa dengan graduan yang pernah diselia oleh beliau untuk mendapatkan maklumat bagaimana beliau bekerja. Kemudian, bersikap jujur dan rendah diri dengan penyelia. Tunjukkan kepada mereka bahawa kita sudah bersedia dan bukannya datang berjumpa dengan minda yang kosong. Sebab itu, ramai yang beranggapan bahawa bagi diri kita sedikit masa untuk ‘berehat’ sebelum melanjutkan pengajian PhD. Masa tersebut boleh digunakan untuk kita meneroka bidang kajian yang bakal dijalankan termasuklah permasalahan yang membawa kita kepada kajian tersebut. Kemudian, bincang dengan penyelia kekuatan dan kelemahan kita. Pada pandangan aku, dalam pertemuan bersama penyelia, jangan sesekali menunjuk-nunjuk untuk membuktikan kononnya kita hebat dalam menjalankan kajian. Bagi masa kepada diri kita untuk mendengar nasihat daripada penyelia. Beliau pastinya sudah banyak pengalaman menyelia pelajar PhD. Ingat, impresi pertama sangat penting kerana ia mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap kita. Seingatku, pada awal pertemuan kami, aku banyak mendengar pelbagai kisah beliau yang bukan sahaja pernah menyelia pelajar PhD, malah pernah menjadi pemeriksa dalam dan luar pelajar-pelajar PhD. Banyak kenangan manis dan pahit yang beliau kongsikan. Yang mana baik, aku jadikan tauladan, yang mana kurang baik, aku jadikan sempadan. Selain itu, sebagai pelajar yang baru memulakan pengajian PhD, kita perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kritik yang diberikan penyelia. Kritikan yang diberikan bukan untuk menjatuhkan kita, sebaliknya ia berguna sebagai panduan kepada kita untuk mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh pelajar-pelajar yang lalu. Malah, penulisan artikelku juga pernah dikritik beliau gara-gara penggunaan bahasa inggeris yang kurang memuaskan. Namun segala kritikan kuterima dengan hati yang terbuka. Azamku, selain aku amat mengharapkan penyelia dapat memberi bantuan, panduan dan bimbingan sebaik mungkin sepanjang pengajin PhDku, aku turut ingin mempelajari sebanyak mungkin ilmu daripada beliau dari aspek penyeliaan kerana aku tahu aku juga bakal menjadi seorang penyelia pada masa hadapan. Ketika berada di awal pengajian, aku kerap bertemu dengan penyelia. Dalam seminggu aku pastikan sekurang-kurangnya sekali aku akan bertemu dengannya. Bukannya datang dengan tangan dan minda yang kosong, tetapi datang dengan input dan cadangan mengenai sub bahagian-sub bahagian tertentu dalam tesisku. Namun, kita perlu ingat bahawa bukan kita seorang sahaja yang diselia oleh penyelia. Jadi jangan pentingkan diri sendiri. Bagi penyelia masa untuk membaca segala bahan yang telah kita sediakan. Jangan sesekali mendesak mereka atau memperuntukkan sekian masa kepada mereka untuk membaca dan memberi komen mengenai penulisan kita. Sebagai pelajar, kita juga perlu memastikan momentum hubungan baik ini berterusan. Tidak semestinya hubungan perlu dijalin melalui pertemuan bersemuka. Banyak lagi cara atau medium lain untuk mengekalkan hubungan sedia ada termasuklah selepas tamat pengajian.

Peringkat 2: Rutin Harian di Awal Pengajian

daily-routines-2

Semasa di awal pengajian, selepas menunaikan solat subuh, rutin harianku dimulakan dengan memasak apa jua makanan yang ringkas. Tidak kisahlah, sardin, telur goreng, ikan bilis goreng, bihun goreng, dan sebagainya untuk dibawa sebagai bekalan makan tengahari di kampus. Di awal pengajian sebegini, aku belum lagi berjumpa dengan rakan-rakan sebaya di bilik siswazah yang mungkin boleh diajak untuk makan tengahari di cafeteria. Kebanyakan kenalan ketika ini merupakan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berkeluarga. Kebiasaannya, pada waktu tengahari mereka akan mengambil anak-anak dari sekolah dan makan tengahari di rumah. Jadi terpaksalah aku makan sendiri dengan bekalan yang dibawa. Sebelum ke kampus, aku meluangkan sedikit masa untuk bersenam dan mengeluarkan peluh di gymnasium berhampiran. Bagiku, untuk mendapatkan idea dan buah fikiran yang baik, ia lahir dari otak yang cerdas. Otak yang cerdas pula lahir dari fizikal yang cergas. Disebabkan itu, aku tidak berkira untuk memperuntukkan sedikit wang untuk melanggan gymnasium berhampiran universiti. Kemudian, aku akan mengabdikan diri sama ada di perpustakaan universiti ataupun di pusat sumber fakulti untuk menyiapkan bab satu, dua dan tiga iaitu bab-bab yang diperlukan untuk pembentangan proposal. Aku akan ‘lepak’ di situ sehinggalah solat zuhur. Selepas solat zuhur, aku akan menyambung kerja-kerja aku di situ melainkan ada kelas yang perlu dihadiri. Sebenarnya pelajar PhD di UKM (ketika itu) tidak perlu mengambil sebarang kelas sebagai syarat untuk lulus PhD. Tetapi memandangkan sudah agak lama aku meninggalkan dunia pelajar, aku mengambil inisiatif untuk menumpang di kelas-kelas tertentu untuk mengimbas semula pengetahuan aku dalam dunia penyelidikan pendidikan ini.

Sepanjang tahun pertama pengajianku juga, aku kerap kali menela’ah bahan bacaan di perpustakaan Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) Kementerian Pendidikan Malaysia yang menempatkan banyak bahan rujukan dalam bidang pendidikan. Di situ, banyak tesis, artikel jurnal dan keratan suratkhabar berkaitan pendidikan di dalam dan luar negara ditempatkan. Tambahan pula, perpustakaan tersebut amat selesa untuk menjadi tempat pertapaanku. Pada waktu petang aku akan pastikan akan balik ke rumah sewa sebelum pukul 4.30 petang. Selalunya, 5.00 petang merupakan waktu kemuncak kesesakan jalan raya di kawasan-kawasan di Lembah Klang ini. Lebih-lebih lagi, setiap hari aku akan melalui Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), kemudian masuk pula lebuh raya South Klang Valley Expressway (SKVE) dan akhirnya lebuhraya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari rumah sewa ke kampus universiti dan menggunakan laluan balik yang sama. Jadi perancangan perjalanan pergi dan balik amat penting supaya aku tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang pastinya akan membuang banyak masaku. Sekiranya aku ke perpustakaan KPM dan malas pulang awal ke rumah, aku akan berehat sebentar ke pusat membeli belah terkenal, Alamanda Putrajaya. Kebetulan kedudukan bangunan KPM yang tidak jauh dengan pusat membeli belah tersebut. Kadang-kala sempat juga aku merehatkan minda dengan menonton wayang di situ sementara menunggu jalan tidak sesak. Dan sekiranya tidak berkesempatan mengunjung gymnasium pada waktu pagi, aku akan ke sana di sebelah petang.

Di sebelah malam pula, semasa berada dalam tahun pertama pengajian, aku menyewa rumah dengan seorang sahabat yang juga merupakan ahli akademik di salah sebuah universiti tempatan. Jadi pada masa itu, kalau rajin, kami akan masak untuk makan malam. Tetapi selalunya, kami ke pasar malam atau ke kedai makan berhampiran rumah untuk makan malam. Selepas itu, aku akan menyambung kerja-kerjaku seperti membaca artikel jurnal, menaip dan sebagainya. Kalau berkelapangan, aku akan menonton rancangan televisyen yang menarik. Aku lebih suka menonton rancangan bercorak dokumentari. Pernah sekali, salah satu stesen televisyen menayangkan dokumentari jenayah tegar yang berlaku di Malaysia pada masa lampau bertajuk “KES: Kronologi Ekslusif Siasatan”. Rancangan tersebut memaparkan kronologi dan siasatan mengenai penjenayah-penjenayah tegar di Malaysia pada masa lalu seperti pembunuhan ngeri oleh Mona Fandey, rampasan senjata oleh kumpulan Al-Maunah dan banyak lagi. Rancangan tersebut disiarkan sekali seminggu dan aku merupakan peminat setianya. Yang menariknya, aku turut menyertai peraduan kuiz terkumpul yang dianjurkan untuk rancangan tersebut. Dan dengan berbesar hati, aku ingin menyatakan bahawa aku merupakan pemenang utama peraduan tersebut. Dan hadiahnya ialah tiket pergi balik ke Melbourne Australia untuk dua orang. Yahooooo!!!! masa yang tepat untuk aku bertemu rakanku, Hilmi di sana. Selain memenangi peraduan tersebut, aku turut pernah memenangi hadiah saguhati bernilai RM500 dalam Peraduan Sembang Santai Bersama Alam Flora & suratkhabar Kosmo!. Peraduan berkenaan meminta pembaca mengisi dialog dalam ruangan yang disediakan. Bagiku, otak juga perlu berehat setelah saban hari memerah idea. Justeru, dengan menjalankan aktiviti-aktiviti santai sebegini, ianya sedikit sebanyak dapat merehatkan otak dan dapat melupakan sebentar tekanan menyiapkan proposal. Betullah kata orang, kita sendiri yang mewarnai perjalanan PhD kita. Kita yang menentukan sama ada PhD terus menekan kita, atau kita yang mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan tekanan tersebut.

Rutin harianku diakhiri dengan tidur awal. Ya, tidur yang cukup penting untuk pelajar PhD kerana tubuh badan kita perlu rehat secukupnya. Tubuh badan yang sihat memberi kesan positif terhadap otak untuk ia bekerja dengan baik untuk hari esok dan hari-hari berikutnya sebagai seorang pelajar PhD.

Peringkat 1: Dalam Dilema di Awal Pengajian PhD

Untitled

Aku tidak pasti mengapa banyak betul dugaan yang aku hadapi sepanjang aku menguruskan persiapan untuk melanjutkan pengajianku ke Amerika Syarikat. Kereta pancit di tengah lebuhraya ketika waktu senja semasa aku sibuk menguruskan dokumen-dokumen berkaitan cuti belajar, masalah visa di kedutaan US dan sebagainya. Aku masih teringat ketika aku mula-mula menerima surat tawaran yang dihantar melalui email oleh pihak pengurusan salah sebuah universiti terkemuka di bumi uncle sam tersebut. Hati girang tidak terkata. Sungguh berbaloi segala pengorbanan yang aku curahkan selama ini tidak kiralah dari aspek kewangan, masa dan tenaga. Bercerita pasal kewangan, aku sebenarnya malas nak ambil peduli mengenai jumlah duit yang telah aku laburkan untuk membayar yuran permohonan, yuran peperiksaan dan sebagainya. Bayangkanlah yuran permohonan yang perlu dibayar adalah dalam matawang USD. Dengan ayat yang lebih mudah, lebih tiga kali ganda dengan nilai matawang Malaysia. Itu belum lagi yuran-yuran peperiksaan yang perlu diduduki sebagai pra syarat untuk melanjutkan pengajian di negara tersebut. Peperiksaan-peperiksaan perlu diambil sehingga lulus ataupun melebihi minimum markah yang telah ditetapkan. Jadi selagi tidak lulus ataupun tidak melepasi markah yang ditetapkan, selagi itulah duit akan terus ‘berterbangan’.

Tempat peperiksaan pula bukannya dekat. Nun di Kuala Lumpur sana. Fuhh..duit minyak, duit tol, duit penginapan hotel dan sebagainya. Sebab tu aku katakan tadi, aku malas nak fikir pasal duit. Itu belum lagi penggunaan kad kredit. Bil-bil kad kredit dan telefon tebalnya kalau disusun mengalahkan ketebalan sebuah buku latihan. Lepas dah lulus peperiksaan, kena pula menghadiri Kem Bina Negara untuk modul ke luar negara. Penat beb. Masuk hutan sampai kena gigit pacat. Tapi aku ok je dengan pacat. Aku anak felda. Kalau time cuti sekolah ke, lepas SPM ke, mesti aku tolong ayah motong getah. Maklumlah nak cari duit poket. Sampai tak hirau kesihatan diri. Lepas subuh je masuk kebun. Kadang-kadang sampai terlupa nak bawa ubat nyamuk. Sampailah satu tahap yang aku rasakan antibodi aku dah tak tahan kena virus yang disebarkan oleh nyamuk. Apa lagi, duduklah aku di wad hospital Kuala Pilah selama seminggu disebabkan demam denggi. Disebabkan aku, satu felda kena fogging. Takpalah untuk kebaikan bersama.

Berbalik kepada cerita asal, sebab itulah apabila permohonan aku untuk melanjutkan pengajian di universiti tersebut berjaya, hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana gembiranya aku. Rasa macam nak menjerit je bagi semua orang dengar. Tapi etika sebagai seorang ahli akademik perlu dijaga. Nanti apa pula orang kata. Segala penat lelah dan usaha yang dicurahkan dirasakan sangat-sangat berbaloi. Lantas aku hubungi emak meyampaikan berita gembira tersebut. Pada mulanya aku ingatkan emak akan turut gembira menerima berita ini, tetapi lain pula respon yang emak berikan. Tiada nada gembira kedengaran di hujung talian. Emak bertanyakan sama ada sudah aku fikir masak-masak. Barangkali emak sudah mengenali aku sebagai anaknya dan tidak yakin aku berada seorang diri di negara orang. Tiada siapa yang dapat menidakkan naluri seorang ibu. Selepas talian telefon diputuskan, aku duduk bersandar dalam pejabat. Termenung jauh. Tiada lagi perasaan gembira seperti tadi. Kata-kata emak tadi bermain-main di fikiranku. Aku tahu emak merestui untuk pergi jauh untuk menimba ilmu tetapi jauh di sudut hatinya, dia amat berat untuk melepaskan aku pergi. Aku melihat barang-barang seperti tugasan pelajar yang telah aku kumpulkan setempat untuk memudahkan aku mengosongkan bilik pejabatku. Pejabat ini bakal kutinggalkan buat sementara waktu. Pejabat inilah menjadi saksi bagaimana gigihnya aku menyiapkan proposal ringkas mengenai kajian yang bakal dijalankan. Pejabat inilah yang menjadi saksi betapa tekunnya aku mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan kelayakan ke luar negara dan ianya juga menjadi saksi betapa sibuknya aku menguruskan hal-hal berkaitan permohonan pengajian kedoktoranku. Hujung minggu itu, aku pulang ke kampung halaman. Kali ini aku mahu sampaikan sendiri berita gembira tersebut secara bersemuka. Barangkali emak berubah hati melihat keterujaan aku untuk menyambung pengajian di luar negara. Apabila aku balik kampung, bersembang petang dengan jiran-jiran, ada makcik yang mengadu kepada aku yang emak akan menangis setiap kali bercerita yang aku akan sambung belajar di Amerika. Katanya, belum pernah lagi anak-anaknya berpisah sejauh ini. Setelah berfikir masak-masak dengan mengambilkira satu demi satu masalah yang menimpa, akhirnya aku nekad dengan satu keputusan. Keputusan aku ini juga didorong oleh keyakinan hati aku selepas beberapa kali menunaikan solat sunat istikharah. Beberapa buku dan blog agama yang aku jadikan rujukan menyatakan salah satu petunjuk selepas menunaikan solat sunat istikharah datang ke dalam hati kita sendiri. Kita akan merasai keyakinan dan kecenderungan untuk memilih pilihan A dan meninggalkan pilihan B tanpa wujudnya perasaan ragu-ragu. Selepas aku membuat keputusan yang tidak akan melanjutkan pelajar di luar negara, aku terpaksa tebal muka menghadapi soalan-soalan yang bertali-talu yang diajukan kepadaku. Bukan apa, selama ini agak ramai yang sudah sedia maklum bahawa aku bakal ke luar negara bagi menyambung pengajianku. Rasa menyesal pula dengan tindakan aku yang terlalu awal menyebarkan perkhabaran gembira tersebut dengan teman-teman sekerja. Itu belum lagi email-email yang aku terima daripada pihak universiti sepatutnya aku pergi. Pelbagai soalan yang diajukan; “what’s happening there dear?”, “do you really want to cancel your registration?”, dan pelbagai soalan ‘why’ yang lain. Aku percaya, pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, tetapi Allah s.w.t yang menentukan segala-galanya kerana Allah s.w.t lah sebaik-baik perancang. Dan kita sebagai hambaNya jangan sekali-kali menyesali walaupun satu hari dari hidup kita kerana semuanya adalah perancangan dari pencipta kita, Allah s.w.t.

Setelah keputusan dibuat, aku ke pusat pengajian siswazah sebuah universiti tempatan yang awal-awal lagi telah aku terima surat tawarannya. Alhamdulillah, aku masih diterima untuk mengikuti pengajianku di universiti tersebut walaupun sudah agak terlewat mendaftar. Syukur, nampaknya permulaan yang baik dalam perjalanan untuk menggapai impian memiliki segulung ijazah kedoktoran dalam bidang pendidikan matematik.